"Kakak tahu guna komputer?” "Tahu encik. Saya masuk kelas komputer dulu. Dapat sijil.” "Baguslah. Program apa yang kakak mahir?” "WordStar, encik.” Saya hampir ternganga apabila mendengar jawapan itu. "Microsoft Word ...... Klik di sini untuk terus membaca

"Kakak tahu guna komputer?”

"Tahu encik. Saya masuk kelas komputer dulu. Dapat sijil.”

"Baguslah. Program apa yang kakak mahir?”

"WordStar, encik.”

Saya hampir ternganga apabila mendengar jawapan itu.

"Microsoft Word ... Excel...mahir?”

"Apa tu encik?”

Kali ini saya memang betul-betul ternganga. Kakak itu pun kelihatan ternganga juga.

Saya tidak akan lupakan kisah itu waima sehingga beras turun harga atau semua ahli politik berhenti berjanji. Ia kisah benar berlaku 25 tahun lalu ketika saya diminta oleh seorang kawan untuk membantu mengendalikan temu duga pengambilan kerani di syarikat miliknya.

Saya terdorong untuk menulis mengenainya kerana baru-baru ini seorang kawan saya pula ternganga-nganga apabila saya tidak tahu apa itu Robotic Process Automation (RPA).

"Aik, begitu ambil berat dengan teknologi pun boleh ‘terlepas kapal’ jugakah, bos?”

Dia bertanya sebelum mula menghurai tentang RPA, satu teknologi terbaharu robot perisian yang boleh diprogramkan untuk melakukan pelbagai kerja seperti membaca e-mel, mengisi borang, memuat turun invois dan bermacam-macam lagi.

Walaupun ia bukanlah robot fizikal namun fungsinya sama macam robot. Menggunakannya bermakna anda tidak perlu mendengar ayat ‘bos, hari ini saya demam’ atau ‘bos, hari saya terpaksa cuti, emak mentua meninggal’ dan lain-lain seumpamanya.

Kes ‘kakak WordStar’ itu sedikit berbeza daripada kes saya. Apa yang berlaku pada kakak itu ialah dia daripada kalangan generasi awal yang berpeluang mengikuti kelas komputer.

Pada masa itu, sekitar penghujung 1980-an dan awal 1990-an, kelas-kelas komputer tumbuh dengan banyaknya. Kebanyakan pelajarnya adalah mereka yang baru lepas SPM atau STPM. Sijil kelas komputer akan memberi nilai tambah kepada kelayakan mereka untuk memohon pekerjaan.

Pada masa itu seingat saya, yang diajar hanya dua perisian iaitu WordStar dan Word Perfect. Kedua-duanya program pemprosesan perkataan dengan WordStar sebagai pendahulu. Dua perkara yang melekap di fikiran saya ialah WordStar itu skrin latarnya berwarna biru, dan kedua, sesiapa yang mahir menggunakannya memang boleh berjalan dengan hidung menjolok langit.

Tetapi sangat banyak kes di mana mereka yang mengikuti kelas-kelas komputer itu berakhir sebagai bukan pengguna komputer, sebaliknya bermain dengan periuk belanga, dengan anak atau mentua disebabkan habis belajar terus berumah tangga.

Yang bekerja pun tidak semua berpeluang menggunakan komputer sebab bilangan penggunaannya pada masa itu terhad. Hendak beli sendiri pula tidak mampu sebab harganya sama dua tiga ekor lembu – mengambil kira nilai lembu pada zaman itu.

Sebab itulah selepas tiga empat tahun mereka tercicir daripada perkembangan terbaharu dunia perkomputeran. Dalam tempoh itu pelbagai perisian baharu muncul dan mereka kembali tidak tahu apa-apa mengenainya.

Dalam kes saya pula, walaupun berusaha seboleh mungkin mengikuti perkembangan teknologi komputer semasa, yang sekarang ini dirangkumkan kepada teknologi digital, namun ada ketikanya saya tercicir juga.

Puncanya, kerana pergerakan teknologi itu terlalu pantas. Setiap hari, malah setiap minit ada sahaja benda baharu muncul. Bukan sahaja membina keghairahan baharu kita untuk menggunakannya, tetapi menjarakkan kita daripada teknologi-teknologi terdahulu.

Suka atau tidak kita perlu mengaku bahawa teknologi digital sudah menjadi cara hidup dalam dunia baharu sekarang ini. Penggunaannya tidak lagi terbatas pada kelompok dan bidang tertentu. Memahirkan diri dan memperkasakan pengetahuan mengenainya menjadi tuntutan. Leka terhadap perkembangannya pula menjadikan kita ketinggalan.

Setakat waktu artikel ini ditulis, terdapat 8.93 juta aplikasi untuk telefon pintar di seluruh dunia bersedia untuk dimuat turun. Demikian juga jumlah perisian komputer yang tidak terkira banyaknya.

Tidak perlulah mencuba kesemuanya, takut nanti bukan sahaja jari menjadi semakin pendek, tetapi umur pun turut menjadi tidak panjang. Pilihlah yang anda rasa sesuai dan bermanfaat.

Demikian juga di platform-platform yang sedang anda gunakan. Terokailah perkara-perkara baharu yang ada di situ. Ia lebih baik daripada membaca hal rumah tangga orang atau memuat naik komen-komen yang tidak mampu mengenyangkan perut.

Kelebihan teknologi digital ialah ia membenarkan anda melakukan kesilapan semasa cuba menggunakannya. Sifat interaktifnya membolehkan anda belajar daripada kesilapan itu, dan menjadikan anda lebih baik.

Tetapi awas, dalam proses mencuba itu janganlah pula sampai suami atau isteri ternampak profil anda di Tinder atau yang seumpamanya...#dush!

* Datuk Dr Budiman Mohd Zohdi pernah berkhidmat sebagai setiausaha politik dan bekas wakil rakyat

Klik di sini untuk terus membaca