SHAH ALAM - Peguam Negara perlu meneliti semula kes melibatkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan mempertimbangkan untuk dibawa ke mesyuarat Lembaga Pengampunan. Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Armand Azha... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Peguam Negara perlu meneliti semula kes melibatkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan mempertimbangkan untuk dibawa ke mesyuarat Lembaga Pengampunan.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Armand Azha Abu Hanifah menegaskan, ia berikutan kes mahkamah bekas Pengerusi Barisan Nasional (BN) itu banyak tergantung manakala keputusan berkaitan tidak memuaskan hati penyokong dan rakyat.

"Dalam landskap politik hari ini terutama selepas PRU14 (Pilihan Raya Umum ke-14), kita lihat banyak pendakwaan politik telah dilakukan oleh pihak pemerintah.

"Saya melihatnya lebih kepada pembunuhan karakter terutama membabitkan pemimpin utama parti seperti Najib dan Ahmad Zahid (Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi).

"Dalam situasi hari ini apabila Ahmad Zahid sudah dilepaskan daripada pertuduhan mahkamah, mengapa tidak Najib? Lebih-lebih lagi kes beliau banyak tergantung dan tidak dijelaskan dengan baik,” katanya kepada Sinar Harian.

Sebelum ini media melaporkan, bekas Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin Abu Bakar mencadangkan supaya Najib dibebaskan bagi memberi nilai tambah kepada Kerajaan Perpaduan.

Bekas Ahli Parlimen Rembau itu berpandangan, sekiranya Ahmad Zahid boleh dibebaskan daripada 47 kes yang dihadapinya, ini bermakna Najib juga mempunyai harapan cerah untuk dibebaskan daripada hukuman penjara dan kes IMDB yang dihadapi.

Armand Azha yang turut bersetuju dengan cadangan berkenaan berkata, pembebasan Najib tidak mustahil untuk dilakukan.

"Atau terus berikan pengampunan diraja kepada Najib supaya beliau bebas dari penjara. Seterusnya beri khidmat lebih baik kepada rakyat, memikirkan dan beri nasihat bagaimana negara ini boleh maju terutama dari segi ekonomi dan hala tuju.

"Saya mohon kerajaan mengambil pandangan ini dan minta Lembaga Pengampunan juga mengangkat nama Najib untuk diberi pengampunan,” ujarnya.

Klik di sini untuk terus membaca