SHAH ALAM - Amaran Parti Ikatan Demokratik Malaysia Muda (Muda) yang mahu menarik sokongan seterusnya keluar daripada Kerajaan Perpaduan tidak boleh dipandang ringan kerana berisiko menyukarkan sebarang proses demokrasi di Parlimen yang... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Amaran Parti Ikatan Demokratik Malaysia Muda (Muda) yang mahu menarik sokongan seterusnya keluar daripada Kerajaan Perpaduan tidak boleh dipandang ringan kerana berisiko menyukarkan sebarang proses demokrasi di Parlimen yang memerlukan majoriti dua pertiga ahli Dewan Rakyat.

Penganalisis politik, Dr Mohammad Tawfik Yaakub berkata, sekiranya Muda menarik diri, sukar untuk pindaan perlembagaan dan kelulusan yang memerlukan majoriti dua pertiga ahli Dewan Rakyat.

Menurutnya, perkara tersebut jelas dalam Perkara 159 (3) dan 159 (4) Perlembagaan Persekutuan.

"Malah proses persempadanan semula juga tertakluk kepada kelulusan dua pertiga majoriti ahli Dewan Rakyat.

"Justeru, jika gagal pertahan majoriti dua pertiga, kerajaan sukar untuk melaksanakan pindaan perlembagaan termasuklah persempadanan semula."Apatah lagi sekiranya persempadanan semula yang mahu dibuat boleh menguntungkan kerajaan perpaduan,” katanya kepada Sinar Harian.

Media melaporkan, Muda mengancam akan menarik sokongan seterusnya keluar daripada Kerajaan Perpaduan sekiranya Jabatan Peguam Negara (AGC) tidak menjelaskan secara terperinci berhubung keputusan mahkamah terhadap kes rasuah melibatkan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Mengulas lanjut, Mohammad Tawfik berkata, untuk proses persempadanan semula, rundingan dengan pihak pembangkang diperlukan untuk mendapat sokongan majoriti dua pertiga.

Namun jelas beliau, sudah tentu bukan perkara mudah untuk mendapat persetujuan pembangkang yang juga akan meneliti proses persempadanan sama ada menguntungkan hanya satu pihak atau sebaliknya.

"Jika tidak menguntungkan pembangkang maka mereka akan menolak untuk memberikan sokongan untuk kelulusan.

"Apa yang Kerajaan Perpaduan perlu lakukan sekarang untuk dapat majoriti dua pertiga adalah ambil hati parti Muda dan juga wujudkan memorandum persefahaman (MoU) dengan pihak pembangkang,” katanya.

Sebelum ini, Perikatan Nasional (PN) mendakwa Kerajaan Perpaduan akan meminda perlembagaan Persekutuan dengan menambah kawasan pilihan raya daripada 222 kepada 300 kerusi jika memiliki majoriti dua pertiga di Parlimen.

Pengerusinya, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, pindaan persempadanan semula kawasan pilihan raya itu hanya boleh dibuat jika Kerajaan Perpaduan mempunyai majoriti dua pertiga di Dewan Rakyat.

Klik di sini untuk terus membaca