DI negara-negara yang tidak mengamalkan perwakilan berkadar (proportional representation), persempadanan kawasan pilihan raya kerap kali mengundang polemik kerana ia boleh mengubah kemenangan dan perwakilan parti. Penyelewengan dalam... Klik di sini untuk terus membaca

DI negara-negara yang tidak mengamalkan perwakilan berkadar (proportional representation), persempadanan kawasan pilihan raya kerap kali mengundang polemik kerana ia boleh mengubah kemenangan dan perwakilan parti.

Penyelewengan dalam persempadanan boleh berlaku dalam dua bentuk iaitu pertamanya, ‘pembahagian tidak sekata’ (malapportionment) dan kedua, persempadanan tidak adil (gerrymandering).

Di Malaysia, kajian persempadanan boleh berlaku untuk menemui tujuan yang berlainan.

Untuk persempadanan yang biasa, yakni untuk mengemas kini sempadan untuk bersesuaian dengan pertumbuhan pengundi atau pembangunan tempat, hanya boleh berlaku selepas sekurang-kurangnya lapan tahun daripada lengkapnya kajian persempadanan yang terakhir.

Ini bermakna persempadanan baharu sudah boleh dilakukan di Sarawak sejak 15 Ogos, tetapi hanya boleh dilaksanakan seawal-awalnya pada 14 Februari 2024 untuk Sabah dan 6 Mac 2026 untuk Semenanjung.

Oleh kerana ia boleh memakan masa sampai dua tahun, PRU16 di Semenanjung tidak mungkin menggunakan sempadan baharu.

Persempadanan khas juga boleh berlaku, tanpa dihadkan oleh jurang lapan tahun, jika bilangan kerusi Parlimen atau Dewan Undangan Negeri (DUN) berubah, akibat pindaan Perlembagaan Persekutuan (Perkara 46) atau Perlembagaan Negeri masing-masing.

Jika bilangan kerusi Parlimen dan DUN tidak berubah untuk sesebuah negeri, maka negeri itu akan dikecualikan dalam persempadanan khas.

Persempadanan menjadi isu pilihan raya kecil kawasan Parlimen Pulai kerana ia akan menentukan sama ada Kerajaan Perpaduan masih mempunyai majoriti dua-pertiga untuk meminda Perkara 46 tanpa persetujuan pembangkang.

Sepertimana isu-isu lain dalam kempen pilihan raya, banyak informasi salah turut disebarkan mengenai persempadanan. Kolum minggu ini akan membetulkan maklumat-maklumat palsu di sini.

Fakta pertama: Secara keseluruhannya, orang Melayu diberikan perwakilan berlebihan. Orang Melayu membentuk 60 peratus daripada jumlah pengundi di Semenanjung, tetapi sebanyak 118 (72%) daripada 165 kawasan Parlimen Semenanjung majoriti Melayu.

Fakta kedua, bukan semua orang Melayu yang beruntung oleh pembahagian tidak sekata.

Jumlah pengundi di 118 kawasan majoriti-Melayu itu sungguh besar jurangnya, dari Gombak, Selangor (209,237 pengundi) ke Lenggong, Perak (36,956), mencecah nisbah 5.66:1. Orang Melayu yang dimangsakan ialah yang tinggal di bandar.

Fakta ketiga, sembilan daripada 20 kawasan Parlimen terbesar di Semenanjung mempunyai majoriti-Melayu. Melayu membentuk kumpulan terbesar plurality di enam buah kawasan termasuk Bangi (311,469, 48.83% Melayu).

Purata jumlah pengundi untuk kesemua 165 kawasan Parlimen di Semenanjung ialah 107,003 pengundi. 20 kawasan terbesar mencecah 150% daripada jumlah purata, iaitu 160,505 pengundi.

Selain Gombak, sembilan kawasan besar majoriti Melayu ialah Kapar (192,383), Selayang (185,425), Sepang (173,578), Hulu Langat (171,719), Shah Alam (170,590), Sungai Petani (170,352), Sungai Buloh (162,693) dan Tambun (162,149).

Fakta keempat, antara orang Melayu, anak muda yang lebih tertumpu di bandar kerana peluang pekerjaan dan pendidikan adalah mangsa.

Andaikan seorang Siti Amirah pindah dari Sabak Bernam (51,842) ke Bangi (311,469, enam kali lebih besar) kerana masuk UKM, kuasa politiknya menguncup 5/6 atau 83%.

Fakta kelima, dengan peratusan Melayu yang tinggi, jika kawasan seperti Bangi (dimenangi DAP untuk tiga penggal sejak 2013) dipecah kepada dua, salah satunya pasti bermajoriti Melayu.

Propagandis politik perlu akur realiti baharu: Orang Melayu adalah kumpulan majoriti di kawasan bandar sekarang.

Pembahagian kawasan sekata tidak akan menggandakan kawasan DAP kecuali jika DAP disokong majoriti Melayu.

Dari hilir ke hulu

Dari hutan ke kota

Masa sudah lama berlalu

Melayu kini majoriti kota

*Profesor Wong Chin Huat ialah Timbalan Ketua (Strategi), Pejabat Asia, Rangkaian Penyelesaian Pembangunan Mampan PBB (SDSN-Asia) di Universiti Sunway

Klik di sini untuk terus membaca