PEPATAH popular Swiss -'Die Kuh ist das Brot des armen Mannes' bererti ‘lembu adalah roti kepada si miskin’.
Di Switzerland (Swiss), lembu dianggap berjasa mengeluarkan penternak desa daripada kepompong kemiskinan terutama yang berada di lembah gunung Swiss.
Malah, nasib mereka berubah menjadi pedagang kaya-raya apabila daging dan produk tenusu mula dieksport ke negara-negara Eropah mulai kurun ke-18.
Meski menjadi negara 10 terkaya di Eropah, lembu masih begitu penting bagi Swiss hingga hari ini. Ia melambangkan kehidupan mereka yang sederhana dan harmoni bersama alam semula jadi. Hubungan lembu dan masyarakat Swiss juga unik. Bagi penternak, lembu sudah dianggap seperti ahli keluarga sendiri.
Jika berpeluang melewati kawasan perkampungan di lembah pergunungannya, pasti terlihat rumah desa yang masih kekal seni binanya sehingga hari ini. Kebanyakan rumah tiga tingkat itu sudah ada sejak sebelum kurun ke-16. Dua tingkat atasnya dibina menggunakan kayu dari gunung berdekatan, manakala tingkat paling bawah dibuat daripada batu sungai dari kawasan setempat.
Menariknya, rumah yang digelar ‘chalet’ itu bukan sahaja menjadi tempat berteduh keluarga penternak. Ternakan mereka terutama lembu juga tinggal sebumbung. Ternakan itu seolah-olah penyelamat mereka ketika musim sejuk.
Haba dibebaskan lembu dan ternakan lain yang tinggal di bawah rumah amat penting untuk menghangatkan seluruh rumah ketika musim sejuk dengan suhu mencecah -6 darjah Celsius.
Lebih menarik, kerana lembu juga, Swiss menjadi negara pertama dunia yang menggubal undang-undang memelihara hak haiwan seawal tahun 1842. Misalnya, seperti juga umat Islam, populasi besar penduduk Swiss berketurunan Yahudi hanya makan daging disembelih mengikut kaedah ditetapkan agamanya.
Pada 1893, beberapa canton (negeri) di kawasan pergunungan Swiss mula mengharamkan penyembelihan haiwan ternakan tanpa dibius terlebih dahulu. Bagi penternak lembu yang menganggap ternakannya seperti darah daging sendiri, menyembelih lembu hidup-hidup dianggap amat zalim.
Kini bukan sahaja lembu, Animal Welfare Act Swiss malah melarang penjualan produk kesihatan yang pernah diuji secara klinikal ke atas haiwan makmal.
Meski zaman sudah berubah dan daging serta produk tenusu bukan lagi sumber pendapatan utama negaranya, penternakan lembu tak pernah lapuk ditelan zaman. Kini, penternak desa mampu meraih sehingga CHF23 (RM120) sejam.
Tambahan pula, kini mereka turut berpeluang menjana pendapatan jauh lebih besar melalui industri pelancongan. Lembah gunung dahulunya terpencil tak lagi sunyi dengan kehadiran pelancong dari seluruh dunia.
Tak hairanlan apabila generasi muda mereka masih ramai memilih menjadi penternak meski ia bermakna mereka terpaksa meninggalkan kehidupan serba moden di bandar.
Cow Festival menjadi acara penting dinantikan rakyat Swiss. Semasa festival berlangsung, kepulangan lembu yang sudah bekerja keras meragut rumput dan herba di kawasan pergunungan alpine sepanjang musim panas akan dirai beramai-ramai.
Lembu dipakaikan loceng besar dan dihias bunga indah. Kebanyakan penduduk Swiss pasti mempunyai memori indah zaman kecil menyertai festival tersebut. Mungkin begitu cara mereka memperkenal kepentingan lembu dalam hidup seorang Swiss.
Kisah dari Swiss bukanlah asing bagi kebanyakan negara maju yang masih mengutamakan industri pertanian dan penternakan. Entah mengapa negara kita yang subur dan menghijau, dan harga ternakan juga mahal, orang kita tak begitu teruja dengan industri ternakan. Kita memilih bergantung kepada import makanan luar sehingga melangkau RM75 bilion tahun lalu.
Kebanyakan penternak kita pula generasi tua. Jika pun ada orang muda bekerja di ladang, mereka kebanyakannya pendatang asing. Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan menyatakan, persepsi yang salah menyebabkan belia kurang minat menceburi bidang tersebut.
Namun, dengan purata pendapatan petani atau penternak yang rendah, tentulah isunya bukan sekadar persepsi salah. Pemerintah nampaknya perlu melakukan sesuatu berbeza.
Kita boleh belajar bagaimana Swiss melakukannya. Barangkali kita juga sudah boleh memulakan pesta haiwan ternakan ala-ala Swiss untuk melonjak minat rakyat terutama golongan muda berkecimpung dalam bidang itu.
*Wan Izar Haizan ialah pelajar PhD di Centre for Environmental Policy, Imperial College London. Beliau merupakan penulis novel dengan nama pena Michiko Ohara.
Klik di sini untuk terus membaca