BIARPUN Pakatan Harapan (PH) menang besar dalam pilihan raya kecil (PRK) Parlimen Pulai dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Simpang Jeram, Sabtu lalu namun tidak bererti parti mewakili Kerajaan Perpaduan akan memperoleh kemenangan mudah di PRK... Klik di sini untuk terus membaca

BIARPUN Pakatan Harapan (PH) menang besar dalam pilihan raya kecil (PRK) Parlimen Pulai dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Simpang Jeram, Sabtu lalu namun tidak bererti parti mewakili Kerajaan Perpaduan akan memperoleh kemenangan mudah di PRK Pelangai, Pahang, 7 Oktober nanti.

Ini kerana demografi pengundi di DUN Pelangai jauh berbeza berbanding kawasan Pulai dan Simpang Jeram yang menjadi kubu kuat Pakatan Harapan (PH) susulan majoriti penduduknya ialah kaum bukan Melayu.

Untuk rekod, Parlimen Pulai mempunyai 167,108 pemilih berdaftar termasuk 44.17 peratus ialah Melayu, manakala bakinya kaum lain iaitu Cina (40.47 peratus), India (12.3 peratus) dan lain-lain (3.05 peratus).

DUN Simpang Jeram mempunyai 40,488 pengundi berdaftar termasuk 51.87 peratus pemilih Melayu, diikuti Cina (44.58 peratus), India (2.55 peratus) dan lain-lain (0.99 peratus).

Ketua Penyelidik Ilham Centre, Dr Mohd Yusri Ibrahim berkata, walaupun parti mewakili Kerajaan Perpaduan menang di PRK Pulai dan Simpang Jeram namun momentum berkenaan tidak semestinya berterusan di Pelangai kerana demografi pengundi yang berbeza di kawasan terbabit.

Beliau menjelaskan, majoriti 70 peratus daripada 16,456 pengundi di DUN Pelangai terdiri daripada kaum Melayu, manakala Cina kira-kira 20 peratus dan selebihnya ialah kaum lain.

Justeru, Mohd Yusri berkata, soal sejauh manakah BN mampu mempertahankan kerusi DUN Pelangai atau tidak pada PRK ini bergantung kepada situasi undi Melayu kepada mereka semasa hari pengundian nanti.

"Bagaimanapun, jika kita lihat gelombang sokongan orang Melayu terhadap Perikatan Nasional (PN) di Pulai dan Simpang Jeram juga menunjukkan peningkatan namun ia tidak cukup kuat seperti yang berlaku di Pantai Timur dan Utara Semenanjung pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) lalu.

"Malah, kemenangan PH di Pulai dan Simpang Jeram banyak disumbangkan oleh undi kaum bukan Melayu terutama orang Cina kerana majoriti pengundi Melayu menyokong PN.

"Jadi faktor yang menjadi penentu sama ada BN (Barisan Nasional) atau PN menang dalam PRK DUN Pelangai ialah undi teras UMNO iaitu orang Melayu manakala undi 20 peratus pengundi Cina hanya menjadi penambahan sekiranya berjaya disusun dengan baik oleh DAP,” katanya kepada Sinar Premium.

Kerusi DUN Pelangai diisytiharkan kosong apabila penyandangnya, Datuk Seri Johari Harun meninggal dunia selepas terbabit dalam nahas pesawat di Elmina, Shah Alam yang turut mengorbankan sembilan individu lain pada 17 Ogos lalu.

Pada PRU15, Allahyarham Johari menang kerusi DUN Pelangai dengan majoriti 4,048 undi menewaskan calon PN, Kasim Samat yang mendapat 3,260 undi, Ahmed Wafiuddin Shamsuri daripada PH (2,031 undi) dan Isa Ahmad daripada Pejuang (65 undi).

Mengulas lanjut, Mohd Yusri berkata, secara umumnya di atas kertas BN berpotensi besar untuk mempertahankan kerusi DUN Pelangai kerana kawasan terbabit adalah kubu kuat UMNO yang pernah disandang oleh mantan Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Adnan Yaakob.

"Biarpun di atas kertas BN berpeluang mempertahankan kerusi DUN Pelangai namun Kerajaan Perpaduan tidak boleh memandang rendah faktor peningkatan gelombang sokongan orang Melayu kepada PN yang semakin berkembang termasuk di Pahang pada PRU15 lalu,” katanya.

Beliau berkata, BN juga mungkin menghadapi tekanan jika PN meletakkan Adnan sebagai calon.

"Saya percaya jika Datuk Seri Adnan bersama PN sudah pasti sedikit sebanyak ia akan menjejaskan peluang BN menang di situ kerana beliau seorang tokoh berpengaruh dan mengenali majoriti pengundi di DUN Pelangai,” katanya.

Sementara itu, Pensyarah Kanan, Pusat Perdana Fakulti Teknologi dan Informatik Razak dari Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Profesor Madya Dr Mazlan Ali berkata, kemenangan dalam PRK membakar semangat jentera PH untuk membantu BN mempertahankan kerusi DUN Pelangai pada PRK bulan depan.

Mazlan berkata, beliau melihat peluang BN mempertahankan kerusi DUN Pelangai cerah kerana mereka berjaya menang di kawasan terbabit dengan majoriti agak besar biarpun menghadapi saingan empat penjuru di situ pada PRU15 lalu.

"Walaupun PN mungkin meletakkan Adnan sebagai calon mereka di DUN Pelangai namun belum tentu beliau boleh menang kerana pengaruhnya tidak sehebat dulu selepas lama tidak aktif dalam politik,” katanya.

Klik di sini untuk terus membaca