SHAH ALAM - Meskipun Perikatan Nasional (PN) dilihat berjaya mengukuhkan gelombang hijau di pantai Timur dan Utara tanah air pada pilihan raya negeri (PRN) Ogos lalu, namun penguasaan itu nampaknya gagal berlaku di Johor kali ini. Malah,... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Meskipun Perikatan Nasional (PN) dilihat berjaya mengukuhkan gelombang hijau di pantai Timur dan Utara tanah air pada pilihan raya negeri (PRN) Ogos lalu, namun penguasaan itu nampaknya gagal berlaku di Johor kali ini.

Malah, Pakatan Harapan (PH) berjaya mengekalkan kubu kuat di kerusi Parlimen Pulai dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Simpang Jeram apabila calon mereka berjaya menang bergaya di kedua-dua kerusi berkenaan.

Penganalisis Keselamatan dan Politik, Pusat Pengajian Perang Saraf Media dan Informasi dari Universiti Teknologi Mara (UiTM), Dr Noor Nirwandy Mat Noordin berkata, terdapat lima faktor penyumbang kepada kegagalan PN memperluaskan penguasaan di negeri Darul Takzim itu.

Beliau menjelaskan, jumlah keluar undi yang rendah membentuk satu corak sokongan ketara iaitu parti gergasi kekal mendapat laba daripada penyokong setia dan akar umbi.

"Apabila berlaku (jumlah) undi rendah, maka penyokong UMNO yang dikatakan merajuk akan kembali menghargai parti tersebut kerana UMNO lahir di Johor.

"Selain itu kubu kuat PH juga di Simpang Jeram dan Pulai, jadi itu faktor utama di mana parti gergasi (gabungan) DAP, UMNO dan PKR termasuk Amanah memberi keuntungan kepada keputusan PRK,” katanya.

Dalam pada itu, Noor Nirwandy menjelaskan, corak ideologi persempadanan dan penguasaan kawasan juga mempengaruhi keputusan.

Beliau berkata, keadaan psikografik dan demografi kepadatan penduduk telah mewujudkan ideologi yang cenderung kepada parti berasaskan Melayu-Islam seperti di Kelantan, Terengganu dan Kedah sekali gus didominasi PN.

"PN gagal membawa ideologi Melayu-Islam kerana Johor terkenal dengan sistem didikan yang telah lama wujud, lebih daripada apa yang ingin disampaikan parti itu,” ujarnya.

Selain itu beliau menjelaskan, faktor undi penghargaan juga memberi kemenangan kepada PH apabila penyokong menzahirkan penghargaan terhadap diplomasi politik yang dibawa gabungan di bawah pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Perubahan kepimpinan gerakan politik juga jelasnya, turut memainkan peranan seperti dilakukan PN apabila gagal mengekalkan Pengarah Pilihanraya, Datuk Seri Ahmad Sanusi Mohd Noor untuk berkempen sehingga hari undi.

"Masyarakat Johor terkenal dengan kesepaduan dalam menjaga jati diri bangsa dan identiti, di samping sifat taat setia kepada institusi raja.

"Justeru, lima faktor dinyatakan membentuk satu kelebihan dan ia sebenarnya perkara yang perlu dianalisis Kerajaan Perpaduan untuk mewujudkan satu kesepaduan dalam konteks membawa Islam yang lebih moden dan berwibawa,” katanya.

Klik di sini untuk terus membaca