HARI ini sejumlah 207,032 pengundi di Johor akan menunaikan tanggungjawab mereka dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Pulai dan DUN Simpang Jeram. Walaupun dua PRK ini tidak membawa perubahan signifikan komposisi kedudukan kerusi, ia... Klik di sini untuk terus membaca

HARI ini sejumlah 207,032 pengundi di Johor akan menunaikan tanggungjawab mereka dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Pulai dan DUN Simpang Jeram. Walaupun dua PRK ini tidak membawa perubahan signifikan komposisi kedudukan kerusi, ia tetap menarik untuk diperhatikan.

Naratif Melayu-Islam masih menjadi titik tumpuan. Perikatan Nasional (PN) sudah tentu mahu melanjutkan ‘gelombang hijau’ yang kuat bersama mereka mara sehingga ke Selatan. Sementara Pakatan Harapan-Barisan Nasional (PH-BN) pula mahu menyekat kemaraan tersebut di samping memulihkan semangat yang terjejas teruk dalam enam pilihan raya negeri (PRN) bulan lalu.

Apa pun keputusannya hari ini, kepentingan untuk memahami afiliasi politik (baca: fahaman politik) orang Melayu menjadi sangat penting. Sebagai kelompok majoriti dalam landskap politik Malaysia yang dicirikan oleh pelbagai parti dan ideologi, afiliasi politik Melayu memerlukan pemahaman terhadap faktor sejarah, budaya, dan kontemporari setempat.

Pertama, memahami afiliasi politik Melayu memerlukan pengiktirafan sifat identiti Melayu yang pelbagai dan kepelbagaian ideologi politik Malaysia. Orang Melayu, seperti mana-mana kumpulan etnik lain, membuat pilihan politik mereka berdasarkan gabungan faktor sejarah, budaya, ekonomi, dan ideologi.

Sifat dinamik politik Malaysia bermakna bahawa afiliasi politik boleh berkembang dari masa ke masa, mencerminkan perubahan keutamaan dan keadaan. Dalam landskap politik Malaysia yang sentiasa berubah, wacana politik orang Melayu kekal sebagai kuasa penting yang membentuk hala tuju dan dasar negara.

Untuk memahami nuansa ini, seseorang mesti menghargai interaksi rumit sejarah, budaya, agama, dan isu kontemporari yang menentukan identiti politik orang Melayu sebagai kumpulan etnik terbesar di Malaysia.

Namun selepasnya, dua faktor ini paling menonjol dalam pengukuhan politik Melayu. Pertama faktor identiti bangsa yang berteraskan Melayu dan kedua, Islam sebagai komponen pelengkap kepada politik identiti orang Melayu. Kedua-dua faktor ini menjadi teras menjadikan parti politik orang Melayu mendominasi politik pilihan raya untuk sekian lama.

Dalam konteks pertama, UMNO memainkan peranan penting dalam mewakili kepentingan Melayu dalam politik Malaysia. UMNO adalah pemacu menuntut kemerdekaan dan pembentukan negara seterusnya. Komitmen parti untuk melindungi hak dan keistimewaan Melayu, seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Malaysia, telah mendapat sokongan yang besar dari masyarakat Melayu selama bertahun-tahun.

Walaupun begitu, Pas berjaya mengimbangi UMNO dalam satu lagi aspek terpenting membentuk komponen politik Melayu iaitu Islam. Islam adalah komponen asas identiti Melayu dan memainkan peranan penting dalam afiliasi politik dan sebagai sebuah parti Islam, Pas mempunyai pengikut yang besar di kalangan orang Melayu dengan mengutamakan nilai-nilai berkaitan dengan Islam yang sering menjadi tumpuan dalam wacana politik Melayu.

Namun selepas perubahan rejim tahun 2018, dinamik ini dilihat ketara berubah. Defisit keyakinan dan sokongan orang Melayu terhadap UMNO, pecahan undi orang Melayu kepada parti-parti yang berbeza dan kemunculan Muafakat Nasional (MN) dan PN sebagai alternatif baharu dalam konteks politik identiti Melayu-Islam merubah landskap tersebut.

Perubahan tersebut berterusan dalam PRU15 sehingga menghasilkan keputusan parlimen tergantung dan status quo berat sebelah dalam enam PRN – disebabkan faktor Melayu-Islam yang berjaya dimonopoli oleh satu parti (PN) berbanding terpecah di antara UMNO dan Pas sebelumnya.

Walaupun perkembangan ini sedikit membimbangkan – kecenderungan politik polarisasi dan potensi buruk daripadanya kalau tidak dikawal – hakikat bahawa trend ini dijangka berterusan dalam konteks politik Melayu-Islam semakin tidak terelak lagi. Mungkinkah kita juga akan melihatnya hari ini apabila keputusan PRK diumumkan kelak?

* Mujibu Abd Muis ialah Pensyarah Kanan Sains Politik Fakulti Sains Pentadbiran & Pengajian Polisi (FSPPP) Universiti Teknologi Mara (UiTM)

Klik di sini untuk terus membaca