SHAH ALAM - Malaysia tidak terkecuali berdepan ancaman scammer menggunakan teknologi kecerdasan buatan (AI) untuk memanipulasi mangsa dengan sasaran utamanya golongan yang kurang pengetahuan mengenai teknologi moden.
Ketua Kluster Penyelidikan (Teknologi Pintar & Sistem) Universiti Sultan Zainal Abidin, Profesor Madya Dr Azwa Abdul Aziz berkata, kebimbangan itu mengambil kira teknologi baharu itu yang mudah untuk diakses.
"Sebagai contoh untuk membuat video palsu tetapi nampak sebenar menggunakan imej, penipu hanya perlu mendapatkan imej sahaja dan dalam masa lebih kurang 20 minit menggunakan perisian yang boleh dilanggan dan diakses dengan mudah ia dapat dihasilkan untuk tujuan pornografi dan sebagainya.
"Jadi individu yang kurang pengetahuan mengenai teknologi khususnya mereka yang berusia semakin terancam sebab penipu boleh meniru pelbagai bentuk hanya menggunakan AI sama ada melalui gambar, video dan pelbagai lagi,” katanya kepada Sinar Harian pada Rabu.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Timbalan Gabenor Bank Negara (BNM), Datuk Marzunisham Omar bahawa teknologi AI tidak mustahil akan menjadi salah satu alat baharu scammer secara dalam talian pada masa akan datang.
Ujarnya, sindiket tersebut akan melakukan apa sahaja cara atau modus operandi yang ada bagi menipu mangsa.
Mengulas lanjut, Azwa berkata, sudah tiba masanya juga untuk kerajaan menggandakan usaha bagi memberi kesedaran kepada masyarakat supaya lebih berhati-hati dengan taktik terbaharu penipuan berkenaan.
Jelasnya, kesedaran awam penting bagi memastikan rakyat lebih berhati-hati ketika berurusan melalui dalam talian yang sememangnya berisiko tinggi.
"Dalam apa jua cabaran, kesedaran daripada individu itu sendiri sangat penting untuk mengelak diri terjebak dalam perkara negatif, bukan sahaja dalam isu scammer ini,” katanya.
Selain itu katanya, pihak berkuasa khususnya Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) perlu meningkatkan kemahiran dalam pasukan masing-masing dengan melengkapkan diri mengenai teknologi AI.
Sinar Harian pada Selasa melaporkan sebanyak 25,477 kes jenayah penipuan kewangan dalam talian membabitkan kerugian RM776 juta dilaporkan dalam tempoh Januari hingga Julai tahun ini.
Timbalan Pengarah Jenayah Siber dan Multimedia, Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Senior Asisten Komisioner Zaldino Zainudin berkata, daripada jumlah tersebut, jenayah yang menggunakan modus operandi e-dagang atau platform jual beli dalam talian merekodkan kes tertinggi iaitu 7,907 kes membabitkan kerugian berjumlah RM144.8 juta.
Klik di sini untuk terus membaca