SHAH ALAM - Keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang melepas tanpa membebaskan (DNAA) Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi daripada 47 kes membabitkan dana Yayasan Akalbudi boleh dibahaskan di Parlimen jika memenuhi... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang melepas tanpa membebaskan (DNAA) Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi daripada 47 kes membabitkan dana Yayasan Akalbudi boleh dibahaskan di Parlimen jika memenuhi syarat tertentu dan dibenarkan oleh Speaker Dewan Rakyat.

Pakar Perlembagaan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, Datuk Profesor Madya Dr Wan Ahmad Fauzi Wan Husain berkata, kelakuan seseorang hakim hanya boleh dibincangkan jika lebih satu per empat Ahli Parlimen mengemukakan usul sama untuk berbuat demikian kepada Yang Dipertua Dewan Rakyat.

Wan Ahmad Fauzi berkata, tindakan itu perlu kerana segala perbincangan yang boleh menggugat kebebasan badan kehakiman sehingga dilihat boleh memberi tekanan kepada cabang kehakiman sewajarnya mematuhi syarat ditetap oleh Perkara 127 Perlembagaan Persekutuan.

Walaupun Malaysia mengamalkan kebebasan bersuara namun Perkara 127 Perlembagaan Persekutuan tetap mempunyai batasan tersendiri seperti terkandung dalam Perkara 10.

"Jika terdapat suatu isu berkait rapat dengan kelakuan hakim, sungguhpun Perkara 127 membenarkan, ia sewajar dilihat sebagai suatu keadaan yang akhirnya medan sebenar untuk mengadili kelakuan seorang hakim ialah melalui tribunal di bawah Perkara 125 Perlembagaan Persekutuan.

"Keadaan berbeza untuk membahaskan suatu keputusan Mahkamah yang timbul seperti dalam penghakiman kerana itu salah satu kaedah untuk memastikan Mahkamah sentiasa bertindak dengan adil, dan dilihat adil dalam proses pertimbangan serta alasannya keputusannya.

"Isu yang ingin dibincangkan merupakan asas untuk Speaker Dewan Rakyat mempertimbangkan boleh atau tidak,” katanya kepada Sinar Premium.Wan Ahmad Fauzi berkata demikian ketika mengulas kenyataan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim baru-baru ini yang mendakwa keputusan DNAA oleh mahkamah terhadap Ahmad Zahid susulan permohonan yang dibuat oleh pihak pendakwaan, tidak boleh dibahas pada sidang khas Dewan Rakyat.

Ahli Parlimen Tambun merangkap Pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu menegaskan sidang Parlimen tidak boleh ditukar untuk berperanan sebagai sebuah mahkamah dan Peguam Negara bukan ahli Parlimen dan menteri.

Berikutan itu, Ketua Whip Parlimen Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Takiyuddin Hassan, menyifatkan tindakan Presiden PKR itu menolak usul membahaskan keputusan DNAA, Presiden UMNO daripada 47 pertuduhan jenayah di Parlimen, jelas melanggar undang-undang dan penyalahgunaan kuasa.

Takiyuddin yang juga bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) menegaskan sebagai Ketua Majlis Parlimen, Anwar tidak mempunyai sebarang kuasa atau hak menentu atau memutuskan berdasarkan Peraturan Mesyuarat Dewan Rakyat jika usul dikemukakan.

Setiausaha Agung Pas itu berkata, sebaliknya penerimaan atau penolakan usul sedemikian berada dalam bidang kuasa dan budi bicara Yang Dipertua Dewan Rakyat atau Speaker semata-mata.

Sementara itu, Wan Ahmad Fauzi berkata, Perkara 127 Perlembagaan Persekutuan juga tidak melindungi kelakuan Peguam Negara daripada dibincangkan dalam sesi sidang Parlimen jika terdapat keperluan untuk berbuat demikian.

Perkara 63 Perlembagaan Persekutuan memberikan imuniti atau kekebalan kepada ahli Parlimen untuk membahaskan isu dalam prosidingnya tanpa dikenakan tindakan mahkamah kecuali perkara yang dibataskan oleh undang-undang di bawah Perkara 10(4) Perlembagaan Persekutuan dan Akta Hasutan.

Ini termasuklah perbahasan yang bertujuan untuk melucutkan kedudukan berperlembagaan Yang di-Pertuan Agong sebagai Ketua Negara, dan Raja-Raja Melayu sebagai raja pemerintah sesebuah negeri.

"Perbincangan usul yang menyentuh tafsiran mahkamah dan isu kehakiman biasanya akan berlaku untuk dijadikan alasan suatu pindaan undang-undang perlu dibuat, atau undang-undang baru ingin diperkenalkan. Namun ia bukan dengan niat untuk menyerang hakim bicara atau institusi kehakiman,” katanya.

Klik di sini untuk terus membaca