JAKARTA - Pencemaran udara semakin menjadi-jadi di Jakarta sehingga menyebabkan Asep Muizudin Muhamad Darmini, 35, masih lagi mendapatkan bantuan pernafasan di sebuah hospital di ibu negara Indonesia.
Sebenarnya, pencemaran udara di Jakarta bukanlah fenomena baharu, tetapi pemantau dan aktivis menyatakan kesannya dilihat semakin teruk berbanding biasa pada tahun ini.
Akibat menerima tekanan dalam dan luar negara, kerajaan Indonesia sudah mula mengenal pasti industri-industri yang menyumbang kepada pencemaran udara di Jakarta.
Bagi meminimumkan kesannya, pihak berkuasa telah menyita 13 syarikat yang gagal memenuhi standard operasi pelepasan asap di ruang udara.
Selain itu, kakitangan awam mula mengarahkan kerja di rumah selain melakukan pembenihan awan dan ujian pelepasan asap kenderaan yang menjadi punca pencemaran udara di seluruh Jakarta.
Sebelum sidang kemuncak serantau pada minggu lalu, pihaknya telah menyekat penjanaan kuasa di loji arang batu Suralaya dekat Jakarta dalam usaha mengekang kualiti udara.
Menurut pemantau IQAir yang berpangkalan di Switzerland, ibu kota didiami kira-kira 30 juta penduduk mengalami pencemaran udara paling teruk di dunia sejak beberapa bulan lepas.
Bagaimanapun, usaha Asep Muizudin yang sering memakai pelitup muka dan bersenam secara teratur, didapati sia-sia.
"Saya berasa tidak terdaya kerana berapa kuat usaha untuk mengekalkan minda positif dan hidup seperti normal, badan saya tidak dapat melawan pencemaran itu," katanya memberitahu AFP.
Tindakan undang-undang Pengarah hospital terkemuka Indonesia untuk penyakit pernafasan berkata, jangkitan dan kes radang paru-paru meningkat 20 hingga 30 peratus antara Mac dan Julai berbanding tahun lalu.
Pencemaran udara dipacu pelbagai punca termasuk udara lebih panas, corak angin dan topografi yang dikatakan memainkan peranan penting menyumbang kepada ia boleh berlaku.
Pakar menjelaskan bahawa pencemaran akibat sumber seperti loji arang batu turut mencetuskan bencana tersebut.
Data diterbitkan Pusat Penyelidikan Tenaga dan Udara Bersih (CREA) telah mendapati pelepasan asap daripada loji janakuasa arang pada tahun 2022 menjadi punca 10,500 kes kematian dan perbelanjaan AS$7.4 bilion (RM34.6 bilion) dalam kos kesihatan.
Sejak dari itu, Indonesia mengambil pendekatan selamat dengan berjanji untuk mentauliahkan kilang baharu bermula 2023 dan menjadi negara neutral karbon menjelang 2025.
Namun disebabkan tindakan perlahan, kerajaan Indonesia berdepan tindakan undang-undang dari warga negaranya sendiri.
Pada tahun 2021, aktivis dan rakyat memenangi tuntutan mahkamah yang mendapati Presiden Joko Widodo dan pegawai tingginya telah cuai melindungi mereka daripada pencemaran udara.
Tuntutan tersebut menyebabkan kerajaan gagal dalam rayuan kes itu, namun membuat satu lagi rayuan kepada Mahkamah Agung. - AFP
Klik di sini untuk terus membaca