ISU penjaja kecil tidak berlesen bukan perkara baharu, malah ramai di antara mereka kerap mengeluh sukar mendapatkan lesen disebabkan kerenah birokrasi selain urusan permohonan agak sukar.
Situasi ini menyebabkan penjaja kecil terus menjalankan perniagaan secara haram tanpa lesen demi meneruskan kelangsungan hidup.
Bagi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Permai yang juga Exco Perumahan dan Kerajaan Tempatan Johor, DATUK MOHD JAFNI MD SHUKOR, penjaja kecil memberi sumbangan cukup besar terhadap ekonomi setempat dan negeri.
Oleh itu, isu lesen tidak seharusnya membelenggu penjaja kecil dan urusan permohonan melalui pihak berkuasa tempatan (PBT) perlu dipermudahkan selain tidak terburu-buru mengambil tindakan sitaan kepada peniaga.
Ikuti wawancara wartawan Sinar Harian, Nor Azura Md Amin membincangkan agenda penting diperjuangkan demi membela kebajikan rakyat.
SINAR HARIAN: Setelah diberi mandat sebagai ADUN Bukit Permai pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor pada Mac tahun lalu, YB kerap menyuarakan isu lesen penjaja. Apakah kepentingannya kepada kerajaan negeri?
MOHD JAFNI: Saya lihat ramai ibu tunggal dan keluarga kurang berkemampuan berniaga di tepi jalan atau di depan rumah. Sebelum menjadi ADUN, saya merupakan Ahli Majlis Perbandaran Kulai. Saya tengok ramai yang memilih berniaga di tepi jalan sebagai punca pendapatan.
Apabila saya diberi tanggungjawab sebagai Exco berkaitan pihak berkuasa tempatan (PBT), perkara pertama dilakukan ialah mengadakan penyelarasan bagi memudahkan permohonan lesen penjaja.
Sebelum ini, kelulusan lesen sekitar 30 hingga 60 hari bekerja. Namun, kini kelulusan hanyalah dalam tempoh 24 jam atau satu hari bekerja.
Kita juga memudahkan urusan lain seperti mengurangkan dokumen semasa permohonan daripada sembilan kepada tiga dokumen sahaja selain 13 syarat kepada tiga syarat sahaja.
Berbanding dulu, banyak prosedur dan syarat. Dulu di tepi jalan tertentu atau depan rumah tidak boleh meniaga. Apabila permohonan lesen penjaja ini dipermudahkan dengan syarat dikurangkan secara tidak langsung ramai yang memohon.
Ada satu kes penjaja ini sudah meniaga tanpa lesen lebih 10 tahun di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) saya sendiri di Bandar Putra. Penjaja ini tumpang berniaga di hadapan kedai dan bila ada penguat kuasa datang, dia lari. Kini dia sudah mendapat lesen selepas urusan permohonan dipermudahkan.
Melalui lesen penjaja yang diberikan, ia mengubah penjaja yang dulunya tidak mematuhi undang-undang tetapi kini meniaga dalam keadaan lebih selamat.
SINAR HARIAN: Sasaran penjaja kecil yang dibantu memiliki lesen perniagaan?
MOHD JAFNI: Kita sasar seramai 20,000 penjaja kecil akan memiliki lesen perniagaan tahun ini menerusi usaha mempermudahkan permohonan lesen di setiap PBT.
Pada Julai 2022 lalu, semua 16 PBT di negeri ini telah mengadakan bengkel dalam usaha menyeragamkan atau menyelaraskan permohonan dan pemberian lesen kepada golongan penjaja tidak kiralah sama ada di pasar malam, pasar pagi, pasar lambak dan sebagainya.
Ia merupakan inisiatif kerajaan negeri bagi membantu golongan penjaja kerana kerajaan sekarang sebenarnya ‘mesra peniaga’ dan kita nak bantu mereka (peniaga) asalkan aktiviti perniagaan itu tidak dilakukan di tempat dilarang berniaga seperti mengganggu lalu lintas atau sebagainya.
Malah, tempoh kelulusan bagi permohonan (lesen) dibuat juga tidak lama dan ada yang hanya melibatkan satu hari bekerja sahaja.
Bagi Lesen Penjaja Statik melibatkan gerai berstruktur berstatus penjaja seperti pasar, gerai, arked milik PBT atau gerai persendirian (berstruktur) berstatus penjaja di peniaga pasar malam, pasar lambak, pasar pagi atau pasar sehari serta penjaja di kawasan berpusat, tempoh kelulusan (lesen) adalah satu hari bekerja.
Bagi Lesen Penjaja Sementara melibatkan penjaja sementara tepi jalan (bukan kawasan berpusat) seperti penjaja buah bermusim dan Lesen Penjaja Bergerak seperti food truck, car boot sale atau penjaja berkenderaan, tempoh kelulusan (lesen) adalah selama tujuh hari bekerja.
SINAR HARIAN: Apakah perancangan bagi meningkatkan lagi pendapatan penjaja kecil seterusnya memperkasakan golongan muda yang terlibat dalam bidang ini?
MOHD JAFNI: Saya ambil contoh di kawasan saya di Bukit Permai terdapat banyak kawasan penjaja kecil yang menjual makanan kerana Kulai adalah kawasan pinggiran bandar dan memiliki banyak kawasan perumahan.
Menyedari peluang ekonomi terdapat di kawasan perumahan terutama di pinggiran bandar, sudah tentu perlu ada usaha dilakukan termasuk membina gerai lebih baik, bersih dan selamat.
Sebagai permulaan, kiosk penjaja dengan konsep lebih moden akan dibina di Jalan Merbau dan Jalan Merpati, Bandar Putra Kulai.
Projek ini dianggarkan bernilai RM150,000 sebelum diperluaskan kepada PBT lain.
SINAR HARIAN: Isu perumahan di Johor sering diperkatakan terutama melibatkan pemilikan warga tempatan. Apakah usaha dilakukan untuk orang Johor memiliki rumah sendiri?
MOHD JAFNI: Hakikatnya Johor menjadi tumpuan warga Singapura dari segi hartanah kediaman kerana kedudukan selain nilai mata wang Singapura yang tinggi.
Namun, usaha tetap dilakukan untuk memastikan rakyat Johor mendapat kediaman pada harga sewajarnya menerusi Rumah Mampu Milik Johor (RMMJ).
Kalau dahulu orang cakap susah hendak dapat RMMJ, tetapi sekarang urusan sudah dipermudahkan dan iklan bagi tawaran rumah disediakan boleh dibuat melalui laman web sahaja.
Malah, pembeli kini hanya perlu menyediakan lima dokumen sahaja berbanding 17 sebelum ini, malah tiada kos dikeluarkan kerana dokumen diperlukan hanya perlu dihantar secara dalam talian menerusi sistem e-perumahan di eRumah.
Dahulu hendak lengkapkan 17 dokumen ini, kosnya kira-kira RM300 hingga RM500 untuk satu permohonan. Jadi, kita berbincang dengan Perbadanan Kemajuan Perumahan Johor (PKPJ) dan akhirnya hanya lima dokumen sahaja diperlukan untuk permohonan RMMJ bernilai RM150,000 ke bawah.
SINAR HARIAN: Apakah lagi perancangan di DUN Bukit Permai?
MOHD JAFNI: Bukit Permai terletak dalam daerah Kulai merupakan lokasi terbaik untuk keluarga dan golongan muda tinggal kerana banyak kemudahan asas selain peluang pekerjaan.
Masyarakat berbilang kaum di Bukit Permai akan terus dibantu menerusi pelbagai program dan usaha yang turut digerakkan agensi serta jabatan berkaitan.
Klik di sini untuk terus membaca