AGAK lumrah dalam politik Malaysia, perpaduan diberi makna hapusnya persaingan dan pembahagian kuasa dan imbuhan antara mereka yang bersaing.
Mengikut logik ini, perpaduan dalam dunia sukan hanya tercapai jika pasukanpasukan dan pemain-pemain duduk berunding untuk membahagi-bahagikan siapa dapat emas, perak dan gangsa.
Akan tetapi, olahragawan yang sebenar mendukung persaingan yang adil. Mereka pentingkan maruah, maruah itu bukan kemenangan tak kira kaedah, tetapi kesungguhan dan keadilan dalam bersaing.
Maruah tidak hilang kerana seseorang itu telah kalah sungguhpun bermain bersungguh-sungguh. Sebaliknya, maruah itu hilang jika seseorang itu menang dengan cara yang keji, sama ada mensabotaj pesaing, mengatur perlawanan atau menyorok pengadil.
Balik kepada politik. Apabila ahli-ahli politik meneriak ‘perpaduan’, kita seharusnya menuntut mereka untuk bersatu padu mendukung kedaulatan undang-undang, prinsip ketiga dalam Rukun Negara.
Kedaulatan undang-undang bermaksud kesamarataan di depan undang-undang. Sekalipun mereka yang paling berkuasa pun akan dihukum jika berbuat salah. Sebaliknya, mereka yang paling tidak berkuasa pun tidak akan dihukum kalau mereka tidak bersalah.
Kedaulatan undang-undang adalah asas kestabilan politik, keharmonian masyarakat dan kemakmuran ekonomi. Apabila semua orang mematuhi undangundang, mereka yang inginkan kekayaan perlu berusaha dan bukannya merompak, mencuri atau merebut kuasa untuk menyakau dana rakyat di baitulmal.
Sebaliknya apabila undang-undang tidak berdaulat, bersalah atau tidak bergantung kepada sama ada seseorang itu berkuasa. Selagi dia berkuasa, dia tidak bersalah. Sebaik saja dia hilang kuasa, dia bersalah.
Kalau dia kembali berkuasa lagi, dia pun kembali tidak bersalah.Dengan politik sebegini, apa yang dapat halang para pembesar bermula daripada perdana menteri atau presiden untuk merompak baitulmal yang seharusnya menjadi amanah mereka?
Kalau seluruh dunia tahu seseorang perdana menteri atau presiden itu penjenayah yang sanggup memakan rakyatnya, apa yang boleh menghalang negara lain untuk menyorok sang penguasa ini untuk bersama-sama menggeledah negaranya dan merompak rakyatnya? Apa yang boleh menghalang penjajahan baharu oleh kuasa asing yang mungkin datang membawa hadiah?
Sesungguhnya tiada jenayah pecah amanah yang lebih besar apabila ia dilakukan oleh ketua kerajaan sendiri. Tiada musuh dalam selimut yang lebih besar apabila ketua kerajaan mengkhianati amanahnya. Apa yang boleh melindungi negara daripada pengkhianatan agung oleh ketua kerajaan?
Pertama, cukupnya pengundi yang celik untuk menjatuhkan perompak negara. Kedua, institusi kehakiman dan pendakwa raya yang beramanah dan berupaya untuk menegakkan kedaulatan undang-undang.
Ketua kerajaan disabit rasuah dan dipenjarakan sebenarnya semakin menjadi-jadi di seluruh dunia. Sebelum dan selepas Malaysia, ia telah berlaku Korea Selatan, Filipina, Taiwan, Brazil, Perancis dan Thailand.
Di Korea Selatan, sejak 1996, empat orang mantan presiden telah disabit rasuah dan dipenjarakan dan seorang masih meringkuk dalam penjara. Tiga orang lain mengaku salah dan memohon ampun sebelum diampunkan atas kuasa atau cadangan presiden baharu daripada parti lawan.
Tiada seorang pun berani menyerang mahkamah dan mendakwa mangsa pendakwaan terpilih.Pemenjaraan mantan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak atas rasuah pada 23 Ogos 2022 adalah bukti Malaysia negara berdaulat, bermaruah dan berupaya mengubati barah politik.
Apabila kita menyambut Hari Malaysia ke-66, mari kita bersatu padu mendukung kedaulatan undang-undang. Jangan kita meneriak Merdeka sambil menampar keadilan.
Jangan hilang nyawa digigit ular, Jangan hilang budi digoda harta; Penjajah tidak selalu dari luar, Moga kita sentiasa buka mata.
*Profesor Wong Chin Huat ialah Timbalan Ketua (Strategi), Pejabat Asia, Rangkaian Penyelesaian Pembangunan Mampan PBB (SDSN-Asia) di Universiti Sunway
Klik di sini untuk terus membaca