PERKATAAN yang tular pada hari ini ialah healing. Dalam Kamus Webster maksudnya ialah proses pemulihan atau mengembalikan kesihatan.
Perkataan ini begitu popular sehinggakan ramai mengaitkan apa jua aktiviti mereka sebagai healing.
Pergi bercuti ke kawasan pergunungan ialah healing. Balik ke kampung adalah healing. Mendengar muzik, minum teh tarik seorang diri di restoran mamak pun adalah untuk healing. Sikit-sikit, healing; sikit-sikit, healing.
Istilah healing kini kian popular sehinggakan banyak penerbit buku menjadikan konsep healing sebagai salah sebuah kategori buku-bukunya.
Ia tidak salah, malah bagus kerana banyak kajian menunjukkan sesebuah istilah itu boleh memberi kesan positif atau negatif kepada psikologi seseorang.
Sebagai sebuah perkataan yang mempunyai konotasi positif, healing memberi rasa kelegaan dan kerehatan pada seseorang walaupun apa yang dilakukan itu begitu simple.
Jika menggaru belakang badan yang gatal dengan menggesek tubuh ke tiang menimbulkan rasa bahagia, ia healing untuk orang itu walaupun bagi orang lain ia sesuatu yang kelakar.
Justeru, kita tidak boleh menilai hanya aktiviti memakan masa yang panjang dan mahal sahaja yang mendatangkan rasa healing, tetapi jika ia simple dan tiada kos, maka ia bukan healing.
Samalah juga, kita boleh kenyang setelah makan sekeping martabak. Jika kita menjamah sekeping roti canai pun, kita akan kenyang juga.
Di zaman pelajar dahulu, saya pernah terlibat dalam aktiviti khidmat masyarakat ke kampung-kampung dengan memberi kelas-kelas bimbingan dan motivasi kepada para pelajar sekolah.
Masih saya masih ingat lagi, ada empat perkataan yang begitu popular di kalangan para pelajar pada tahun-tahun 1970-an. Perkataan-perkataan itu ialah frust, relax, enjoy dan boring. Ia digunakan dengan begitu berleluasa sekali.
Contohnya, apabila cikgu beri kerja rumah, mereka frust. Bila makanan di kantin tak sedap, mereka frust. Bila bergaduh dengan teman wanita, mereka frust. Dan, bila mereka putus kasih dan berasa begitu sedih, mereka frust menonggeng!
Begitu juga dengan penggunaan perkataan-perkataan lain iaitu relax, enjoy dan boring. Dalam apa jua situasi, mereka akan memadankan keadaan mereka dengan perkataan-perkataan itu.
Hari ini, golongan muda yang sedang mengembangkan perbendaharaan kata akan peka untuk menerima dan mengaplikasikan penggunaan sesebuah perkataan yang baru diketahui. Ia amat baik. Namun, pengetahuan baharu mengenai sesebuah perkataan itu adakala boleh memberi kesan negatif.
Kini, banyak terminologi psikologi yang kian popular di kalangan anak-anak muda hasil pembacaan dan tatapan mereka khususnya di media sosial.
Malangnya, pengetahuan mereka terhadap sesebuah perkataan itu menimbulkan rasa was-was sama ada mereka juga sedang mengalami sindrom yang berpadanan dengan istilah yang baru mereka ketahui.
Tiba-tiba, kita dapati ramai anak-anak muda kini sedang mengalami anxiety, depression, malah attention defisit hyperactivity disorder (ADHD).
Jika di tahun-tahun 1970-an, situasi emosi yang tidak stabil anak-anak muda hanyalah frust, relax, enjoy dan boring; dengan pengetahuan istilah-istilah baharu, gangguan perasaan mereka menjadi semakin canggih mengikut peredaran masa!
Mari kita cuba elakkan, supaya kita menghidap sesuatu secara ikut-ikutan dengan berpandukan rasa was-was lalu berperangai seperti seorang penghidap penyakit itu semata-mata kerana terpengaruh dengan sesuatu istilah yang baru kita ketahui.
Kita tidak menafikan bahawa tahap gangguan emosi hari ini kian parah di kalangan masyarakat.
Sekiranya seseorang itu berasa rengsa dengan keadaan diri, maka seelok-eloknya mereka mendapat khidmat pakar untuk mendiagnosis sama ada mereka benar-benar menghidap apa yang mereka bimbangi ataupun hanya tanggapan mereka semata-mata.
Setelah mendapat pemeriksaan pakar, adalah wajar seseorang itu mendapat rawatan rapi sepatutnya.
Namun, jika setelah pemeriksaan doktor, jelas ia hanya false alarm kerana terlalu hyper alert, maka seelok-eloknya kita banyakkan solat kerana solat itu healing!
* Norden Mohamed ialah mantan Ketua Pengarang Sinar Harian
Klik di sini untuk terus membaca