TANGGAL 1 September 2023, akan dikenang sebagai hari kesedihan bagi dunia kritikan sastera Melayu, justeru berpulangnya ke negeri abadi seorang tokoh kritikawan tersohor, Profesor Emeritus Datuk Mohd Yusof Hasan.
Beliau contoh kritikawan yang membuat kajian hanya mengkhusus kepada seorang penulis, dan setia kepada sebuah teori.
Begitu juga sewaktu membuat kajian akademiknya di peringkat ijazah pertama menulis latihan ilmiah berdepan dengan karya Allahyarham Profesor Emeritus Datuk Dr Shahnon Ahmad.
Malah di peringkat sarjana dan kedoktoran juga mengkaji teks-teks Shahnon Ahmad.
Di peringkat ijazah pertama, Mohd. Yusof Hasan mengkaji Novel-Novel Shahnon Ahmad dari Sudut Ekstrinsik. Di peringkat sarjana Bahasa Daerah Dalam Karya-Karya Shahnon Ahmad.
Untuk kedoktorannya beliau menyiapkan kajian terhadap Shahnon Ahmad dengan judul Novels of the Troubled Years. Jelas sekali keseluruhan kajian Mohd Yusof Hasan tertumpu kepada Shahnon Ahmad.
Dilahirkan pada tahun 1940 di Jitra, Kedah. Mendapat pendidikan awal di sekolah rendah, ke sekolah menengah dan kemudian memasuki Universiti Malaya, Kuala Lumpur mendapat ijazah sarjana muda sastera.
Kemudian melanjutkan pelajarannya di Universiti Sains Malaysia memperoleh ijazah sarjana, dan kemudian bertugas sebagai pensyarah di Pusat Pengajian Ilmu Kemanusiaan, Universiti Sains Malaysia.
Bagi mendapatkan gelaran doktor, Mohd Yusof Hasan berangkat ke Australia untuk menyambung pendidikannya di Universiti Nasional Australia, Canberra.
Sumbangan kritikannya, dimulai pada tahun 1970-an terhadap cerpen Shahnon Ahmad, yang beliau dapati sangat terkenal dengan karyanya yang menarik dan bermutu.
Shahnon Ahmad tersohor kerana kebijaksanaannya dalam menggunakan bahasa. Stail utara dengan bahasa daerahnya menjadi ciri pengkaryaannya.
Dan orang yang mengkaji dan menganalisis stail itu, dan menyatakan sebagai keistimewaan Shahnon Ahmad ialah Mohd Yusof Hasan. Sejak itu namanya sebagai pengkritik dirujuk jika seseorang itu membicarakan Shahnon Ahmad.
Teori formalistik
Kedua, Mohd Yusof Hasan dikenali sebagai peneliti dan pengkritik yang berijazah, memiliki disiplin dan tatacara bekerja yang teratur dan sistematis. Namanya sering dibariskan sebagai kumpulan pengkritik lepasan universiti dan telah mengalami pembelajaran kritikan sastera.
Oleh itu beliau termasuk pengkritik yang berhati-hati dalam kritikannya dan penuh tanggungjawab.
Ketiga, Mohd Yusof Hasan menggunakan teori formalistik, dan sangat setia dengannya. Ramai pengkritik yang menggunakan pendekatan ini, kerana yakin dengan idealismenya yang mampu melihat kekuatannya sebagai teks sastera, dan dapat menghuraikan aspek keindahan dan keistimewaan sesebuah teks.
Meskipun demikian, formalistik di tangan Mohd Yusof Hasan sama seperti di tangan Hashim Awang, telah mengalami pengejapan dengan kemasukan unsur-unsur ilmiah.
Malah, dari suatu segi yang lain pendekatannya menghampiri the new critic dan strukturalisme, iaitu mengkaji aspek hubungan dan kaitan dalam aspek-aspek pembinaan teks.
Kepentingan kritikannya ialah Mohd Yusof Hasan dikesan pada awalnya menulis karya kreatif. Pada l969 menghasilkan sajak untuk antologi Kebangkitan sebagai suara The Malay Power iaitu ketuanan Melayu.
Ini menunjukkan bahawa Mohd Yusof Hasan juga seorang yang peka terhadap subjek kemiskinan rakyat bawahan.
Kebangkitan adalah manifestasi penulis utara tanah air yang bersatu menentang ketidakadilan sosial dan kealpaan pemimpin yang dipertanggungjawabkan untuk memperbaiki dan memperjuangkan nasib rakyat.
Sajak-sajak antara lain ditulis oleh Jihaty Abadi, Suhaimi Haji Muhammad, Nahmar Jamil dan Rejab F.I. Walaupun Mohd Yusof Hasan menyumbangkan sajaknya, tetapi sebenarnya beliau bukanlah meneruskannya atau terkenal sebagai penulis kreatif.
Kedua, implikasi daripada peristiwa 13 Mei 1969 telah menjadi inspirasi kepada para penulis untuk meneruskan agenda The Malay Power.
Shahnon Ahmad adalah salah seorang yang sangat kuat berpegang kepada The Malay Power itu. Shahnon Ahmad telah menghasilkan teks AI dan Salam Keluarga.
Maka Mohd Yusof Hasanlah yang telah melakukan kajian dan kritikan terhadap karya-karya Shahnon Ahmad itu. Para pengkritik lainnya bertanggapan bahawa kritikan yang dilakukan oleh Mohd Yusof Hasan itu tepat dan berjaya.
Bahasa daerah
Ketiga, pada 1970-an Muhd Yusof Hasan mula mengkritik cerpen di majalah dan akhbar. Ini bererti pengkritik mula prolifik dan mendapat kepercayaan dan kekuatan.
Kritikannya diterima oleh masyarakat sastera sebagai kuat dan tajam serta jelas hujahannya, dengan cepat beliau dibariskan bersama-sama dengan pengkritik yang terkenal waktu itu. Namanya sering dibariskan dengan Hashim Awang, Yahaya Ismail dan Ramli Isin.
Keempat, hasil daripada kajian dan kritikan Muhd Yusof Hasan membuktikan, bahawa bahasa daerah boleh dijadikan stail kepada para penulis. Bahasa daerah dapat melukiskan secara realistik, dan dialognya juga mampu menjelaskan situasi tempatan. la lebih menarik, segar dan hidup.
Mohd Yusof Hasan telah membuktikan salah satu kekuatan karya Shahnon Ahmad ialah penerapannya dengan bahasa daerahnya.
Antara lain tulisannya ialah Srengenge: Simbolisme Konflik Nilai Dewan Bahasa, 1974. Seluang Menodak Baung: Rakyat dan Ubi Gadung Dewan Sastera, 1979, dan Kata-Kata Daerah Dalam Karya-Karya Shahnon Ahmad Dewan Bahasa, 1979.
Kelima, sebagai seorang pengkaji Mohd Yusof Hasan pernah membuat kajian terhadap karya-karya penulis Brunei, terutamanya dalam bidang fiksyen.
Pendekatan yang digunakannya ialah formalistik. Kajian dan kritikannya ini sangat berharga, justeru selama ini sastera moden Brunei jarang mendapat kritikan dari luar negara.
Pun sastera Brunei kekurangan kajian yang dilakukan terhadapnya. Sumbangan yang diberikan oleh Mohd Yusof Hasan sungguh bermakna dan signifikan kepada sejarah perkembangan sastera Brunei.
Keenam, dekad 1990-an merupakan zaman kelahiran teori sastera tempatan.
Antara teori itu ialah teori taabudiyyah, puitika sastera Melayu, Pengkaedahan Melayu, teksdealisme dan takmilah.
Pada tahun 2002 Mohd Yusof Hasan telah mengetengahkan teori sasteranya yang diberi nama Teori SPB4K. Tujuannya untuk membina pembangunan mental bangsa Malaysia dan mewujudkan negara yang bermartabat.
Untuk meningkatkan pembangunan pemikiran bangsa Malaysia, teori ini mempunyai formula pemikiran SPB4K, iaitu Sistem Pemikiran Bersepadu 4K - Keimanan, Kebitaraan, Kesaintifikan dan Kekreatifan.
Teori ini bersifat majmuk dan eklektikal. Demikianlah jalur perjalanan seorang pengkritik. Pada mulanya sangat tertarik pada kritikan formalistik, dan mengkhusus pada kajian aspek bahasa, terutamanya bahasa daerah.
Bahasa daerah itu dilihatnya sebagai sebuah gaya naratif atau stail dan kajiannya pun hanya tertumpu kepada Shahnon Ahmad sahaja.
Kemudian kritikannya kepada sastera luar negara dan dunia seluruhnya. Akhirnya mencipta teorinya sendiri yang berpaksikan kepada pemikiran.
* Mana Sikana ialah nama pena Dr Abdul Rahman Napiah. Beliau ialah pengkritik, pengkaji dan penteori sastera terkenal Malaysia
Klik di sini untuk terus membaca