MEXICO CITY - "Kita tidak bersendirian di alam semesta ini."
Kenyataan itu dibuat ketika sidang luar biasa tentang kewujudan makhluk asing di Kongres Mexico yang mengundang pelbagai reaksi di seluruh dunia terutamanya komuniti teori konspirasi objek terbang tidak dapat dikenal pasti (UFO).
Ketika sidang pertama tersebut, dua artifak yang didakwa sebagai jasad makhluk asing oleh penyiasat fenomena UFO dari planet lain, Jaime Maussan.
"Kedua-duanya jelas bukan manusia. Kami tidak mahu menggelar ia sebagai makhluk asing kerana ia tidak dapat disahkan," ujar Maussan ketika memberi penerangan kepada ahli Kongres dan turut mendapat sokongan anggota parti pemerintah, Sergio Gutierrez yang menyifatkan sesi itu sebagai 'kepentingan awam'.
Menurutnya, ia adalah kali pertama bukti sedemikian dipaparkan kepada umum.
"Ia membuka peluang kepada mana-mana institusi saintifik untuk menjalankan penyelidikan," tambahnya.
Maussan turut memetik analisis pentarikhan karbon oleh National Autonomous University (UNAM) di Mexico yang mendapati makhluk tersebut dipercayai berusia kira-kira 1,000 tahun.
Institut fizik universiti itu dikatakan telah menjalankan ujian untuk menentukan usianya dan bukan asal-usul spesimen tersebut yang kelihatan seperti watak makhluk asing sering dipaparkan dalam filem sains fiksyen.
"Makmal kami enggan mengeluarkan laporan yang boleh disalah tafsir mana-mana pihak," kata UNAM dalam satu kenyataan.
Difahamkan, penemuan 'mumia kecil' tersebut yang berwarna kelabu, mempunyai tiga jari dan ciri wajah serupa dengan manusia serta berkepala lonjong dibuat di Cusco, Peru pada 2017.
Sementara itu, Gutierrez memberitahu sesi tersebut diadakan atas permintaan Maussan selepas Jawatankuasa Kongres Amerika Syarikat (AS) pada Julai lalu dimaklumkan oleh bekas pegawai risikan Tentera Udara kononnya manusia tidak berseorangan dan pihak berkuasa di Washington cuba menyembunyikan bukti berkaitan sejak 1930-an.
Jadi bahan ejekan
Sejak beberapa tahun lalu, Parti Demokrat dan Republikan juga menggesa lebih banyak kajian dibuat tentang perkara tersebut atas alasan kebimbangan keselamatan negara.
Pembentangan itu turut menjadi bahan jenaka pengguna media sosial yang mengaitkannya dengan watak makhluk asing dalam filem ET.
"Ia menunjukkan satu penghinaan kepada bidang sains," ujar salah seorang pengguna di platform X.
Sejumlah yang lain juga meninggalkan komen yang mempersendakan penemuan tersebut dan mencadangkan Maussan dilantik sebagai 'presiden antara galaksi'.
Penyelidik di Institut Astronomi UNAM, Julieta Fierro antara yang ragu-ragu dengan penemuan tersebut.
"Banyak butiran yang ditunjukkan tidak masuk akal. Dakwaan pihak kami sudah membuat pengesahan adalah palsu.
"Saintis memerlukan teknologi lebih maju daripada sinar X yang digunakan mereka untuk menentukan makhluk itu bukan manusia. Maussan sengaja buat kecoh seperti sebelum ini," jelasnya sambil menambah agak pelik kerana mereka mengambil 'khazanah negara' dari Peru tanpa menjemput duta negara Amerika Selatan itu. - Agensi
Info
- Maussan ditemani bekas juruterbang AS, Ryan Graves dan Profesor Avi Loeb dari Harvard University ketika membuat pembentangan kepada Kongres Mexico.
- Wartawan yang menggelarkan dirinya sebagai 'ahli ufologi' itu juga menjelaskan spesimen itu bukan ditemui di dalam bangkai UFO sebaliknya di sebuah lombong purba. Perbandingan yang dibuat dengan sampel DNA lain mendapati lebih 30 peratus DNA spesimen itu 'tidak diketahui'.
- Laporan sinar X spesimen itu turut ditunjukkan kepada sidang berkenaan. Ia mendakwa salah satu daripada mumia itu mempunyai 'telur'. Kedua-duanya mempunyai implan diperbuat daripada logam jarang ditemui iaitu osmium.
- Sebelum ini, makhluk serupa yang pernah ditemui pada tahun sama disahkan sebagai mumia kanak-kanak oleh laporan pejabat pendakwa raya.
Klik di sini untuk terus membaca