SHAH ALAM - Timbalan Presiden Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda), Amira Aisya Abd Aziz tidak perlu mengosongkan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Puteri Wangsa biarpun Muda mengumumkan tidak lagi bersama Pakatan Harapan (PH).
Pensyarah Kanan, Pusat Perdana Fakulti Teknologi dan Informatik Razak dari Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Profesor Madya Dr Mazlan Ali berkata, biarpun Amira Aisya menang di Puteri Wangsa atas jasa dan ihsan PH terutama Parti Amanah Negara (Amanah) yang memberi laluan kepadanya untuk bertanding di situ, tiada kewajiban baginya untuk mengosongkan kerusi itu.
Ini kerana Mazlan menjelaskan Amira Aisya boleh membuat pilihan sendiri sama ada mahu kekal sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) bagi parti Muda yang kini berada di blok pembangkang atau menyertai Amanah seperti dinasihati Timbalan Pengerusi PH Johor, Aminolhuda Hassan.
Ujarnya, dengan enakmen anti lompat parti belum dikuatkuasakan sepenuhnya di Johor, Amira Aisya tidak bermasalah untuk berhijrah parti dengan menyertai Amanah, sekali gus kembali menjadi seorang ADUN blok Kerajaan Perpaduan pada sidang DUN negeri itu minggu depan.
"Walaupun kenyataan Aminolhuda nampak macam selari dengan undang-undang anti lompat parti, kena ingat Muda hanya menjalin kerjasama politik secara tidak rasmi dengan PH sewaktu parti itu menyertai Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) dengan watikah pelantikan calon masih ditandatangani Presiden Muda, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.
"Situasi itu mungkin berbeza jika Pengerusi PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim atau Presiden Amanah, Datuk Seri Mohamad Sabu yang menandatangani watikah pemilihannya sebagai calon parti-parti komponen PH pada PRN sebelum ini. Jika perkara itu berlaku, barulah Amira wajib mengosongkan kerusi DUN Puteri Wangsa kerana sudah mengumumkan menarik sokongan daripada PH,” katanya kepada Sinar Premium.
Sementara itu penganalisis politik dari Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM), Profesor Madya Dr Khairol Anuar Kamri menegaskan keputusan Muda menarik sokongan ke atas Kerajaan Perpaduan di Putrajaya dan Johor adalah hak parti tersebut.
Bagaimanapun, Khairol Anuar melihat parti Muda belum cukup kuat untuk menjadi kuasa ketiga dalam mana-mana sidang DUN dan Parlimen.
"Justeru saya melihat suka atau tidak Muda perlu pilih gabungan politik sama ada Perikatan Nasional (PN) atau PH untuk terus relevan pada pilihan raya akan datang,” jelasnya.
Sebelum ini, Aminolhuda memberikan kata dua kepada Amira Aisya sama ada menyertai Amanah atau meletak jawatan sekali gus mengosongkan kerusi Puteri Wangsa dalam masa terdekat.
Sebelum itu, Muda pada Isnin dilaporkan tidak lagi berada dalam blok pengimbang PH di Johor selepas memutuskan keluar daripada gabungan itu.
Tindakan itu susulan Syed Saddiq yang juga Ahli Parlimen Muar mengumumkan Muda secara rasmi keluar daripada blok kerajaan untuk menjadi pembangkang sebagai kuasa ketiga.
Klik di sini untuk terus membaca