IBARAT jenayah terancang apabila khidmat rawatan gigi haram dikesan mengupah tonto bagi memantau kehadiran penguat kuasa.
Bagi 'melicinkan' kegiatan mereka, sindiket yang beroperasi di premis komersial turut dilengkapi kamera litar tertutup (CCTV).
Mereka turut memiliki maklumat setiap pegawai dan anggota penguat kuasa bagi menghalang perkhidmatan digempur.
Pasukan operasi juga berdepan dengan ancaman jenayah apabila diugut dan diekori.
Pengarah Kanan (Kesihatan Pergigian) Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Dr Noormi Othman berkata, berdasarkan tindakan dan serbuan yang dilaksanakan, antara taktik terbaharu dijalankan pengamal pergigian haram itu ialah bergerak secara mobil dan tidak tetap dengan satu alamat.
Ujar beliau, ia bagi menyukarkan dikesan KKM biar pun masih beroperasi di premis komersial seperti pusat kecantikan serta premis kedai.
Katanya, doktor haram itu juga menjalankan rawatan di lokasi yang dipersetujui oleh pelanggan.
"Jika pelanggan kata datang rumah, dia akan ke rumah. Ada juga yang dikesan menawarkan khidmat itu di hotel,” ujarnya.
Ujarnya lagi, antara rawatan yang ditawarkan ialah pemasangan pendakap gigi atau braces, pemutihan gigi dan sarung gigi (vaneer).
"Pemasangan braces (1 rahang) lingkungan RM100 hingga RM500, pemutihan gigi (RM100 - RM200), veneer (RM600 - RM5,000), penskeleran atau cuci gigi (RM70 – RM100) dan tampalan komposit (RM70 – RM150),” katanya eksklusif kepada Sinar Harian.
Noormi mendedahkan, pelanggan yang terpedaya dengan tawaran itu akan diminta membayar wang deposit sehingga RM1,000 bergantung rawatan yang diingini.
"Bagi pengamal haram yang mobil ini, lokasi rawatan akan diberi selepas mereka menerima bayaran deposit dan itu pun hanya dimaklumkan sehari sebelum rawatan diberi. Mereka tidak akan beritahu awal kerana mahu menjaga keselamatannya,” katanya.
Dedahnya lagi, hasil siasatan mendapati kegiatan pengamal pergigian haram ini mempunyai kumpulan dan bersindiket.
"Contohnya bila seseorang tidak dapat beri khidmat, mereka akan serah kepada orang lain iaitu dalam rangkaian yang sama juga.
"Jika kategori yang operasi di pusat kecantikan, mereka memang ada rangkaian contohnya yang baru-baru ini bila kita masuk semua pusat telah ditutup dan barang semua disorok.
Tambah Noormi, mereka juga sentiasa berhati-hati apabila meminta muka pelanggan terlebih dahulu untuk proses pengesahan.
"Sebelum ini, apabila dah bayar deposit boleh dapat rawatan, tapi hari ini mereka semakin berhati-hati.
"Kegiatan haram ini menjerat mangsa hingga ‘doktor gigi’ ini mampu peroleh RM100,000 hingga RM150,000 sebulan dan sebab itu mereka mampu mengupah tonto. Kalau khidmat di peringkat bawahan (kecil-kecilan), mereka dapat untung sekitar RM10,000 sebulan,” katanya.
Menurut Noormi, pihaknya juga berdepan cabaran apabila diekori tonto dan diugut.
"Ada anggota operasi yang dimaki hamun, diugut kata kenal suami, anak dan keluarga. Kita percaya kegiatan ini melibatkan gengster,” ujarnya.
Pada tahun lalu hingga Mei tahun ini, pihaknya telah melaksanakan 33 serbuan melibatkan kegiatan pengamal pergigian haram.
Menurutnya, tahun lalu sahaja, ada 23 serbuan dilaksanakan, manakala dalam tempoh lima bulan tahun ini setakat Mei, sebanyak 10 serbuan dijalankan.
"Seramai 10 individu berusia 17 hingga 32 tahun termasuk tiga warga asing telah dituduh di mahkamah di mana salah seorang telah dipenjara dan selebihnya didenda dengan jumlah RM469,000.
"Tindakan diambil di bawah Akta Pergigian 2018 [Akta 804] serta Akta Kemudahan dan Perkhidmatan Jagaan Kesihatan Swasta 1998 [Akta 586],” katanya.
TAYANG SIJIL, TESTIMONI
Ujar beliau, bagi menarik minat pelanggan, pengamal pergigian haram ini akan menunjukkan testimoni pelanggan kononnya berpuas hati dengan khidmat diberikan selain menunjukkan sijil penyertaan kursus.
"Mereka tunjuk sijil, adakah sijil itu diyakini? Kita perlu didik masyarakat tentang perbezaan sijil sama ada sah, ada validity atau tidak.
"Sijil boleh diciplak. Perlu perhalusi dengan bertanya. Pelanggan berhak untuk bertanya. Gunakan hak sebagai pelanggan dan usah percaya bulat-bulat,” katanya.
Jelasnya, selain itu, mereka turut mengarahkan pelanggan untuk menandatangani surat kontrak agar tidak mendedahkan maklumat.
Kata Noormi, doktor gigi palsu itu mendakwa sekiranya pelanggan membocorkan maklumat, boleh diambil tindakan di mahkamah.
"Kontrak yang disain itu tidak betul. Secara logiknya, khidmat yang diberikan suspek adalah salah dan sudah tentu mereka yang akan diheret ke mahkamah,” katanya.
Mengulas lanjut, KKM percaya produk atau barang yang digunakan seperti braces yang pelbagai warna diperoleh suspek menerusi pembelian secara online.
"Barang yang dibeli ini tidak berdaftar dan mereka dapatkan dengan harga murah dan beritahu pelanggan kononnya barang mereka berkualiti serta ada kelulusan,” katanya.
Jelas Noormi, pemasangan braces misalnya memerlukan kepakaran kerana sekiranya tiada ilmu, ia akan dipasang secara terbalik atau tidak betul hingga menjejaskan pergerakan gigi.
"Mereka ini seolah-olah pakar, walhal kesannya kepada pelanggan sangat teruk.
"Apabila gigi terlebih tarik, ia akan mengakibatkan akar menghaus dan terjejas hingga gigi menjadi goyang selain menyebabkan gusi membengkak,” ujarnya.
Noormi berkata, pihaknya juga mengesan ada di kalangan murid dan pelajar yang mendapatkan rawatan haram ini.
"Mereka sanggup membayar sekitar RM100 hingga RM400 untuk mendapatkan braces ikut pilihan warna.
"Kita kesan khidmat ini kerana murid dan pelajar ini mendapatkan khidmat dari rakan-rakan mereka yang hanya melihat melalui YouTube. Mungkin anggap pakai braces ini untuk cari identiti sendiri, mahu tarikan dan status sosial,” katanya.
Dalam usaha mengekang aktiviti ini, KKM memandang serius amalan haram yang diberikan dan akan berusaha membanteras secara berterusan untuk memastikan khidmat rawatan pergigian yang disediakan kepada masyarakat adalah selamat.
"Kepatuhan kepada undang-undang di Malaysia adalah tanggungjawab bersama tanpa mengenal latar belakang.
"KKM akan memastikan tindakan perundangan akan diambil semaksimum mungkin tanpa kompromi. Masyarakat perlu sedar hak mereka sebagai pelanggan dalam memilih rawatan,” katanya.
Justeru, masyarakat diminta mendapatkan khidmat dan rawatan di premis yang berdaftar dengan KKM, pengamal pergigian yang bertauliah dan berdaftar dengan Majlis Pergigian Malaysia.
"Jangan mudah terpedaya dengan tawaran dan promosi serta janji manis yang ditawarkan oleh mereka,” ujarnya.
TERPAKSA JALANI IMPLAN
Dr Noormi berkata, akibat mendapatkan rawatan haram, terdapat pesakit yang terpaksa berdepan penderitaan seumur hidup.
"Kita ada terima pesakit yang akhirnya perlu menjalani rawatan implan.
"Implan ini ialah rawatan terakhir kerana gigi asal terpaksa dicabut akibat akar gigi terkeluar dan sukar untuk disembuhkan,” jelasnya.
Menurut beliau, selain itu ada pesakit yang mengadu alami gusi bengkak, berdarah selain alami penyakit berjangkit.
Katanya, amat tidak berbaloi wang yang dibayar untuk mendapatkan rawatan pergigian tetapi terpaksa menanggung risiko akibat dari rawatan tersebut.
"Peralatan yang digunakan oleh pengamal haram ini tidak terjamin kebersihannya. Pengalaman semasa serbuan dijalankan, tiada seorang pun petugas yang memiliki autoklaf bagi membasmi kuman ke atas peralatan yang digunakan.
"Mereka hanya mencuci peralatan dengan air dan sabun, malahan ada yang hanya mengelap menggunakan tisu,” dedahnya.
Tambah beliau, sekiranya anda di luar sana adalah mangsa amalan haram tersebut, jangan takut untuk tampil memberi maklumat dan bekerjasama bersama unit penguatkuasaan KKM sehingga mereka yang terlibat dapat diberkas.
"Ini dapat mengelakkan lebih ramai masyarakat terpedaya dengan mereka. Pengguna yang baik sentiasa memastikan diri dan masyarakat sekelilingnya selamat,” katanya.
Klik di sini untuk terus membaca