SHAH ALAM - Penganalisis politik meramalkan pengundi bukan Melayu terutama penyokong tegar DAP akan memboikot calon Pakatan Harapan (PH) pada pilihan raya kecil (PRK) Parlimen Pulai dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Simpang Jeram, Sabtu ini.
Tindakan tersebut dilihat sebagai bantahan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada Isnin yang melepaskan tanpa membebaskan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi daripada 47 tuduhan rasuah, pecah amanah dan pengubahan wang haram (AMLA) membabitkan dana Yayasan Akal Budi.
Menurut Pengarah Akademik Huayan Policy Institute Centre for Malaysia Chinese Studies (Huayan), Profesor Madya Dr Chang Yun Fah, pembebasan Ahmad Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri memberi kesan positif dan negatif kepada PH pada PRK kali ini.
"Dari sudut positif, keputusan berkenaan akan menaikkan semangat dan motivasi sebahagian besar penyokong tegar UMNO untuk membantu kempen dan mengundi calon PH.
"Bagaimanapun dari sudut negatif pula, berkemungkinan sebahagian pengundi bukan Melayu mungkin memboikot kedua-dua PRK berkenaan dengan tidak mengundi PH-Barisan Nasional (BN) atau Perikatan Nasional (PN),” katanya kepada Sinar Premium.
Tambahnya, sekiranya PH kalah pada PRK Parlimen Pulai dan DUN Simpang Jeram, maka keputusan itu akan memberi tekanan besar kepada UMNO untuk mempertahankan kerusi DUN Pelangai pada 7 Oktober depan.
"Sekiranya pembebasan Ahmad Zahid tidak dapat menarik sokongan hard core UMNO di Pulai dan Simpang Jeram, maka UMNO mungkin akan kalah dalam PRK DUN Pelangai,” katanya.
Sementara itu, penganalisis politik dari Akademi Penyelidikan Strategik Nusantara (NASR), Dr Azmi Hassan berkata, pembebasan Ahmad Zahid kini menjadi modal utama kempen PN yang mendakwa wujud 'campur tangan ghaib' dalam perbicaraan kes terbabit.
Bagaimanapun, Azmi menegaskan penyokong UMNO kini mula sedar bahawa kerjasama BN-PH banyak memberi banyak manfaat kepada mereka bukan hanya dari segi pembebasan Ahmah Zahid, malah mungkin membuka jalan kepada usaha membebaskan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dari penjara.
Menurut beliau, majoriti ahli UMNO percaya kes pendakwaan terhadap Ahmad Zahid dan Najib adalah bermotifkan politik dan sengaja direka-reka.
Justeru katanya, pembebasan Ahmad Zahid memberikan motivasi kepada penyokong UMNO untuk mengundi calon PH dalam PRK Parlimen Pulai dan DUN Simpang Jeram kelak.
"Biarpun PN menggunakan isu pembebasan Ahmad Zahid sebagai modal kempen namun ia hanya memberi kesan negatif yang minimum kepada pengundi bukan Melayu di Parlimen Pulai dan Simpang Jeram kerana kedua-dua calonnya mewakili PH,” katanya.
Klik di sini untuk terus membaca