TIKHT - Pasukan penyelamat pada Isnin berhempas-pulas meneruskan operasi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa yang mungkin masih bernyawa di bawah runtuhan perkampungan di pergunungan Atlas, Maghribi selepas kejadian gempa kuat 6.8 skala... Klik di sini untuk terus membaca

TIKHT - Pasukan penyelamat pada Isnin berhempas-pulas meneruskan operasi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa yang mungkin masih bernyawa di bawah runtuhan perkampungan di pergunungan Atlas, Maghribi selepas kejadian gempa kuat 6.8 skala Richter pada Jumaat lalu.

Data rasmi yang dikemaskini pada lewat Ahad merekodkan angka kematian meningkat kepada lebih 2,100 orang manakala lebih 2,400 dilaporkan cedera.

Ketika ini, Rabat turut menerima bantuan daripada empat negara manakala komuniti antarabangsa lain menyatakan kesediaan untuk membantu negara Afrika Utara tersebut.

Kementerian Dalam Negeri memaklumkan pihak berkuasa menerima dengan tangan terbuka tawaran diberikan Sepanyol, Britain, Qatar dan Emiriah Arab Bersatu (UAE).

"Pasukan keselamatan kami telah dihubungi untuk operasi penyelarasan.

"Setakat ini, hanya empat tawaran diterima kerana bimbang ia berisiko menjadi tidak produktif jika usaha yang diselaraskan itu gagal mencapai objektif utama," ujar kementerian tersebut sambil menambah mereka mungkin mempertimbangkan tawaran lain pada masa depan jika keadaan terdesak.

Anggota Unit Kecemasan Tentera Sepanyol (UME) menaiki pesawat Airbus A400 di pangkalan tentera udara Zaragoza.

Sementara itu, Kementerian Pertahanan Sepanyol mengesahkan Madrid telah mengerahkan seramai 86 anggota penyelamat bersama lapan anjing pengesan untuk menjayakan operasi SAR mencabar tersebut.

Amerika Syarikat (AS) turut menghantar pasukan pakar bencana selain Perancis mengumumkan dana berjumlah lima juta euro (RM25 juta) untuk agensi bantuan di Rabat.

Gegaran kuat itu telah meranapkan seluruh perkampungan Tafeghaghte yang terletak kira-kira 60 kilometer dari Marrakesh di wilayah al-Haouz.

"Ramai orang terkorban. Hati saya hancur kerana tragedi ini," kata Zahra Benbrik, 62, yang kehilangan 18 ahli keluarganya.

Gambar satelit menunjukkan keadaan di Ouirgane di wilayah al-Haouz selepas kejadian gempa kuat tersebut.

Menurut stesen TV tempatan, lebih 18,000 keluarga terjejas di al-Haouz yang merupakan pusat gempa tersebut.

Selain itu, gegaran tersebut juga memusnahkan struktur sejarah penting di negara itu termasuk tinggalan masjid abad ke-12 dan beberapa bahagian kota lama Marrakesh yang diiktiraf sebagai Tapak Warisan Dunia Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO).

Sementara itu, Kementerian Pendidikan mengumumkan sesi persekolahan digantung sementara setelah pemerintah mengisytiharkan tempoh berkabung selama tiga hari.

Beberapa wanita tidak dapat menahan kesedihan setelah mayat ahli keluarga mereka ditemui.

Pada Ahad, hospital di sekitar Marrakesh terus dibanjiri orang ramai yang mahu menderma darah.

Difahamkan, kejadian itu merupakan gempa bumi paling dahsyat pernah menggegar Maghribi sejak kejadian di Agadir yang meragut lebih 12,000 nyawa pada 1960. - AFP

Klik di sini untuk terus membaca