SHAH ALAM - Himpunan Aman Selamatkan Malaysia boleh dibuat tanpa memerlukan permit berdasarkan peruntukan di dalam Akta Perhimpunan Aman 2012. Peguam, Mohd Radzlan Jalaludin berkata, syarat bahawa mana-mana perhimpunan aman perlu memohon... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Himpunan Aman Selamatkan Malaysia boleh dibuat tanpa memerlukan permit berdasarkan peruntukan di dalam Akta Perhimpunan Aman 2012.

Peguam, Mohd Radzlan Jalaludin berkata, syarat bahawa mana-mana perhimpunan aman perlu memohon permit tidak lagi diguna pakai sejak akta tersebut diwujudkan.

"Cuma subseksyen 1 Seksyen 9 akta itu menyebut bahawa perlunya pemberitahuan dibuat kepada ketua polis daerah (OCPD) mengenai tempat perhimpunan yang mahu dibuat dalam tempoh lima hari sebelum ia dianjurkan.

"Namun, Subseksyen 2 Seksyen 9 pula menyatakan bahawa subseksyen 1 itu tidak terpakai bagi suatu perhimpunan yang diadakan di suatu tempat yang telah ditetapkan.

"Untuk perhimpunan pada Sabtu ini, saya difahamkan penganjur telah memaklumkan lokasi himpunan. Jadi memang tidak perlu pemberitahuan dibuat kepada OCPD,” jelas beliau ketika dihubungi Sinar Harian pada Khamis.

Beliau berkata demikian mengulas kenyataan Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Allaudeen Abdul Majid bahawa polis masih belum menerima sebarang permohonan berhubung penganjuran Himpunan Aman Selamatkan Malaysia yang dirancang diadakan di ibu negara pada Sabtu ini.

Jelas Mohd Radzlan, apabila sudah diumumkan lokasi penganjuran, keperluan untuk pemberitahuan tentang penganjuran perhimpunan itu pun sudah tergugur.

"Yang perlu diberitahu ialah sekiranya mereka mahu buat perarakan. Jadi kalau ada perarakan, mungkin perlu pemberitahuan awal lima hari kepada pihak berkuasa,” ujarnya.


Himpunan yang pernah berlaku di Kuala Lumpur

10 November 2007

Gabungan Pilihanraya Bersih dan Adil (Bersih) menganjurkan perhimpunan di Dataran Merdeka dengan sasaran 10,000 orang bagi menyerahkan memorandum kepada Yang di-Pertuan Agong di Istana Negara di Jalan Tuanku Syed Putra.

9 Julai 2011

Bersih 2.0 menganjurkan perhimpunan mendesak Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) memastikan senarai pengundi yang benar-benar bersih, penggunaan dakwat hitam kekal lebih dipercayai serta tiada sebarang unsur rasuah atau janji semasa pilihan raya.

28 April 2012

Perhimpunan Bersih 2012 atau Bersih 3.0 (juga dikenali Duduk Bantah) berlangsung di pusat bandar. Himpunan tersebut merupakan lanjutan kepada Perhimpunan Bersih 2007 dan Perhimpunan Bersih 2011.

1 Mei 2015

Sekretariat ‘Kita Lawan’ terdiri daripada parti politik, NGO, golongan profesional dan mahasiswa berhimpun bagi membantah pelaksanaan cukai barangan dan perkhidmatan (GST).

29 Ogos hingga 30 Ogos 2015

Perhimpunan selama 34 jam bermula jam 2 petang, 29 Ogos dan berakhir pada 11.59 malam, 30 Ogos dianjurkan Bersih. Perhimpunan menuntut reformasi dalam pilihan raya, kerajaan bebas daripada rasuah selain menuntut hak membantah dan menyelamatkan ekonomi Malaysia.

19 November 2016

Perhimpunan Bersih 5, Gerakan Baju Merah dan kumpulan lain di beberapa lokasi di ibu negara.

18 Februari 2017

Himpunan Rang Undang-undang 355 (RUU 355) dihadiri kira-kira 20,000 peserta berlangsung di Padang Merbok selama lebih sembilan jam, iaitu bermula 2 petang dan berakhir kira-kira jam 11.15 malam.

8 Disember 2018

Sekretariat Pembela Ummah (Ummah) bersama-sama beberapa NGO menghimpunkan umat Islam bagi menolak Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD) di Dataran Merdeka.

31 Julai 2021

Hampir 400 peserta perhimpunan Keluar dan #Lawan berhimpun berhampiran Dataran Merdeka. Himpunan dianjurkan Sekretariat Soladiriti Rakyat bagi meluahkan ketidakpuashatian terhadap kerajaan.

23 Julai 2022

100 orang menyertai Himpunan Turun Harga Barang di hadapan sebuah pusat beli-belah di Jalan Tuanku Abdul Rahman bagi menyatakan protes terhadap harga barang yang semakin meningkat.

Klik di sini untuk terus membaca