TADBIR urus yang baik adalah asas penting kepada ekonomi yang berkembang maju dan kunci kepada pembangunan mampan dalam sesebuah negara. Apabila sesebuah negara mengutamakan tadbir urus yang baik, ia mewujudkan rangka kerja yang... Klik di sini untuk terus membaca

TADBIR urus yang baik adalah asas penting kepada ekonomi yang berkembang maju dan kunci kepada pembangunan mampan dalam sesebuah negara.

Apabila sesebuah negara mengutamakan tadbir urus yang baik, ia mewujudkan rangka kerja yang menggalakkan ketelusan, akauntabiliti dan kecekapan dalam kedua-dua sektor awam dan swasta. Ini seterusnya boleh membawa kepada pelbagai faedah ekonomi yang menyumbang kepada pembangunan keseluruhan negara.

Salah satu cara utama tadbir urus yang baik memupuk pembangunan ekonomi adalah dengan mewujudkan persekitaran yang menggalakkan untuk pelaburan.

Apabila pelabur melihat bahawa sesebuah negara mempunyai sistem politik dan undang-undang yang stabil, peraturan yang jelas dan komitmen untuk memerangi rasuah, mereka lebih cenderung untuk melaburkan modal mereka.

Syaratnya kita tidak boleh hanya bercakap tentang komitmen kepada tadbir urus baik atau tata kelola sekiranya ia tidak diterjemahkan dengan amalan sebenar yang melambangkan tadbir urus baik tersebut. Cakap sahaja tidak mencukupi.

Tambahan pula, tadbir urus yang baik akan membantu mengurangkan rasuah dan meningkatkan kedaulatan undang-undang. Rasuah menyedut sumber daripada sektor ekonomi yang produktif dan menghakis kepercayaan orang ramai.

Dengan melaksanakan langkah antirasuah yang kukuh dan memastikan pegawai awam bertanggungjawab atas tindakan mereka, sesebuah negara boleh memupuk persekitaran di mana sumber diperuntukkan dengan cekap, dan individu serta perniagaan boleh beroperasi di atas padang yang sama rata.

Ini seterusnya menggalakkan keusahawanan dan inovasi, yang merupakan pemacu penting pembangunan ekonomi.Semua ini akan terbantut sekiranya rakyat dan pelabur hilang keyakinan apabila mereka melihat banyak kes-kes rasuah yang sebelum ini disiasat rapi tetapi digugurkan oleh pihak pendakwaan atas apa pun alasannya.

Suka atau tidak, implikasi kepada keputusan yang diambil oleh mana-mana pejabat peguam negara di manamana negara dalam dunia ini akan memberi implikasi kepada kerajaan yang memerintah kerana peguam negara adalah juga peguam kepada kerajaan. Apa juga tindak tanduk beliau akan memberi gambaran bahawa beliau bertindak atas persetujuan kerajaan. Sebab itu perlu ada pengasingan kuasa antara kedua-duanya.

Sekiranya perkara seperti ini berterusan, sejauh mana pun baiknya hasrat yang terkandung di dalam Pelan Ekonomi MADANI dalam konteks Malaysia, ia akan hanya menjadi satu lagi pelan yang baik tetapi gagal dicapai kerana masyarakat akan beranggapan bahawa negara ini mengamalkan sistem perundangan ‘dua darjat’.

Baik mana pun pengurusan kewangan awam yang berkesan, setelus mana pun kerajaan mengenai peruntukan dan perbelanjaan belanjawannya, ia tidak cukup untuk membina kepercayaan dalam kalangan rakyat dan pelaburnya sekiranya ada persepsi bahawa sistem keadilan negara mengamalkan ‘dua darjat’ ini. Ini akan memberi signal kepada dunia bahawa kita sebenarnya tidak serius dengan tadbir urus atau tata kelola yang kita sebut-sebutkan.

Kerajaan perlu kembalikan keyakinan rakyat kalau kita mahu melihat rakyat lebih cenderung untuk membayar cukai.

Selain mereka melihat wang mereka digunakan dengan bijak dan untuk kepentingan orang ramai, mereka juga perlu yakin bahawa sistem keadilan negara terutama pejabat peguam negara akan melaksanakan tugas dan tanggungjawab tanpa ‘fear and favour’.

Kita perlu kembali kepada tadbir urus baik yang sebenarnya. Kerana kita sedar tadbir urus yang baik juga akan menggalakkan pembangunan infrastruktur dan perkhidmatan awam yang akan membantu menyelesaikan masalah rakyat. Kerajaan yang berfungsi dengan baik boleh merancang dan melaksanakan projek infrastruktur dengan cekap, menambah baik pengangkutan, tenaga dan rangkaian komunikasi.

Tadbir urus yang baik adalah penting untuk mengawal selia dan menyelia pasaran kewangan. Rangka kerja kawal selia yang berkesan memastikan bank, pasaran saham dan institusi kewangan lain beroperasi dengan integriti dan mematuhi amalan adil. Kestabilan dan kepercayaan dalam sektor kewangan ini sangat penting terutama untuk menarik pelaburan domestik dan asing.

Negara yang mempunyai reputasi tadbir urus yang baik lebih berkemungkinan menarik bantuan asing, bantuan teknikal dan perjanjian perdagangan yang menguntungkan. Sokongan antarabangsa ini boleh menyediakan sumber tambahan untuk projek pembangunan ekonomi dan mengukuhkan kedudukan negara dalam ekonomi global.

*Datuk Dr Anis Yusal Yusoff ialah Pengarah di UM LEAD, Universiti Malaya. Beliau juga adalah Felo Utama di KITA, UKM, dan pernah menjadi Presiden Institut Integriti Malaysia dan Timbalan Ketua Pengarah GIACC, JPM

Klik di sini untuk terus membaca