‘HAMPIR separuh lepasan SPM (Sijil Pelajaran Malaysia) enggan melanjutkan pelajaran’. Itu tajuk berita yang pernah menjadi topik perbualan hangat tidak lama dahulu. Sama ada betul-betul hangat atau sekadar hangat-hangat tahi ayam, terserahlah pada penilaian masing-masing.
Banyak atau sedikitnya hampir separuh bersifat subjektif. Ia bergantung pada hampir separuh daripada apa? Jika hampir separuh sudu teh, bermakna kuantitinya memang sedikit tetapi kalau hampir separuh kolam renang Olimpik, sudah tentu tidak boleh dikatakan sedikit.
Dalam hal itu, hanya ada satu pengecualian iaitu jika ‘hampir separuh gaji dibelanjakan oleh isteri untuk membeli-belah’, ia bererti jumlahnya banyak. Tidak kiralah bagi orang bergaji besar atau bergaji kecil.
Dalam isu pelajar lepasan SPM yang enggan melanjutkan pelajaran, hampir separuh dimaksudkan bukanlah daripada 40 orang atau 400 orang tetapi lebih 400,000 orang. Pada 2021, jumlah pelajar menduduki SPM ialah 407,097 orang dan yang dilaporkan enggan menyambung pelajaran berjumlah 180,680 atau kira-kira 44 peratus.
180,680 bukan sedikit. Kalau jumlah sebanyak itu dibawa menonton konsert, penganjurnya sudah tentu boleh tidur atas duit. Itu baru 2021. Bagaimana tahun-tahun sebelumnya dan tahun selepas itu? Sepintas lalu pun kita dapat gambarkan yang enggan meneruskan pelajaran itu bukan setakat ramai tetapi sangat ramai.
Faktor penyebabnya mudah. Perubahan gaya hidup. Dahulu orang berhempas pulas hendak meneruskan pelajaran. Yang gagal SPM sanggup menduduki peperiksaan semula sehingga berkali-kali untuk lulus. Begitu juga yang keputusan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) tidak memuaskan. Kalau dapat masuk universiti, sanggup tumbangkan lembu kerbau tanda kesyukuran.
Yang tidak berpeluang sambung pelajaran misalnya atas sebab kewangan, akan bekerja dahulu. Kemudian mereka ikuti kelas malam dan sebagainya bagi membolehkan mereka menduduki peperiksaan.
Sebabnya mudah, masa itu hukum kehidupannya semakin tinggi kelulusan, semakin senang dapat kerja dan pendapatan pula lazimnya semakin tinggi. Sekarang cara berfikir kebanyakan orang tidak begitu.
"Buat apa penat-penat belajar bos, kalau penghujungnya nanti kerja bancuh kopi atau jadi pengurus pada pempengaruh yang tak lulus SPM,” ada seseorang pernah berkata begitu kepada saya. Dia anak muda yang hebat. Lulus SPM gred satu tetapi memilih menjadi YouTuber sepenuh masa.
Perubahan gaya hidup memang bawa banyak masalah tetapi ia juga membuka banyak peluang. Antaranya, kemunculan ekonomi gig, satu sistem pasaran bebas yang secara ringkasnya membolehkan mereka terlibat dengannya bekerja secara fleksibel tanpa terikat dengan rutin 8-4 atau 9-5.
Manusia secara umumnya tidak suka terikat, apatah lagi anak muda yang jiwanya sentiasa meronta untuk lepas bebas. Dan ekonomi gig membuka ruang ke arah itu. Ia turut memberi peluang kepada mereka menentukan sendiri jumlah pendapatan yang mereka mahu.
Tidak hairanlah jika ia menjadi seperti magnet yang menarik mereka untuk menjadi pemainnya. Dari satu sudut, kebaikannya memang ada. Ia menggalakkan anak muda bekerja dan membantu merancakkan penjanaan ekonomi negara.
Bayangkan, pada umur 19 atau 20 tahun, masing-masing sudah memperoleh pendapatan sehingga RM3,000 hingga RM4,000 sebulan. Sudah tentu yang mendapat nikmatnya bukan sahaja mereka tetapi juga keluarga dan saudara-mara, lebih-lebih jika ada dalam kalangan saudara-mara itu jenis ‘nanti ada duit saya bayar baliklah’.
Tetapi dari sudut lain, kerugiannya juga besar. Ia bukan setakat memperlahankan sasaran kerajaan melahirkan 35 peratus tenaga mahir – berbanding 28 peratus sekarang ini menjelang 2030 tetapi turut beri kesan lain kepada anak muda itu sendiri.Tiada siapa tahu berapa lama sistem ekonomi gig akan bertahan. Bukti semasa menunjukkan dunia kini sangat rentan terhadap perubahan.
Segala-galanya boleh bertukar mendadak pada bila-bila masa. Maka, apa akan jadi jika sistem ekonomi gig tiba-tiba mati, misalnya dilumpuhkan oleh AI atau kepintaran buatan?
Sijil bukanlah jaminan mutlak terhadap masa depan tetapi dengan adanya sijil, kita mempunyai satu aset tambahan untuk dipertaruhkan. Jadi, tidak salah jika mahu terus bekerja seusai lepas SPM atau STPM. Tetapi ada baiknya sambil bekerja terus belajar. Dapatkan sijil, dapatkan diploma, dapatkan ijazah, kemudian teruslah bekerja.
Dalam proses itu kalau ada peluang yang memerlukan kelulusan sebagai sandaran, anda boleh terus sambar.
Ingatlah, sifat sijil itu sendiri unik. Ia tidak akan luntur oleh apa-apa juga perubahan tapi syaratnya ia mestilah sijil asli, bukannya sijil dibeli, misalnya kerana nak cantikkan resume setelah diangkat menjadi menteri. #dush!
*Datuk Dr Budiman Mohd Zohdi pernah berkhidmat sebagai setiausaha politik dan bekas wakil rakyat
Klik di sini untuk terus membaca