SHAH ALAM - Pembangkang berpendirian Perjanjian Keyakinan dan Pembekalan (CSA) tidak perlu dibuat memandangkan mereka berfungsi sebagai ejen semak dan imbang di Dewan Rakyat.
Ketua Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Razali Idris berkata, pembangkang akan menyokong apa sahaja usul kerajaan sekiranya ia baik untuk rakyat.
"Bagi saya tidak perlu ada CSA sebab hanya sesuai dibuat kalau kerajaan dalam kritikal sahaja.
"Tapi sekarang kerajaan tidak kritikal pun, mereka masih ada sokongan 147 ahli Parlimen daripada keseluruhan 222 kerusi, cuma tidak cukup dua pertiga majoriti sahaja.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas sama ada Perikatan Nasional (PN) bersedia untuk menandatangani CSA jika Kerajaan Perpaduan membuat tawaran itu bagi memastikan sebarang pembentangan usul termasuk pindaan Perlembagaan berjalan lancar di Parlimen.
Ia susulan Kerajaan Perpaduan kini kekurangan satu bilangan asas majoriti dua pertiga di Dewan Rakyat apabila Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman pada Ahad mengumumkan sudah menyerahkan surat kepada Speaker memaklumkan menjadi pembangkang kuasa ketiga di Parlimen.
Mengulas lanjut, Razali menegaskan, sebelum ini juga bukan semua usul yang dibentangkan kerajaan dibangkang mereka.
"Bukan semua kami nak bangkang, contohnya Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Ke-12 yang dibentangkan di Parlimen hari ini (Isnin), ada yang kita setuju serta ada yang tidak setuju lalu dibahas dan akhirnya kami sokong yang baik.
"Yang tidak baik, yang menipu kami tidak sokonglah termasuk perbuatan menerima perasuah sebagai anggota kabinet. Yang itu kita tidak sokonglah. Tapi yang bagus kita sokong. Banyak perkara yang kita sudah sokong,” ujarnya.
Sementara itu, Razali memuji tindakan Syed Saddiq yang juga Presiden Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) kerana tegas bertindak menarik sokongan terhadap kerajaan yang melanggar prinsip dilaung-laungkan sebelum ini.
"Ini satu semangat yang kita nak lihat daripada kepimpinan generasi penerus kerana apabila jelas rakan (sekutu) kita melanggar prinsip-prinsip yang dijanjikan maka itulah jawapannya. Syed Saddiq berpegang kepada prinsip (yang diuar-uarkan) semasa berkempen pilihan raya.
"Masa berkempen macam-macam janji diberi terutama mahu tolak rasuah dan tekankan tatakelola yang baik tapi apabila memerintah lain pula bunyi dan perbuatannya,” sindirnya.
Klik di sini untuk terus membaca