SHAH ALAM - Biarpun Perikatan Nasional (PN) gagal menang Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Pulai dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Simpang Jeram namun terdapat migrasi besar-besaran pengundi Barisan Nasional (BN) terutama orang Melayu kepada... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Biarpun Perikatan Nasional (PN) gagal menang Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Pulai dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Simpang Jeram namun terdapat migrasi besar-besaran pengundi Barisan Nasional (BN) terutama orang Melayu kepada koalisi parti politik itu.

Ahli Jawatankuasa Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Badrul Hisham Shaharin berkata, biarpun peratus keluar mengundi bagi Parlimen Pulai turun dari 71 peratus pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) ke 47.33 peratus, namun bilangan undi PN naik melebihi 9,000 undi.

Katanya, ini memberi gambaran berlaku migrasi undi BN kepada Pakatan Harapan (PH) sebanyak 23 peratus, BN kepada PN sebanyak 74.5 peratus dan BN ke Bebas 2.5 peratus.

"Keputusan DUN Simpang Jeram menunjukkan peningkatan dari segi peratusan keluar mengundi dari 54.72 peratus pada PRN Johor 2022 kepada 60.85 peratus sekali gus memberi gambaran telah berlaku peralihan undi BN kepada PH sebanyak 55 peratus, BN kepada PN sebanyak 40.5 peratus dan BN kepada Bebas 4.5 peratus.

"Peningkatan undi kepada calon PN berlaku hanya dalam tempoh kurang setahun. Dalam tempoh empat tahun lagi, jika kerajaan tidak berjaga-jaga Johor berkemungkinan menyaksikan gelombang lebih besar untuk PN. Terpulang kepada pemimpin UMNO-BN mahu terima atau tidak,” katanya kepada Sinar Premium.

Badrul Hisham berkata, pertambahan jumlah undi berkenaan memberi petanda positif kepada PN untuk memenangi pilihan raya akan datang.

Pada PRK itu, PH menang bagi kedua-dua kerusi sekali gus membuktikan rakyat Johor menolak gelombang hijau yang berlaku sebelum ini.

Sementara itu, penganalisis politik dari Universiti Malaya, Dr Muhammad Shamsinor Abdul Azzis berkata, kemenangan PH itu menunjukkan PN gagal meraih sokongan pengundi bukan Melayu dan Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan) gagal memainkan peranan sepatutnya dibuat mereka.

Beliau berkata, kemenangan PH juga menunjukkan gelombang hijau gagal menembusi kubu kuat PH dan BN di negeri Pantai Barat terutama Negeri Sembilan, Melaka dan Johor tidak seperti di negeri Pantai Timur (Kelantan dan Terengganu) dan Kedah di utara Semenanjung.

"Keputusan PRK Pulai dan Simpang Jeram bukan sesuatu yang mengejutkan biarpun PN cuba mencipta kejutan kerana dikatakan berpeluang menang terutama di DUN Simpang Jeram kerana dari segi demografi komposisi pengundi Melayu lebih ramai berbanding kaum lain.

"PN gagal memperoleh kemenangan di Simpang Jeram kerana mereka hanya mendapat sokongan kira-kira 60 peratus pengundi Melayu, namun majoriti pengundi bukan Melayu terutama kaum Cina pula kekal bersama PH,” jelasnya.

Tambah Muhammad Shamsinor, kekalahan PN juga menunjukkan bahawa pengundi di Pulai dan Simpang Jeram kurang terpengaruh dengan isu nasional termasuk kes Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang dilepas tanpa dibebaskan Mahkamah Tinggi daripada 47 pertuduhan pecah amanah, rasuah dan pengubahan wang haram dana Yayasan Akalbudi pada minggu lalu.

"Kemenangan PH di Pulai dan Simpang Jeram juga menaikkan semangat jentera dan pemimpin akar umbi mereka untuk membantu UMNO mempertahankan kerusi DUN Pelangai dalam PRK pada bulan depan,” tambah beliau.

Klik di sini untuk terus membaca