APABILA disebut rahsia, apa yang segera terbayang dalam benak kita adalah perkara jelik atau perbuatan-perbuatan curang seseorang atau sekumpulan individu yang mahu disorok daripada diketahui umum.
Tetapi rahsia juga boleh jadi maklumat-maklumat menarik mengenai seorang tokoh yang hanya diketahui oleh individu berkenaan hasil hubungan akrab terjalin antara mereka yang tidak diketahui orang lain.
Sekiranya catatan pengalaman itu tidak dirakam dalam bentuk lisan atau tulisan, maklumat-maklumat rahsia itu kekal tersembunyi untuk selama-lamanya. Orang lain tidak berpeluang berkongsi maklumat rahsia itu.
Justeru apabila mantan Setiausaha Akhbar Tun Dr Mahathir Mohamad, Datuk Zakaria A Wahab memberitahu saya di Medan pada Februari lalu bahawa beliau sedang menyiapkan buku berjudul Rahsia Mahathir sebagai mencatat rakaman pengalaman 11 tahun beliau berkhidmat dengan mantan Perdana Menteri itu, saya tentulah antara yang teruja untuk membaca buku yang bakal diterbitkan itu.
Setelah menunggu hampir setengah tahun, buku tersebut akhirnya siap dicetak dua bulan lalu. Selasa lalu, senaskhah buku setebal 246 muka surat itu menjadi milik saya. Oleh kerana buku itu ditulis secara santai oleh Zakaria, saya tidak mengambil masa lama untuk membacanya.
Memang banyak kisah-kisah menarik mengenai Dr Mahathir yang dicatatkan Zakaria dalam buku ini bukan sahaja mengenai peristiwa-peristiwa besar sewaktu menjadi Perdana Menteri, tetapi pemerhatian Zakaria mengenai keperibadian tokoh yang pernah dua kali menjadi ketua kerajaan itu.
Ini termasuk makanan kegemaran Dr Mahathir, kerajinan luar biasa beliau bekerja bukan sahaja di pejabat tetapi di rumah, minat dalam bidang-bidang tertentu yang telah mempengaruhi dasar-dasar negara, bagaimana beliau menghabiskan hujung minggu kalau tidak beriadah, hubungan dengan rakyat sebagai seorang pemimpin negara dan banyak lagi.
Turut dikongsi oleh Zakaria beberapa anekdot mengenai mantan Perdana Menteri itu. Antaranya, Dr Mahathir suka memandu sendiri keretanya pada hujung minggu atau apabila ada kesempatan berbuat demikian.
Kerana memandu melebihi had laju, beliau pernah ditahan dalam operasi perangkap laju di Bukit Beruntung sewaktu memandu dari Tanjong Malim ke Kuala Lumpur.
Tidak kurang mendebarkan kisah peristiwa kapal terbang yang dinaiki Dr Mahathir dipintas oleh dua jet pejuang Itali sewaktu melalui ruang udara negara tersebut ketika dalam perjalanan 12 jam dari Maputo di benua Afrika ke London.
Satu bab buku Zakaria ini juga memuatkan foto-foto menarik yang beliau rakam ketika mengiringi Dr Mahathir mengadakan pertemuan dengan para pemimpin asing dalam lawatan ke luar negara yang belum pernah disiarkan di mana-mana sebelum ini.
Bagi saya Rahsia Mahathir akan menjadi satu lagi sumber rujukan tambahan primer yang tiada tolok bandingnya untuk siapa juga yang ingin mengetahui tindak tanduk beliau sebagai Perdana Menteri pada 1 Jun 1992 hingga 31 Oktober 2003 mengenai perkara-perkara tertentu, terutama dalam menyediakan ucapan.
Ini kerana, 11 tahun terakhir Dr Mahathir menjadi Perdana Menteri, berlaku sekurang-kurang tiga peristiwa besar yang menduga kepimpinan beliau.
Ini termasuk krisis kewangan Asia pada 1998; pemecatan timbalannya, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada tahun sama dan pengumuman mengejutkan peletakan jawatannya sebagai Perdana Menteri ketika Perhimpunan Agung UMNO pada 22 Jun 2002.
Bagi Zakaria yang menyertai Bernama selepas menamatkan pengajian dalam bidang kewartawanan di Institut Teknologi Mara pada tahun 1980, bekerja dengan Mahathir macam sudah ditakdirkan.
Beliau pertama kali bertemu Dr Mahathir sewaktu berusia 18 tahun pada tahun 1975. Ketika itu beliau belajar di Kolej Sultan Ismail, Kota Bharu. Dr Mahathir berada di kolej tersebut untuk merasmikan satu majlis UMNO.
Sejak itu, Zakaria sudah tertarik dengan sosok pemimpin yang bernama Dr Mahathir yang menurut pengamatannya memang dilahirkan menjadi seorang pemimpin.
Justeru apabila ditawarkan jawatan sebagai Penolong Setiausaha Akhbar kepada Perdana Menteri 17 tahun selepas pertemuan itu pada tahun 1992, beliau tidak berfikir panjang menerimanya dan kekal berkhidmat sehingga Dr Mahathir membuat keputusan bersara pada 2003.
* Chamil Wariya ialah Pengarah VOA MEDIA NETWORK, penyedia kandungan faktual.
Klik di sini untuk terus membaca