TOKYO - GELOMBANG maklumat salah kini tersebar secara meluas, lebih seminggu selepas Jepun melepaskan sisa air radioaktif terawat dari loji nuklear Fukushima.
Sebahagian daripada kandungan palsu dan tidak tepat itu turut dilaporkan media dari China termasuk imej Godzilla dihasilkan menggunakan teknologi kecerdasan buatan (AI) yang muncul dari tengah laut.
Godzilla yang dipaparkan menerusi filem menunjukkan ‘kebangkitan’ raksasa reptilia itu setelah mendapat kuasa daripada sinaran radiasi.
Perkongsian lain yang tersebar di media sosial ialah penyebaran bahan radioaktif yang kononnya berlaku dengan cepat di laut.
Catatan dalam bahasa Korea itu mendakwa Jepun melancarkan ‘kemusnahan bumi dan geosid’.
Ia kemudiannya dikongsi semula di Facebook dalam bahasa Korea dan Cina.
Infografik itu juga dipaparkan di platform X setelah disebarkan oleh ahli perniagaan dari China, Sou Bunshu dan ditonton lebih 800,000 kali.
Fakta sebenar adalah ia menggunakan imej grafik Pentadbiran Lautan dan Atmosfera Kebangsaan (NOAA) yang memaparkan ketinggian maksimum gelombang tsunami pada 2011.
Bangkai ikan sardin curi tumpuan
Sebuah rakaman video di YouTube memaparkan ribuan bangkai ikan terdampar di perairan sekitar Fukushima selepas pelaksanaan langkah tersebut malah ia turut memperoleh lebih 150,000 tontonan.
Klip itu juga dikongsi di Facebook dan TikTok serta mendapat perhatian pengguna media sosial malah agensi berita CGTN di Beijing menghasilkan parodi yang mendakwa Tokyo mengepam air tercemar dan ikan beracun ke dalam laut.
Hasil Semakan Fakta AFP mendapati rakaman tersebut sebenarnya diambil pada Februari lalu apabila sejumlah besar bangkai ikan sardin membanjiri bandar Itoigawa di pantai barat Jepun.
Difahamkan, Fukushima terletak di bahagian timur pulau tersebut.
‘Kitar semula' imej lama’
Perkongsian di media sosial seperti di TikTok, Weibo, Facebook dan platform lain juga sengaja mencetuskan kebimbangan orang ramai.
Imej grafik itu mendakwa kononnya sisa air terawat tersebut akan mencemari sebahagian besar Lautan Pasifik dalam tempoh 57 hari selepas pelaksanaan langkah tersebut pada 24 Ogos lalu.
Penyebaran maklumat salah dari China dan Korea Selatan itu turut tersebar di Jepun.
Ia bagaimanapun memaparkan imej lama ketika insiden bencana berganda pada Mac 2011 yang melumpuhkan operasi tiga reaktor di kemudahan nuklear di wilayah Fukushima.
Animasi itu dikatakan menunjukkan model simulasi Caesium-137 dilepaskan ke Pasifik ketika penyelidikan pada 2012.
Penulis utama kajian itu yang dikendalikan GEOMAR Helmholtz Centre for Ocean Research Kiel, Erik Behrens memberitahu imej tersebut hanya menunjukkan langkah pembuangan 137-Cs ketika beberapa minggu pertama selepas kejadian gempa dan tsunami, 12 tahun lalu.
"Langkah pelepasan itu bukan untuk senario jangka panjang,” jelasnya.
Hashtag yang disertakan dengan imej itu di Weibo meraih kira-kira 700 juta tontonan malah info grafik itu digunakan media utama di Beijing termasuk CCTV dan CGTN.
Enap cemar hitam palsu jadi tular
Menerusi video yang dimuat naik di Weibo menunjukkan penyingkiran enap cemar hitam ke laut hingga pengguna media sosial percaya ia merupakan sisa air yang dilepaskan dari Fukushima.
"Jepun sedang membuang sisa air nuklear. Adakah ia akan menjejaskan ekologi dan kehidupan di negara kita?” menurut kapsyen dalam bahasa Cina tersebut.
Siaran asal dikatakan menerima lebih 16,000 tontonan dan kandungan mengandungi maklumat tidak tepat itu kemudiannya disebarkan ke Facebook, YouTube, Weibo, X serta platform Douyin.
Hasil Semakan Fakta AFP mendapati video itu sebenarnya dirakamkan di Mexico dan pernah juga disemak di bawah siasatan sama pada 2020.
Pada masa itu, Suruhanjaya Air Kebangsaan di Mexico menjelaskan mereka turut memfailkan aduan jenayah terhadap pihak yang bertanggungjawab membuang sisa air tercemar di Acapulco. - AFP
Klik di sini untuk terus membaca