APABILA Amerika Syarikat menyertai Perang Dunia Pertama di Eropah pada tahun 1917, salah satu cogan katanya adalah "Food Will Win the War".
Ertinya kalau ada makanan yang cukup untuk bala tentera dan rakyat jelata, harapan menang perang lebih cerah.
Peperangan itu hampir-hampir menyebabkan Eropah kebuluran kalau tidak kerana bekalan gandum dari Amerika.
Seorang jeneral Rom pula berkata lebih kurang, berikan aku bekalan makanan yang cukup, aku akan tawan lebih banyak wilayah untuk Rom.
Maka tidak hairanlah makanan, termasuk arak, serta kelengkapan sajian adalah sangat diutamakan dalam angkatan perang Rom.
Kita sudah lama tidak mengalami keadaan perang. Yang terakhir adalah Darurat 1948-60 apabila bekalan makanan dikawal supaya tidak jatuh ke tangan pasukan bersenjata komunis.
Tetapi tiba-tiba, 66 tahun lepas merdeka, dan dalam keadaan aman rakyat jelata mengeluh mengenai kenaikan harga bahan-bahan makanan dan kekurangan bekalan beras.
Ini adalah keadaan yang sangat membimbangkan. Malah ia sudah menular sehingga menyebabkan kerencatan di kalangan kanak-kanak keluarga miskin meningkat semula.
Mengapakah hal ini terjadi di Malaysia yang buminya luas serta subur dan cuacanya baik?
Jawapannya ialah kerana kerajaan cakap tidak serupa bikin dan rakyat jelata leka dengan subsidi dan gula-gula pilihan raya.
Baguslah kalau Kerajaan Perpaduan ini (dan mana-mana juga pentadbiran di masa akan datang) merancang membelanjakan RM3 bilion bagi memperbaiki prasarana persawahan. Itulah yang diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, di Alor Setar 15 Julai lalu.
Walaupun jumlah RM3 bilion itu tidaklah besar berbanding puluhan bilion ringgit yang dibelanjakan membina prasarana pengangkutan bandar, ia tetap dialu-alukan.
Saya selalu ungkit janji kerajaan tahun 2006 akan membelanjakan penjimatan subsidi petrol sama rata di kalangan semua rakyat jelata yang terkesan dengan kenaikan harga bahan bakar.
Sebanyak RM50.2 bilion dianggarkan sedang dibelanjakan bagi meluaskan sistem transit bandar tetapi amat sedikit bagi menaikkan taraf prasarana pertanian, khususnya persawahan.
Tidak peliklah kalau daripada banyak kawasan padi di negara kita ini, hanya Sekinchan lengkap dengan sistem perparitan tertier (tertiary irrigation). Yang lain boleh dikatakan hanya separuh jalan.
Apabila bekalan beras dunia merosot, eksport disekat dan harga melambung, barulah timbul macam-macam cerita tipu diri dalam pengeluaran dan pemasaran beras negara.
Bukan perkara baru pun. Sudah dialami dan diketahui berdekad-dekad lamanya. Misalnya pergantungan kepada orang tengah, sawah milik orang Melayu yang dipajak kepada orang bukan Melayu, khususnya Cina, keluasan bendang yang semakin sempit kerana faraid dan tukar guna tanah, keracunan tanah kerana penggunaan baja kimia berlebihan dan lumpur semakin dalam akibat penggunaan jentera pertanian yang terlalu berat.
Tidak seperti pesawah Jepun yang menggunakan alat jentera yang sesuai dengan bumi mereka dan pesawah Thailand yang pandai mereka-cipta dan menyesuaikan alat jentera, petani kita kurang teknologi dan terlalu bergantung kepada apa yang disediakan oleh orang tengah.
Berkenaan kenaikan mendadak harga beras import, minta maaflah saya guna istilah "bodoh". Hanya orang bodoh saja membenarkan kenaikan begitu besar - 36 paratus - sekali gus.
Saya minta pandangan seorang bekas eksekutif kanan Bernas mengenai keputusan Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) meminta pengilang padi menyerahkan 20 peratus kuota mereka untuk diproses oleh Bernas bagi menghasilkan beras putih tempatan.
Katanya, langkah itu tidak masuk akal dan memalukan. Kerajaan membenarkan kenaikan harga beras import terlalu tinggi. Tidak dapat tidak, peniaga akan mencampurkan beras tempatan dengan beras import bagi tujuan membuat keuntungan. Apatah lagi apabila perbezaan harga beras tempatan dan import terlalu besar.
Kata beliau, kerajaan sepatutnya memikirkan sedalam-dalamnya sebelum membenarkan kenaikan harga yang besar seperti itu dan membuat persediaan terperinci. Inilah yang sepatutnya menjadi tanggunjawab dan amanah pengimport tunggal seperti Bernas.
Katanya, tugas mereka adalah memantau aliran pembekalan dan perdagangan beras dunia serta membuat ramalan yang tepat supaya boleh melakukan pembelian pada harga terbaik dan menyimpan stok.
Maaf cakaplah kalau saya kata, perkembangan terbaru ini nampak seolah-olah Bernas menghadiahkan RM60 juta kepada kerajaan untuk diagih-agihkan kepada pesawah dan dengan sekelip mata harga import naik 36 peratus.
Boleh jadi tidak semua orang tahu yang melalui Bernas, Malaysia mengimport 1.24 juta tan metrik beras tahun lalu, meningkat daripada 1.16 juta tan tahun 2021.
Kesimpulannya, bala yang sedang menimpa kita dalam bentuk kenaikan harga beras import dan kekurangan bekalan beras tempatan ini adalah akibat dasar, perancangan dan pelaksanaan jangka panjang dan pendek yang compang-camping, banyak cakap dan berbohong kepada diri sendiri.
* Datuk A Kadir Jasin ialah Tokoh Wartawan Negara
Klik di sini untuk terus membaca