SHAH ALAM - Keterangan secara terbuka isu melepas tanpa membebaskan (DNAA) Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi adalah satu kaedah dalam memberi penjelasan secara terus dan telus kepada rakyat. Pensyarah Kanan Pusat... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Keterangan secara terbuka isu melepas tanpa membebaskan (DNAA) Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi adalah satu kaedah dalam memberi penjelasan secara terus dan telus kepada rakyat.

Pensyarah Kanan Pusat Kajian Media dan Komunikasi, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan di Universiti Kebangsaan Malaysia, Profesor Madya Dr Wan Amizah Wan Mahmud berkata, melalui tindakan itu, rakyat boleh mengetahui sendiri isu tersebut daripada pihak Peguam Negara.

Bagaimanapun katanya, masyarakat perlu sedar tidak semua perkara boleh didedahkan kepada umum, khususnya rahsia sulit kerajaan.

"Dalam kes Ahmad Zahid, media menjadi penghubung tetapi saya bimbang proses kehakiman boleh terhakis berikutan seruan pihak eksekutif.

"Pada masa sama, saya tidak pasti siaran langsung boleh memberi jawapan yang memuaskan hati semua pihak.

"Kalau diikutkan DNAA tidak bererti Ahmad Zahid bebas secara mutlak, sekiranya ada bukti baharu, beliau masih boleh disabitkan semula,” ujarnya ketika dihubungi Sinar Harian pada Khamis.

Wan Amizah
Wan Amizah
Wan Amizah
Wan Amizah

Akhbar ini turut melaporkan, Jawatankuasa Hak Asasi Manusia, Pilihan Raya dan Reformasi Institusi akan memanggil bekas Peguam Negara, Tan Sri Idrus Harun dan Peguam Negara yang baharu, Datuk Ahmad Terrirudin Mohd Salleh untuk memberi penjelasan susulan perkara berkenaan.

Oleh sebab itu, Ahli Parlimen Gombak, Datuk Seri Amirudin Shari telah mencadangkan agar prosiding penjelasan berkaitan keputusan DNAA Ahmad Zahid terhadap 47 pertuduhan skandal Yayasan Akal Budi wajar disiarkan secara langsung.

Sementara itu, penganalisis keselamatan dan politik dari Pusat Pengajian Perang Saraf Media dan Informasi Universiti Teknologi Mara, Dr Noor Nirwandy Mat Noordin berkata, institusi kehakiman negara bukan sahaja perlu dipelihara, malah diyakini oleh rakyat Malaysia.

Tegasnya, apabila perkara itu mula dibincangkan secara terbuka, ia akan menimbulkan pelbagai persepsi sedangkan sistem kehakiman negara perlu dilihat sebagai satu benda yang mempunyai nilai tinggi.

"Sudah tentu dalam media sosial, setiap orang bebas untuk memberi pandangan. Namun dalam sesetengah perkara, ia tidak boleh berlaku terutama melibatkan kepentingan negara.

"Perkara itu perlu ada batas dan had. Tidak boleh sewenang-wenangnya dibincangkan secara terbuka kerana menjadi tanggungjawab kita sebagai rakyat untuk menghormati sistem kehakiman negara,” jelasnya.

Klik di sini untuk terus membaca