APABILA memperkatakan ancaman terhadap kedaulatan negara, secara amnya rakyat marhaen akan membayangkan musuh bersenjata lengkap dengan kelengkapan perang yang menerjah sempadan dan membuat onar di tanah air tercinta ini.
Gambaran ini sememangnya tepat, namun demikian mungkin tanpa disedari dan lebih berbahaya terdapat musuh yang melaksanakan tugasnya seperti mana anai-anai di dalam tongkat Nabi Sulaiman, tanpa dapat disedari, walaupun oleh mereka yang diberikan keistimewaan seperti kaum Jin.
Bagi memahami analogi tersebut, kita perlu melihat bagaimana perang moden hari ini dilaksanakan. Ia melibatkan penggunaan sistem dan kelengkapan perang canggih menelan belanja yang bukan sedikit untuk diperoleh.
Akibat dari teknologi moden ini, jumlah peluru, roket dan bom yang diguna pakai dalam konflik adalah amat tinggi berbanding era perang terdahulu. Tentunya ini mempunyai hubung kait secara langsung dengan kos yang diperlu untuk memperolehnya.
Perang terkini di Ukraine dapat memberikan gambaran jelas bagaimana, sekiranya tidak dibantu dengan perolehan sistem persenjataan, ia akan dengan mudah hilang kedaulatannya.
Dari bulan Januari tahun 2022 sehingga akhir Mei 2023, sokongan ketenteraan yang hampir keseluruhannya dalam bentuk aset seperti peluru, bom, roket, kereta kebal yang diberi oleh pihak Amerika Syarikat dan negara Pakatan NATO kepada Ukraine mencecah sehingga AS$84.7 bilion!
Permintaan untuk pembekalan sistem peluru mencapai tahap amat tinggi sehingga sukar direalisasikan. Contohnya peluru meriam jenis letupan tinggi kaliber 155mm digunakan oleh tentera Ukraine.
Purata penggunaan peluru tersebut oleh Ukraine adalah 90,000 butir sebulan dalam konflik yang masih berterusan, berbanding kemampuan pengeluaran oleh kilang di Amerika Syarikat yang hanya mampu mengeluarkan 24,000 butir sebulan.
Permintaan melebihi kemampuan pengeluaran secara amnya mengakibatkan lonjakan terhadap harga sistem persenjataan dan kelengkapan perang.
Apa yang membimbangkan adalah bagaimana sebahagian dari mereka yang terlibat dalam perolehan-perolehan aset pertahanan negara gagal melaksana tanggungjawab mereka dengan telus lagi berintegriti.
Perkara ini diakui sendiri oleh Ketua Setiausaha Negara (KSN) yang baru-baru ini menyatakan ketirisan wang kerajaan berlaku disebabkan adanya ruang dan peluang bagi berlakunya salah guna kuasa, rasuah, penyelewengan dan kelemahan pentadbiran.
Tambah beliau lagi, perkara ini perlu diberi perhatian dan dicari jalan penyelesaian, bukannya diselindung atau 'sweep under carpet'.
Selain isu kapal pesisir atau LCS yang menggoncang negara, sebenarnya terdapat pelbagai perolehan lain yang mungkin telah berjaya dilaksanakan, namun dengan implikasi kos amat tinggi akibat kecuaian tata kelola yang disebutkan KSN.
Contohnya, Laporan Ketua Audit Negara Tahun 2019 berkaitan perolehan dan pengurusan Aset Tentera Udara Diraja Malaysia mendedahkan terdapat pelbagai isu yang sepatutnya tidak berlaku jika pematuhan tata kelola yang baik serta mekanisme semak imbang yang sedia ada benar-benar dipraktikkan dengan berhemah dan telus.
Antara yang ditonjolkan adalah isu perolehan pesawat pengangkut TUDM yang baharu. Rumusan audit berkaitan perkara ini amat mengejutkan.
Laporan menyatakan secara keseluruhannya, perolehan aset melalui kaedah perolehan dalam pembangunan berjumlah RM3.574 bilion dibuat tanpa perancangan rapi menyebabkan objektif perolehan bagi meningkatkan keupayaan aset angkut taktikal tidak tercapai!
Selain itu rancangan menggantikan aset sedia ada juga tidak tercapai sepenuhnya. Disebabkan kelewatan penerimaan aset baharu serta keupayaan di bawah standard menyebabkan aset lama masih terpaksa digunakan dengan kos penyenggaraan yang tinggi dan merugikan kerajaan.
Nasihat dan amaran laporan audit negara sejak beberapa tahun kebelakangan ini seakan perbuatan ‘mencurah air di daun keladi’.
Perbuatan menyorok atau sweep under carpet kini menjadi jalan mudah menangkis percubaan untuk menghenti atau mendedahkan onar yang berlaku oleh mereka yang tidak bertanggungjawab.
Mereka-mereka inilah merupakan ‘anai-anai’ yang tanpa disedari oleh rakyat marhaen memakan tongkat yang menegakkan tubuh Nabi Sulaiman sehinggakan dari luaran, Nabi Sulaiman kelihatan gah oleh segala makhluk.
Namun apabila anai-anai ini kenyang, tubuh yang selama ini kelihatan gah tersungkur menyembah bumi.
*Muhammad Fuad Mat Noor ialah penganalisis pertahanan dan pernah menerima anugerah wartawan terbaik oleh Kementerian Pertahanan Malaysia pada tahun 2003, 2004, 2006 dan 2007.
Klik di sini untuk terus membaca