KEPUTUSAN pilihan raya negeri (PRN) enam negeri serta Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Pulai dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Simpang Jeram di Johor baru-baru ini, sepatutnya membuka mata Kerajaan Perpaduan. Meskipun gabungan Kerajaan... Klik di sini untuk terus membaca

KEPUTUSAN pilihan raya negeri (PRN) enam negeri serta Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Pulai dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Simpang Jeram di Johor baru-baru ini, sepatutnya membuka mata Kerajaan Perpaduan.

Meskipun gabungan Kerajaan Perpaduan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengekalkan kerusi Parlimen Pulai yang ditinggalkan Allahyarham Datuk Seri Salahuddin Ayub, hakikatnya Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) masih gagal menyekat kemaraan ‘gelombang hijau’ Perikatan Nasional (PN) sejak Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) lalu.

Ditambah kemunculan pelbagai isu ekonomi termasuk yang terbaharu, krisis bekalan beras import sejak bulan lalu, selain konflik tatakelola kerajaan yang semakin dipersoalkan rakyat, kerajaan dan Anwar sememangnya berdepan satu tugas berat dalam mengembalikan sokongan terutama segmen pengundi Melayu terhadap mereka.

Pada saat pembentangan Belanjawan 2024 semakin hampir dengan keutamaan Anwar mahu mengisi portfolio Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) secepat mungkin bagi menggantikan Salahuddin, dua penganalisis politik mencadangkan rombakan Kabinet menyeluruh wajar dilakukan Kerajaan Perpaduan.

"Sama ada dalam skala kecil atau besar, faktor pertama rombakan Kabinet perlu dibuat kerana implikasi keputusan PRN enam negeri dan dua PRK baru-baru ini, memberi isyarat gelombang hijau PN semakin diterima rakyat sekali gus dibimbangi terus berkembang menjelang PRU16.

"Suka atau tidak, Anwar perlu membuat satu perubahan struktur kepimpinan negara bagi mengembalikan keghairahan rakyat terhadap komitmen kerajaan dalam memperkukuhkan tatakelola pentadbiran negara.

"Faktor kedua adalah keperluan pengisian jawatan menteri bagi portfolio KPDN itu sendiri. Ia dianggap kementerian paling penting dalam menguruskan isu mendesak rakyat iaitu soal periuk nasi mereka,” kata bekas Ahli Parlimen Klang, Charles Santiago kepada Sinar Premium.

Santiago turut menggariskan faktor ketiga iaitu prestasi sebilangan menteri Kabinet yang bertanggungjawab menggalas kementerian-kementerian penting, gagal menunjukkan prestasi cemerlang dalam membantu Anwar merealisasikan naratif Malaysia Madani, Dasar Ekonomi Madani dan Dasar Gaji Progresif yang dilancarkan baru-baru ini.

Tanpa menamakan mana-mana menteri terlibat, Pengerusi Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) itu mengakui terdapat beberapa menteri yang secara jelas tiada daya kepimpinan baik dan sekadar mengguna aplikasi media sosial untuk menunjukkan seolah-olah mereka ‘buat kerja’.

"Sehingga kini, saya melihat menteri yang selalu datang menolong Perdana Menteri ke-10 (PMX) dalam memperluaskan penyampaian maklumat agenda beliau hanyalah Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.

"Saya kurang melihat sokongan atau komitmen oleh kementerian lain dan senario itu tidak memberi gambaran kepimpinan kolektif serta teguh bersama beliau.

"Bagaimana PMX hendak bentuk satu pasukan efisien bagi memperkasakan sistem tatakelola pentadbiran kerajaan jika masing-masing bekerja secara solo?” soalnya.

Gambar dari kiri: Johari, Charles Santiago, Mohamad Sabu
Gambar dari kiri: Johari, Charles Santiago, Mohamad Sabu
Gambar dari kiri: Johari, Charles Santiago, Mohamad Sabu
Gambar dari kiri: Johari, Charles Santiago, Mohamad Sabu
Gambar dari kiri: Johari, Charles Santiago, Mohamad Sabu

Tegas Santiago, faktor keempat rombakan Kabinet satu keperluan disebabkan beban tanggungjawab Anwar yang kini dianggap memegang tiga portfolio penting iaitu Perdana Menteri, Kementerian Kewangan dan Kementerian Wilayah Persekutuan.

"Ada pihak mengatakan portfolio Kementerian Wilayah Persekutuan diserap ke Kementerian Kemajuan Wilayah dan Desa dipimpin Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi. Bagaimanapun, saya difahamkan ia masih di bawah bidang kuasa PMX.

"Justeru, dengan Anwar kini perlu fokus kepada menjayakan Inisiatif Ekonomi Madani, Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga dan merealisasikan reformasi institusi pentadbiran negara, perlu ada menteri khas membantu beliau menguruskan kementerian kewangan dan Wilayah Persekutuan.

"Saya fikir Datuk Seri Johari Ghani ialah calon terbaik untuk mengisi jawatan Menteri Kewangan II yang perlu diwujudkan semula oleh Anwar.

"Manakala bagi jawatan Menteri Wilayah Persekutuan yang melibatkan lapan juta penduduk pula, biarlah ia dikendalikan oleh tokoh teknokrat berpengalaman,” jelasnya.

KEUTAMAAN

Felo Penyelidik Majlis Profesor Negara (MPN), Dr Muhammad Asri Mohd Ali berkata, pelaksanaan rombakan Kabinet oleh Anwar perlu dijadikan keutamaan, walaupun ia mungkin sekadar skala kecil.

Dengan jangkaan cadangan itu akan direalisasikan selewat-lewatnya sebelum sidang Dewan Rakyat bagi membentangkan usul Belanjawan 2024, Muhammad Asri mengakui fokus Anwar tidak cukup sekadar mencari pengganti Salahuddin semata-mata.

"Anwar perlu meneliti status Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz yang hakikatnya bakal menamatkan tempoh perkhidmatan sebagai Ahli Dewan Negara bagi penggal kedua pada tahun 2024.

"Dengan tempoh perkhidmatan Tengku Zafrul sebagai senator sudah hampir maksimum, adalah lebih baik PMX bersiap sedia mencari pengganti beliau lebih awal dengan Timbalannya, Liew Chin Tong dilihat sebagai calon terbaik,” jelasnya.

Selain itu, Muhammad Asri juga mengharapkan pemilihan menteri bagi menerajui kementerian-kementerian kritikal tidak bersifat ‘tangkap muat’, sebaliknya perlu memiliki idea di luar kotak, agresif dan arif mengikut arus perubahan teknologi dunia.

Gambar dari kiri: Wong Chen, Dzulkefly, Liew Chin Tong, Tengku Zafrul
Gambar dari kiri: Wong Chen, Dzulkefly, Liew Chin Tong, Tengku Zafrul
Gambar dari kiri: Wong Chen, Dzulkefly, Liew Chin Tong, Tengku Zafrul

Jelasnya, individu yang dipilih bagi menggantikan Allahyarham Salahuddin juga perlu mencontohi pemimpin itu yang mempunyai daya kepimpinan tinggi dan berfikiran ke hadapan kerana portfolio KPDN adalah satu kementerian paling mencabar dan melibatkan soal periuk nasi rakyat.

"Saya difahamkan Timbalan Menteri Pertahanan, Adly Zahari antara yang disebut-sebut menjadi pengganti kepada Allahyarham Salahuddin dan ia satu cadangan positif.

"Bagi Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan, saya tidaklah mengetepikan peranan dimainkan menteri sedia ada, Datuk Seri Mohamad Sabu ketika ini.

"Tetapi saya melihat satu keperluan pemilihan calon menteri yang lebih bersifat real politic dan mempunyai ilmu pengetahuan tinggi dalam menyelesaikan isu kekurangan sumber makanan negara. Ia kerana isu itu turut terkait dengan krisis perubahan iklim dunia,” tambahnya.

Bagi Santiago, Kerajaan Perpaduan hakikatnya mempunyai barisan ahli Parlimen ‘simpanan’ berkualiti yang mampu memberi nilai tambah terhadap pentadbiran Anwar sekiranya diberi ruang dalam barisan Kabinet baharu kelak."Individu seperti Johari; Ahli Parlimen Tuaran, Datuk Seri Wilfred Madius Tangau; bekas Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad; Ahli Parlimen Bayan Baru, Sim Tze Tzin dan Ahli Parlimen Subang, Wong Chen diyakini mampu membawa keghairahan baharu kepada pentadbiran negara dari kaca mata rakyat jika diberi peluang.

"Sudah tiba masanya Anwar kena ubah sentimen agihan status quo untuk jawatan menteri mengikut parti kerajaan, sebaliknya perlu melantik individu tepat bagi mentadbir portfolio mencabar,” katanya lagi.

Klik di sini untuk terus membaca