JOHOR BAHRU - Kerjasama Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) diterima pengundi Parlimen Pulai dan di Dewan Undangan Negeri (DUN) Simpang Jeram apabila mengekalkan kedua-dua kerusi tersebut pada pilihan raya kecil (PRK) pada Sabtu.
Dalam keputusan yang diumumkan malam tadi bagi PRK Parlimen Pulai, Naib Pengerusi Amanah Johor yang mewakili PH-BN, Suhaizan Kaiat memperolehi 48,283 undi menewaskan pencabarnya dengan majoriti 18,641 undi.
Calon Perikatan Nasional (PN) Zulkilfi Jaafar mendapat 28,642 undi manakala calon bebas, Samsudin Mohamad Fauzi memperolehi 528 undi.
Keputusan rasmi diumumkan Pegawai Pengurus Suruhanjaya Pilihan Raya bagi PRK P161 Parlimen Pulai, Miswan Yunus.
PH turut mempertahankan kerusi DUN Simpang Jeram apabila calon PH, Nazri Abdul Rahman memperoleh 13,844 undi menewaskan calon PN, Dr Mohd Mazri Yahya (10,330) dengan majoriti 3,514 undi.
Calon bebas, S. Jeganathan memperoleh 311 undi. Sebanyak 74 undi ditolak serta 12 kertas undi tidak dikembalikan.
Sementara itu, bilangan pengundi yang menunaikan tanggungjawab bagi Parlimen Pulai dan DUN Simpang Jeram agak rendah berikutan keadaan cuaca yang tidak mengizinkan.
Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Tan Sri Abdul Ghani Salleh berkata, sehingga jam 5 petang, sebanyak 45 peratus direkodkan telah menunaikan tanggungjawab mereka untuk Parlimen Pulai, manakala di DUN Simpang Jeram pula sebanyak 59 peratus.
Katanya, proses pengundian di kedua-dua PRK itu berjalan lancar dan terkawal tanpa sebarang kejadian tidak diingini.
Tinjauan pada hari pengundian mendapati, biarpun hujan lebat di beberapa kawasan di Parlimen Pulai termasuk pusat mengundi SMK Taman Bukit Indah, namun pengundi tetap keluar melaksanakan tanggungjawab mereka dengan berpayung.
Seramai 205,810 pengundi berdaftar layak menunaikan tanggungjawab mereka bagi PRK Parlimen Pulai dan DUN Simpang Jeram pada Sabtu, dengan 165,509 pemilih merupakan mengundi bagi Parlimen Pulai, sementara DUN Simpang Jeram melibatkan 40,301 pengundi.
Terdapat sebanyak 47 pusat mengundi membabitkan 294 saluran di Parlimen Pulai, manakala DUN Simpang Jeram pula sebanyak 14 pusat mengundi dengan 68 saluran.
Mengulas mengenai kemenangan PH-BN, Penganalisis politik dari Universiti Sultan Zainal Abidin, Dr Hussain Yusri Zawawi berkata, dengan keputusan itu, gelombang hijau telah disekat daripada mara ke selatan tanah air.
Ia turut didorong kedudukan negeri itu yang diketahui menjadi kubu kuat UMNO dan faktor kebanyakan rakyat berpuas hati dengan sentimen kepimpinan Allahyarham Datuk Seri Salahuddin Ayub ketika menerajui Parlimen dan DUN.
"Secara jelasnya, kita menyaksikan bahawa Allahyarham (Salahuddin) begitu mengambil berat tentang masalah penduduk dengan diberi perhatian dan penyelesaian dalam beberapa isu.
"Banyak usaha yang beliau lakukan dalam pelbagai projek pembangunan, infrastruktur dan sosial yang memberi manfaat kepada penduduk.
"Rekod kepimpinan yang bersih dan mantan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) yang dilihat sangat peka kepada isu-isu kesusahan dan tekanan hidup rakyat dengan pelbagai usaha diperingkat kementerian yang antaranya adalah isu rahmah,” katanya.
Hussain Yusri berkata, kegagalan PN menembusi negeri itu turut membuktikan pelbagai isu yang dibangkitkan atau sentimen yang dimainkan sepanjang kempen PRK berkenaan tidak memberi kesan kepada rakyat Johor.
Klik di sini untuk terus membaca