AJARAN sesat di Malaysia sepertinya kisah yang tak pernah padam. Baru-baru ini, muncul pula ajaran yang mendakwa Nabi Muhammad itu sebenarnya ialah Tuhan.
Sebenarnya ada bermacam-macam ajaran sesat dengan dakwaan dan tafsiran yang beragam juga. Malah ada yang mengaku ketua mereka ialah nabi, dan ada juga yang mengaku diri sebagai Tuhan.
Terlihat aneh, tetapi ada pula yang percaya. Pada tahun 2016, di Pahang, seorang ketua ajaran sesat yang mengaku dirinya tuhan, mati di sebuah hospital kerana masalah sesak nafas. Tahun yang sama, ketua Kerajaan Langit atau yang terkenal sebagai Ayah Pin juga meninggal kerana sakit tua.
Logiknya tuhan tidak perlu masuk hospital atau sakit seperti manusia. Tetapi, ada juga orang yang percaya bahawa mereka ini tuhan atau nabi.
Di seluruh dunia, umumnya sifat ketua ajaran sesat ini sama sahaja. Mereka akan mempromosi diri mencari pengikut, asalnya beberapa orang lama kelamaan kian ramai.
Di zaman ini, dengan YouTube dan Facebook, 'tuhan' dan 'nabi' ini juga memanfaatkan ciptaan manusia untuk menarik orang mempercayai dakyah mereka.
Antara yang terkenal ialah Jim Jones, pemimpin Peoples Temple di Guyana, Amerika Selatan. Dia memimpin ajaran sesat ini sekitar tahun 50-an hingga tahun 1978.
Asalnya ajaran Jones ini bermula di Amerika Syarikat, dan banyak terlibat dengan aktiviti kesukarelaan. Mengaku dirinya nabi, kononnya boleh mengubat banyak penyakit. Walaupun dalam semua keadaan, dia hanyalah memanipulasi mangsa dengan memberinya dadah.
Jika hari ini pendakwah sesat menggunakan media sosial, Jones menggunakan kaset dan radio. Tapi, seperti banyaknya pemimpin ajaran sesat, mereka biasanya mencapai tujuan dengan menyasarkan golongan yang terpinggir, dan sedang mencari sesuatu. Dalam kes Jones, sasaran beliau ialah masyarakat miskin yang merasa mereka ditindas. Jadi Jones datang menjadi penyelamatnya.
Tapi, modus operandi semua ajaran sesat umumnya sama. Meminta pengikut untuk berkorban demi kesucian perjuangan. Awalnya Jones meminta pengikutnya mendermakan apa sahaja yang mereka miliki.
Bantuan pengikut inilah yang digunakan untuk memberikan Jones kekayaan. Tapi yang paling tragis, beliau kemudiannya meminta mereka mengorbankan nyawa mereka dengan meminum racun. Semuanya percaya bahawa mereka akan ke syurga. Sekitar 900 orang telah mati kerana terpesona dengan janji manis pemimpin mereka.
Shoko Asahara pula muncul di Jepun sekitar tahun 90-an. Untuk memasuki syurga, pengikutnya diminta untuk membunuh orang awam, kononnya untuk menuntut keadilan. Semuanya bermula kerana Shoko dilahirkan dengan mata yang buta.
Di Malaysia, kita tahu ramai juga yang sibuk mencari agama. Walaupun terdapat begitu banyak orang alim yang mengajar agama, tetapi segelintir orang memilih jalan yang salah juga.
Sebabnya ia bermula dengan dengan prinsip terpikat dengan janji manis, dan sepertinya ada jalan singkat untuk ke syurga. Malah, mereka juga tak perlu bersusah payah dengan aktiviti agama seperti kebiasaannya. Ada yang tak perlu bersolat, hanya cukup dengan niat.
Kemudiannya, setelah terpikat, mereka mula diminta untuk berkorban sedikit dahulu. Ada yang memberi wang, ada yang sukarela membantu. Apabila pengikut kian ramai, akhirnya akan ada pula permintaan membina perkampungan.
Semua ini adalah helah semua pemimpin ajaran sesat. Kononnya kehidupan yang di luar adalah sesat, sedangkan hanya mereka sahaja yang betul.
Realiti untuk memahami kesesatan ini sebenarnya mudah. Orang yang mengajari agama tidak perlu mengajar secara sembunyi-sembunyi atau cuba merekrut pengikut.
Kebenaran agama itu tak perlu diselindungkan kerana asasnya tetap dari sumber al-Quran dan hadis yang sama sahaja.
Sekiranya ada yang melakukannya seperti seorang penjual mempromosikan barang seludup secara sembunyi-sembunyi, besar kemungkinan itulah permulaan kepada kesesatan. Dan jika mereka mula meminta pengorbanan dalam bentuk apa pun, maka berhati-hatilah.
*Dr Mohd Awang Idris ialah pensyarah dan penyelidik dalam bidang psikologi di Fakulti Sastera dan Sains Sosial, Universiti Malaya serta Profesor Madya Adjung di PSC Global Observatory, Universiti Australia Selatan.
Klik di sini untuk terus membaca