MUTAKHIR ini medan perbahasan politik tanah air semakin meriah dengan kemunculan pengulas politik yang memilih platform media sosial seperti TikTok dan YouTube sebagai wadah menyampaikan naratif politik masing-masing. Antara yang popular... Klik di sini untuk terus membaca

MUTAKHIR ini medan perbahasan politik tanah air semakin meriah dengan kemunculan pengulas politik yang memilih platform media sosial seperti TikTok dan YouTube sebagai wadah menyampaikan naratif politik masing-masing.

Antara yang popular termasuk bekas Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin Abu Bakar atau mesra dipanggil KJ dan bekas Ketua Penerangan UMNO, Shahril Hamdan yang bergabung mengendalikan segmen podcast, Keluar Sekejap.

Umum mengetahui, Khairy sebelum ini dipecat daripada UMNO atas dakwaan melakukan sabotaj parti pada kempen Pilihan Raya Umum Ke-15, manakala Shahril pula digantung keahlian selama enam tahun kerana dikatakan mengkritik parti secara terbuka.

Walaupun karier dalam UMNO umpama sudah ‘terkubur’, namun berbekal pengalaman dan pengaruh dalam politik sebelum ini, kedua-dua figura tersebut masih mampu meraih minat audiens.

Buktinya akaun TikTok Keluar Sekejap yang membincangkan perihal politik semasa dan isu nasional mempunyai lebih 150,000 pengikut setakat ini.

Seterusnya ialah Papagomo atau nama sebenarnya, Wan Muhammad Azri Wan Deris yang mempunyai lebih 200,000 pengikut menerusi akaun TikTok Projek Papa.

Dengan status blogger kontroversi satu ketika dulu, Papagomo yang juga bekas Exco Pemuda UMNO digantung keahlian daripada parti itu selama enam tahun berkuat kuasa 27 Ogos 2021 selepas didapati melanggar perlembagaan parti.

Papagomo kini aktif memperjuangkan agenda perpaduan Melayu selain mengulas pelbagai isu politik yang berbangkit dalam negara.

Iswardy Morni - kredit gambar Twitter @IswardyMorni

Selain itu, terdapat juga nama seperti Iswardy Morni iaitu Setiausaha Kerja Penerangan Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang aktif melontarkan ulasan dan komentar politik sensasi terhadap parti lawan.

Iswardy yang berasal dari Sarawak mempunyai lebih 55,000 pengikut TikTok.

Munculnya kerjaya baharu bagi individu di atas yang sebelum ini merupakan tulang belakang parti, timbul persoalan adakah pengaruh mereka mampu mendatangkan kesulitan atau memberi kelebihan kepada mana-mana parti terutamanya dalam kalangan pengikut muda yang menguasai segmen media sosial pada hari ini.

Penganalisis politik Universiti Sultan Zainal Abidin, Dr Hussain Yusri Zawawi mengakui, ulasan daripada personaliti politik seperti Khairy dan Shahril mempunyai impak tertentu kepada parti politik.

"Seperti kita sedia maklum, kedua-duanya adalah tokoh politik yang telah berada lama dalam UMNO, mereka juga mempunyai personaliti dan pengaruh tersendiri yang mampu menggugat ideologi politik terutamanya terhadap UMNO.

"Ulasan mereka dalam segmen Keluar Sekejap turut dilihat memberi impak yang sangat besar kepada rakyat terutama generasi anak muda yang peka media sosial sehingga mempengaruhi keputusan pilihan raya,” katanya kepada Sinar Premium.

Cik Yanie

RELEVAN

Menurut Hussain Yusri, bersandarkan posisi sebagai tokoh politik dikenali selain pernah memegang jawatan dalam kerajaan, tiada masalah untuk Khairy dan Shahril mengulas secara peribadi apa-apa isu yang relevan selagi mempunyai merit dan idea.

Hussain Yusri berkata, kehadiran pengulas politik yang tidak mempunyai latar belakang politik kurang memberi impak signifikan sebaliknya hanya sekadar pelengkap demokrasi dan ruang kebebasan politik.

Namun beliau berkata, dalam konteks demokrasi, tiada siapa boleh dihalang untuk bercakap tentang pelbagai isu termasuk politik selagi tidak bercanggah dengan peruntukan Perlembagaan.

"Selagi mereka (pengulas) mengulas dengan betul dan berfakta, maka sewajarnya disokong kerana itulah keunikan sistem demokrasi sekali gus ia membuka ruang kepada rakyat untuk menilai peranan parti politik malah kerajaan dan keberkesanannya,” kata beliau.

HUSSAIN YUSRI

PENGULAS AWAM

Bagi Timbalan Pengarah Institut Kajian Etnik Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Profesor Dr Kartini Aboo Talib@Khalid, setiap individu bebas mengulas tentang politik, namun apa yang membezakan adalah isi kupasan.

"Podcast seperti Keluar Sekejap menghuraikan pandangan berdasarkan pengalaman first hand sebagai ahli parti, mantan menteri dan individu berlatar belakang pendidikan ijazah sains sosial.

"Perbincangan mereka dilihat padat dan mempunyai nilai autoritatif yang signifikan kepada audiens,” katanya.

Kartini

Menurutnya, bagi orang awam atau boleh juga digelar pengulas awam yang mengulas tentang politik, pandangan mereka dihargai sebagai aktor sosial yang memerhati berdasarkan pengalaman namun kupasan mereka berbeza pemberat.

"Pandangan pengulas awam ini adalah sekadar pandangan peribadi berdasarkan lensa pemerhatian dan adakala bersifat partisan iaitu memihak selain boleh dipengaruhi emosi,” ujarnya.

Beliau berkata, untuk ulasan mapan, berkualiti dan berkredibiliti, sebaiknya ia datang daripada penganalisis politik berkelayakan berbanding pengulas awam.

"Sama seperti senario citizen journalist yang dianggap boleh mengganggu pelaporan berita sehingga sukar membezakan mana yang benar dan palsu begitu juga ‘pengulas awam’.

"Berbanding ‘pengulas awam’ kualiti analisis dan jalinan fakta serta hubungan sebab akibat (cause and effect) dapat diulas dengan berkesan oleh penganalisis bertauliah,” jelasnya.

Menurutnya, walaupun ‘pengulas awam’ di Tik Tok misalnya mempunyai ramai pengikut dan sering mendapat like dan tontonan tinggi, ia tidak semestinya akan menjadi faktor yang menjatuhkan atau menaikkan sesebuah parti.

"Menjadi pengikut kepada mana-mana ‘pengulas awam’ di media sosial seperti Tik Tok belum tentu mampu memberi impak kepada turun naik parti politik.

"Sekadar menyukai kandungan belum tentu mempengaruhi keputusan individu yang kebanyakannya boleh membezakan antara humor dan realiti,” kata beliau.

Klik di sini untuk terus membaca