NEGARA Thailand dan Malaysia banyak persamaan. Kedua-dua negara mengamalkan sistem raja berperlembagaan, mempunyai bekas Perdana Menteri yang sedang menjalani hukuman penjara dan dipimpin kerajaan yang dibentuk oleh dua parti politik yang... Klik di sini untuk terus membaca

NEGARA Thailand dan Malaysia banyak persamaan. Kedua-dua negara mengamalkan sistem raja berperlembagaan, mempunyai bekas Perdana Menteri yang sedang menjalani hukuman penjara dan dipimpin kerajaan yang dibentuk oleh dua parti politik yang bermusuhan sejak berdekad-dekad dahulu.

Walaupun parti Move Forward yang bersifat progresif dan liberal telah memenangi paling banyak kerusi, pemimpin mereka masih gagal mendapat sokongan daripada Parlimen untuk membentuk kerajaan. Situasi ini menjadi kemelut politik Thailand selama tiga bulan.

Parlimen yang tergantung telah memberikan peluang kepada bekas Perdana Menteri Thaksin Shinawatra yang hidup dalam buangan selama 15 tahun untuk pulang ke kampung halaman. Pengampunan Raja Maha Vajiralongkorn negara Thai terhadap bekas Perdana Menteri itu pada minggu lepas menimbulkan spekulasi bahawa beliau telah mencapai perjanjian dengan institusi diraja untuk mengurangkan hukuman penjara kepada satu tahun sebagai pertukaran untuk mengekalkan kuasa mereka.

Parti Move Forward telah mencadangkan dalam manifesto pilihan raya mereka untuk menggubal undang-undang yang melarang penghinaan institusi diraja (lese-majeste). Semestinya, institusi diraja Thailand rasa terancam oleh cadangan parti Move Forward yang popular dalam kalangan orang-orang muda dan penduduk-penduduk bandar.

Kerjasama antara parti Pheu Thai yang mendapat sokongan daripada penduduk luar bandar dengan parti protentera United Thai Nation yang dipimpin mantan Perdana Menteri dan ketua tentera Prayut Chan-ocha amat "nostalgia” bagi rakyat Malaysia dan memberi peringatan bahawa tiada musuh politik yang berkekalan.

Selepas pengumuman tersebut, banyak berita yang melaporkan bahawa rakyat Thai berasa kecewa terhadap gabungan parti-parti politik tersebut, dan situasi ini sekali lagi mengimbas kembali cerita PRU15 Malaysia.

Satu lagi persamaan adalah populariti Thaksin, dan bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak. Kepulangan Thaksin ke Thailand disambut meriah seperti seorang wira walaupun beliau ditahan sejurus tiba di lapangan terbang.

Beratus-ratus penyokong tegar Thaksin yang berbaju merah boleh dinampak setia menunggu di terminal lapangan terbang persendirian memegang poster dan melaungkan kata-kata semangat kepadanya.

Seperti pakcik dan makcik yang rindu akan era BR1M, bantuan kepada nelayan dan petani "Bossku”, banyak orang Thai yang masih ingat skim kesihatan 30 baht dan pinjaman kepada petani di bawah pemerintahan Thaksin dari tahun 2001 ke 2006.

Perbezaan Thaksin dan Najib pada masa sekarang adalah parti Pheu Thai masih popular dalam kalangan penduduk-penduduk kurang pendapatan tetapi untuk parti UMNO, sebahagian besar daripada penyokong-penyokong luar bandar mereka telah beralih menyokong Perikatan Nasional.

Untuk Najib, kes beliau lebih kompleks berbanding Thaksin. Kerajaan dan institusi diraja menerima baik kepulangan Thaksin dan beliau dipercayai akan memainkan peranan dalam politik Thailand manakala di Malaysia, pelbagai pihak yang inginkan Najib menjalani hukuman dalam penjara lagi, dan ramai yang masih menunggu-nunggu keputusan kes mahkamah isterinya Rosmah Mansor.

Pengendalian kes Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi telah mendatangkan ketidakpuasan daripada parti-parti yang lain. Adakah Najib boleh dibebaskan dengan sewenang-wenangnya? Rasanya tidak kerana masih terdapat empat lagi kes yang belum habis dibicarakan di mahkamah.

Pengaruh politik kedua-dua ahli politik berusia 70-an ini masih kuat dalam parti politik tersendiri. Thaksin dijangka menolong parti Pheu Thai mengemudi landskap politik dengan parti-parti gabungan lain, manakala di Malaysia, masih ramai ahli UMNO yang mengharapkan Najib untuk mengembalikan era kegemilangan parti.

* Christine Cheah ialah seorang pemudi yang ingin mengangkat martabat wanita dalam kalangan masyarakat

Klik di sini untuk terus membaca