SECARA amnya, perniagaan mengira untung rugi dengan menggunakan sistem perakaunan akruan. Jualan yang dibuat secara kredit dikira sebagai jualan walaupun pembayarannya belum diterima.
Belian kredit juga sudah dikira sebagai kos walaupun pembayaran belum dibuat. Ini semua mengandaikan perniagaan mampu mengutip dan membayar hutangnya dalam kitaran biasa perniagaan.
Disebabkan perkara di atas, jumlah keuntungan perniagaan tidak semestinya sama dengan jumlah tunai yang ada dalam perniagaan. Sebahagian daripada keuntungan mungkin tersimpan di dalam aset-aset lain perniagaan seperti stok barangan yang belum dijual dan juga penghutang yang belum dikutip.
Sebaliknya, jumlah tunai yang banyak tidak mewakili perniagaan yang untung. Boleh jadi terdapat banyak pemiutang atau tanggungan lain belum dibayar yang jumlahnya boleh melebihi jumlah tunai yang ada.
Lebih malang sekiranya barangan yang dijual dibeli secara tunai. Ini menyebabkan perniagaan akan mudah menghadapi masalah aliran tunai sekiranya ia tidak mempunyai modal yang cukup untuk menampung jualan kredit yang besar dan berpanjangan.
Isu di atas digelar over-trading atau pun perniagaan menjual secara kredit melebihi kemampuan modalnya. Ini boleh terjadi sekiranya perniagaan membekalkan barangan kepada pembeli-pembeli besar seperti pasar raya atau rangkaian kedai yang membeli dengan banyak secara kredit dan hanya akan membayar selepas tiga atau empat bulan.
Jika barangan dibeli secara tunai atau pun tempoh kredit yang diberikan oleh pembekal lebih pendek seperti sebulan atau dua bulan, akan ada tempoh yang mana perniagaan perlu membayar hutangnya sama ada dengan menggunakan modalnya atau dengan berhutang dengan pihak lain pula. Semakin banyak jualan, semakin kering aliran tunai dan semakin besar hutang.
Untuk merumitkan lagi keadaan, cukai perniagaan dikira secara akruan juga. Ini bermakna walaupun aliran tunai perniagaan kering, ia mungkin terdedah kepada liabiliti cukai sekiranya perniagaan menjana keuntungan dengan menggunakan kaedah akruan. Cukai yang gagal dibayar mengikut jadual yang ditetapkan akan membawa kepada pengenaan penalti.
Oleh yang demikian polisi-polisi seperti bila jualan dibuat secara kredit, kepada siapa kredit diberikan dan apakah tempoh kredit menjadi penting agar aliran tunai perniagaan tidak tersekat sekiranya ada penghutang yang gagal membayar dalam tempoh yang dijanjikan.
Sekiranya perniagaan berada dalam industri yang mana jualan kredit adalah amalan biasa, ia perlu mempunyai modal yang cukup atau pun mempunyai kemudahan pembiayaan daripada bank.Pembiayaan bank ada kos dan akan mengurangjan keuntungan perniagaan.
Ini bermakna tahap keuntungan dari pada jualan kredit ini hendaklah juga mengambil kira kos kewangan yang akan ditanggung.Satu lagi perkara yang biasa dihadapi apabila jualan dibuat secara kredit ialah hutang ragu atau hutang lapuk.
Hutang menjadi ragu sekiranya pembeli gagal membayar mengikut perjanjian dan terus menangguh-nangguhkan pembayaran. Sekiranya penghutang itu menghadapi masalah kewangan yang serius atau pun bankrap, maka hutangnya menjadi hutang lapuk.
Untuk mengelakkan perniagaan menghadapi masalah aliran tunai, usahawan perlu menetapkan strategi jualan dan polisi kredit yang munasabah dengan mengambil kira modal yang ada, pembiayaan yang diberikan dan kualiti kredit pelanggan. Janganlah disebabkan nak mengejar jumlah jualan yang tinggi, perniagaan akhirnya menghadapi masalah kewangan yang runcing.
Mempunyai akauntan yang menyimpan rekod perakaunan dengan tepat juga penting. Sekiranya tidak, banyak tindakan dan keputusan dibuat secara agak-agak sahaja. Itu memang mengundang bala.
*Datuk Nik Mohd Hasyudden Yusoff ialah bekas Ketua Pegawai Eksekutif Tabung Haji
Klik di sini untuk terus membaca