KEPUTUSAN Peguam Negara menarik semula pendakwaan atas 47 pertuduhan kes rasuah Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi telah menimbulkan keributan dalam kalangan rakyat, fraksi politik dan fraterniti perundangan negara. Kebanyakan Peguam Negara... Klik di sini untuk terus membaca

KEPUTUSAN Peguam Negara menarik semula pendakwaan atas 47 pertuduhan kes rasuah Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi telah menimbulkan keributan dalam kalangan rakyat, fraksi politik dan fraterniti perundangan negara.

Kebanyakan Peguam Negara jarang bersara tanpa melalui sebarang kontroversi dan melakukan perkara yang aneh kepada mata umum.

Suatu masa dahulu seorang Peguam Negara membuat keputusan agar barang bukti video lucah membabitkan seorang ahli politik kerajaan dibakar atas alasan tiada kes walaupun pelupusan bukti merupakan bidang kuasa Majistret.

Seorang lagi Peguam Negara mengenepikan laporan bahawa bekas Timbalan Perdana Menteri ditumbuk oleh Ketua Polis Negara. Kita juga ada Peguam Negara yang ‘dibersara’ awal kerana dikatakan cuba melakukan pendakwaan ke atas Perdana Menteri semasa itu.

Seorang lagi Peguam Negara dituduh menutup semua kes membabitkan Perdana Menteri.

Kemudian kita ada Peguam Negara yang didakwa menjalankan pendakwaan secara tergesa-gesa ke atas musuh-musuh politik kerajaan baharu.

Melihat perjalanan Pejabat Peguam Negara (AGC) sejak empat dekad lalu, sebahagian kita sangat teruja melihat pelantikan Tan Sri Idrus Harun sebagai Peguam Negara.

Ruang ini pernah menulis bahawa, "keputusan kerajaan melantik Hakim Mahkamah Persekutuan, Tan Sri Idrus Harun sebagai Peguam Negara yang baharu merupakan satu langkah yang sangat baik dalam memulihkan institusi perundangan negara.” (Sinar Harian, 8 Mac 2020).

Bagaimanapun sejak setahun lalu Idrus tampak seperti cuba berlembut, Beliau tampak berada di persimpangan antara cuba memenuhi jangkaan politik pemerintah dan cuba mempertahankan integriti beliau sebagai bekas hakim.

Tindakan Pendakwa Raya menarik semula pendakwaan ke atas Ahmad Zahid telah mengundang kontroversi. Bagi yang mempunyai kecenderungan politik kepartian, sokongan atau kritikan mereka sedikit sebanyak akan bergantung kepada pihak mana mereka berada.

Namun bagi kebanyakan rakyat, di sebalik 11 alasan yang pendakwaraya kemukakan kepada Hakim, mereka tetap curiga bahawa ini adalah keputusan dari fraksi politik kerajaan yang berselindung atas nama Peguam Negara.

Tanggapan ini sukar dipadamkan kerana naratif pembebasan Presiden UMNO adalah sebahagian persetujuan sokongan kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim menjadi Perdana Menteri telah diungkapkan sejak sebelum Pilihan Raya Umum ke-15 lagi.

Bagi orang awam kes peringkat pendakwaan telah mencapai tahap prima facie – melampaui keraguan munasabah – yang menuntut tertuduh menjawab. Justeru Pendakwa Raya seharusnya membiarkan proses keadilan mahkamah mengambil tempat.

Lebih parah rakyat tidak pasti Peguam Negara mana yang membuat keputusan menarik semula pendakwaan – yang sedang bercuti atau yang akan mengambil alih jawatan? Keadaan AGC sebelum pengguguran kes sangat misteri sehinggakan kita tidak tahu bila Idrus mula bercuti sebelum bersara.

Akhbar The Star pada 28 Ogos hanya memetik sumber dalaman bahawa Idrus telah mula bercuti dan tugas beliau dipangku diambil oleh Peguam Cara Negara, Datuk Terrirudin Mohd Salleh mengikut subseksyen 376(2) Kanun Tatacara Jenayah. Kita tidak tahu tarik sebenar beliau bercuti.

Jika Terrirudin yang membuat keputusan, beliau sewajarnya mengumumkan atas kapasiti Peguam Cara Negara, bukannya Peguam Negara.

Dalam masa yang sama Perdana Menteri telah dua kali membuat kenyataan bahawa keputusan penarikan pendakwaan diputuskan oleh Idrus.

Idrus sepatutnya tampil memberi penjelasan bukannya cuci tangan dan membisu diri. Jawatan yang beliau sandang datang dengan tanggungjawab dan juga wang rakyat yang membiayai gaji dan pencen yang lumayan.

Justeru beliau sepatutnya menjadi lebih bertanggungjawab kepada rakyat.

Pada September 2022 ruangan ini bertajuk "Peguam Negara tak wajar menyepi” telah mengingat Idrus bahawa dalam era semua orang boleh menerbitkan pendapat mereka sendiri, Peguam Negara tidak boleh bertindak elegant silence atau eloquent silence dan mengharapkan masyarakat faham.

Sekali lagi kita menggesa Idrus menamatkan kesenyapan yang anggun dan memunculkan diri mempertahankan keputusannya.

Kita juga berharap janji ‘Peguam Negara’ akan mengadakan Suruhanjaya Diraja bagi menyiasat pendakwaan politik semasa Tan Sri Tommy Thomas menjadi realiti, bukan sekadar alasan di mahkamah untuk menghalalkan pelepasan tanpa dibebaskan.

Marilah kita sama-sama mencari Idrus Harun.

* Jalil Backer ialah Presiden Angkatan Karyawan Nasional (Akar)

Klik di sini untuk terus membaca