PELAKSANAAN dasar gaji progresif yang diumumkan oleh kerajaan telah menjadi tumpuan negara dalam pelbagai platform diskusi ilmiah dan sosial. Walaupun dasar baharu ini masih di peringkat penelitian awal, pelbagai reaksi masyarakat telah... Klik di sini untuk terus membaca

PELAKSANAAN dasar gaji progresif yang diumumkan oleh kerajaan telah menjadi tumpuan negara dalam pelbagai platform diskusi ilmiah dan sosial.

Walaupun dasar baharu ini masih di peringkat penelitian awal, pelbagai reaksi masyarakat telah diterima terutamanya dari majikan, pekerja dan ahli akademik.

Tentu sekali objektif utama dasar gaji progresif ini bertujuan meningkatkan pendapatan golongan pekerja, di mana fokus utamanya adalah memastikan struktur gaji yang lebih baik, bersistematik dan berasaskan produktiviti serta kemahiran.

Perlu ditekankan bahawa matlamat akhir pelaksanaan dasar gaji progresif ini turut bertindak sebagai kayu ukur dalam usaha mencapai sasaran 45 peratus nisbah pendapatan pekerja kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dalam gagasan Ekonomi MADANI.

INOVASI SISTEM GAJI DI LUAR NEGARA

Jika dibandingkan dengan negara luar, pergerakan gaji secara progresif sudah lama diamalkan di mana inovasi sistem gaji sentiasa berlaku disebabkan berlakunya pergerakan dinamik dalam sistem pasaran buruh dan perundangan.

Penting untuk umum mengetahui bahawa gaji progresif bukan bersifat eksklusif kepada mana-mana negara atau dipraktikkan untuk kategori pekerjaan tertentu sahaja.

Sistem gaji progresif telah berkembang dalam pelbagai model.

Sebagai contoh di Amerika Syarikat (AS), sistem gaji berasaskan produktiviti, dan gaji berasaskan kemahiran adalah pendekatan sistem penggajian yang merujuk kepada gaji progresif.

Sementara itu, di Australia, gaji progresif pula dikenali sebagai gaji berasaskan pasaran.

Apakah pelbagai sistem gaji ini mewujudkan sebarang perbezaan kepada tujuan memberikan gaji secara progresif kepada pekerja?

Sudah tentu tidak. Hal ini kerana objektif sistem gaji progresif ini adalah untuk memberi ganjaran kepada pekerja disebabkan oleh peningkatan pengetahuan, kemahiran dan kepakaran, dan menyumbang kepada peningkatan produktiviti dan nilai ditambah syarikat.

Tidakkah sistem seperti ini turut diamalkan oleh syarikat di Malaysia?

Perlu difahami bahawa Malaysia mengamalkan sistem ekonomi terbuka. Aliran masuk pelaburan ke dalam negara melalui penubuhan syarikat milikan asing turut disertakan dengan amalan pengurusan sumber manusia dan sistem gaji pekerja yang dilaksanakan oleh negara asal pelabur.

Sudah pasti wujud ruang dan peluang bagi syarikat tempatan memperbaiki sistem gaji, lebih-lebih lagi apabila syarikat tempatan tersebut berurusan secara langsung dengan syarikat milikan asing.

SUDAH MENJADI AMALAN SYARIKAT TEMPATAN

Berdasarkan penyelidikan lapangan oleh Pusat Kajian Pasaran Buruh Masa Hadapan (EU-ERA), sudah terdapat syarikat di Malaysia termasuk milik anak tempatan telah pun melaksanakan sistem gaji dan upah yang mirip kepada sistem gaji progresif.

Syarikat-syarikat ini meliputi pelbagai sektor ekonomi, termasuk sektor pembuatan, pembinaan, perhotelan dan perkhidmatan perniagaan.

Antara sistem yang digunapakai adalah program peningkatan gaji melalui kemajuan kemahiran dan peningkatan prestasi pekerja, seperti mana yang diamalkan di AS.

Dalam sistem yang diamalkan tersebut, pekerja berpeluang untuk mendapatkan peningkatan gaji sebanyak 15-30 peratus dalam tempoh enam bulan hingga setahun, di mana majikan meletakkan peningkatan kemahiran sebagai petunjuk prestasi utama.

Tambahan itu, terdapat syarikat yang mempunyai pelan peningkatan kerjaya yang jelas yang bertindak sebagai garis panduan peningkatan gaji pekerja.

Dapatan ini memberikan petunjuk bahawa peningkatan gaji secara progresif telahpun diamalkan di negara kita. Perbezaannya hanyalah dari segi mekanisme pelaksanaan.

Menarik untuk diperjelaskan bahawa majikan yang ditemui didapati mempunyai kefahaman yang kurang jelas berkaitan model gaji progresif yang ingin dilaksanakan oleh pihak kerajaan.

Walhal, dari segi realitinya, pelaksanaan sistem gaji progresif ini telahpun mendasari amalan peningkatan gaji pekerja dalam syarikat tersebut.

Justeru, perkara ini memerlukan satu pendekatan yang menyeluruh untuk memastikan kefahaman semua pihak dapat diselarikan dengan aspirasi pelaksanaan dasar gaji progresif kelak.

Pelan komunikasi yang jelas perlu diutamakan bagi memberikan maklumat yang tepat dan menyeluruh kepada semua pihak, terutamanya majikan dan pekerja.

STRATEGI MEMPERCEPAT PELAKSANAAN GAJI PROGRESIF

Pendekatan holistik perlu diberikan perhatian supaya penerimaan model gaji baharu ini boleh menjadi pelengkap kepada sistem gaji minimum sedia ada di negara ini.

Bagi mempercepat pelaksanaan model gaji progresif, sistem model tripartite secara telus dan berkesan perlu diberikan perhatian untuk menyelaras input berkaitan pelaksanaan gaji progresif ini.

Antara perkara yang perlu diberikan penekanan adalah pembentukan sistem model tripartite mengikut sektor ekonomi dan jenis pekerjaan.

Hal ini kerana, model gaji progresif ini bukan bersifat "pukul rata" sepertimana yang dilaksanakan bagi sistem gaji minimum.

Penglibatan aktif majikan, pekerja dan pembuat dasar perlu diperkasa dalam platform tripartite ini supaya kuasa rundingan gaji boleh dibuat secara berkesan dan seterusnya menghasilkan garis panduan gaji progresif yang dipersetujui secara kolektif daripada pelbagai pihak berkepentingan.

* Dr Muhammad Daaniyall Abd Rahman ialah Pensyarah Kanan Sekolah Perniagaan dan Ekonomi Universiti Putra Malaysia dan Nurul Sakinah Ngaini ialah Ahli Ekonomi Muda Pusat Kajian Pasaran Buruh Masa Hadapan (EU-ERA)

Klik di sini untuk terus membaca