SHAH ALAM - Gabungan Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) masih kekal kukuh serta tidak menjejaskan sokongan rakyat terhadap pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim susulan ancaman Parti Ikatan Demokratik Malaysia Muda (Muda) yang ingin menarik sokongan terhadap Kerajaan Perpaduan.
Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Sembilan, Datuk Seri Jalaluddin Alias tidak menafikan perkara tersebut akan memberi kesan terhadap jumlah kerusi dan undian dua pertiga di Parlimen, namun kerajaan masih lagi stabil dan tidak tergugat dengan ancaman itu.
Ujarnya, jika kemenangan pada pilihan raya kecil (PRK) Parlimen Pulai dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Simpang Jeram berpihak kepada PH-BN, ia masih mampu membentuk kerajaan yang stabil.
"Muda merupakan parti yang mewakili belia dan juga membawa pemikiran baru dalam landskap politik, namun mereka perlu berfikir secara matang berkaitan kestabilan negara khususnya pembangunan masyarakat,” katanya kepada Sinar Harian pada Rabu.
Sementara itu, Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Kedah, Dr Mohammed Taufiq Johari berkata, tindakan Muda yang ingin melakukan protes ekoran situasi yang menimpa Ahmad Zahid tidak adil kerana perkara tersebut sudah melalui proses undang-undang.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Sungai Petani mengulas, berdasarkan rekod pilihan raya negeri (PRN) Ogos lalu, Kerajaan Perpaduan PH-BN masih mempunyai sokongan dan mereka memenangi hampir setiap kerusi.
Dalam pada itu, ketika ditanya berhubung rundingan antara PH-BN dengan Muda, beliau tidak mempunyai sebarang komen dan menyerahkan kepada pihak tertinggi parti.
"Kerajaan Perpaduan PH-BN masih mempunyai sokongan dan buktinya kita memenangi banyak kerusi-kerusi khususnya dalam kalangan anak muda ketika Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) dan PRN lepas.
"Saya pasti dan percaya sokongan terhadap kerajaan pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim cukup kuat,” katanya.
Klik di sini untuk terus membaca