SHAH ALAM - Keberadaan pengulas politik di media sosial seperti TikTok dan YouTube diakui mampu mempengaruhi persepsi dalam kalangan audiens terhadap parti politik.
Papagomo atau nama sebenarnya Wan Muhammad Azri Wan Deris berkata, ulasan dan komentar pengulas politik di media sosial mampu memberi impak terhadap imej dan jatuh bangun parti.
"Sama seperti zaman blogger dan penulis Facebook dulu di mana ulasan dan kupasan mereka telah mendedahkan pelbagai isu yang memberi kesan kepada parti politik, begitu juga dengan pengulas politik di platform TikTok ketika ini.
"Lihat sahaja ketika Pilihan Raya Umum ke-15 dan juga Pilihan Raya Negeri (PRN) baru-baru ini, ramai pengulas politik di TikTok tampil memberi ulasan masing-masing dan ini secara langsung boleh mempengaruhi persepsi rakyat terhadap sesebuah parti politik,” katanya kepada Sinar Premium.
Beliau yang mempunyai lebih 200,000 pengikut di TikTok menerusi akaun Projek Papa, kesan langsung itu disebabkan ulasan pengulas politik sepertinya tiada kekangan ‘red tape’.
"Isu politik atau parti yang tidak dapat disuarakan oleh media arus perdana atas kekangan tertentu sebaliknya boleh diulas pengulas politik dan pastinya setiap yang bersuara itu akan membawa impak tersendiri,” ujarnya.
Beliau berkata, bergantung kepada naratif kandungan yang dibawa, pengulas politik di media sosial sepertinya juga mampu mempengaruhi tanggapan audiens atau rakyat terhadap parti politik.
"Siapa yang mengikuti tahu bahawa saya memperjuangkan perpaduan Melayu, satu isu yang dekat di hati rakyat dan pastinya mempunyai impak besar dalam kalangan audiens sehingga mampu menarik puluhan ribu tontonan.
"Kalau kita melihat ketika PRN lalu, ramai mengundi Perikatan Nasional, ini bukan kerana parti sahaja, bukan juga kerana Tan Sri Muhyiddin Yassin tetapi kerana perpaduan Melayu setelah UMNO bersama DAP,” jelasnya.
Beliau turut mengakui perlunya lebih ramai pengulas politik sepertinya bagi melaporkan berita dan isu termasuk berkaitan politik dengan telus kepada rakyat.
"Kita tahu wartawan misalnya mempunyai keterbatasan dalam membuat laporan dengan adanya pengulas seperti saya dan ramai lagi, kami menawarkan pelbagai opsyen pandangan.
"Selebihnya terpulang kepada audiens dan rakyat sendiri untuk menilai baik buruk dan membuat keputusan tentang sesuatu isu tersebut,” katanya.
Bagi aktivis politik dan pengamal media sosial, Iswardy Morni, pengulas politik sepertinya umpama suara ketiga yang mampu mempengaruhi persepsi audiens.
"Contohnya ketika ahli politik mahu bertanding pilihan raya, pastinya mereka ada hujah dan pendapat masing-masing. Pengulas politik ini pula berperanan memberikan pandangan daripada sudut pihak ketiga kepada audiens.
"Walaupun mungkin mempunyai bias terhadap pihak tertentu namun ulasan yang dikongsikan sedikit sebanyak mampu mempengaruhi persepsi audiens atau rakyat dalam membuat interpretasi tentang satu-satu hujah politik itu,” katanya.
Iswardy yang juga Setiausaha Kerja Penerangan Parti Keadilan Rakyat (PKR) berkata, kebanyakan pengulas politik media sosial mempunyai gaya penyampaian santai sekali gus mampu menarik minat audiens.
"Menerusi gaya penyampaian tidak formal ditambah pula informasi yang adakala tidak boleh diceritakan pihak lain misalnya ahli politik atas sebab kekangan tertentu membuatkan audiens tertarik untuk mendengar ulasan pengulas politik seperti kami,” jelasnya.
Iswardy yang mempunyai lebih 50,000 pengikut di TikTok juga mengakui perlunya lebih ramai pengulas politik di media sosial pada masa akan datang.
"Pendekatan pengulas politik seperti ini sebenarnya baik untuk menggalakkan audiens berfikir lebih mendalam apabila membicarakan soal politik.
"Namun sesiapa yang mahu menjadi pengulas ini perlu mematuhi undang-undang, elakkan fitnah, jangan menggunakan kata-kata jelik yang merendah-rendahkan orang lain secara individu sebaliknya mengulas berdasarkan fakta semasa yang betul,” katanya.
Klik di sini untuk terus membaca