KEBELAKANGAN ini mungkin ramai menerima WhatsApp, sistem pesanan ringkas (SMS) atau e-mel yang menawarkan peluang pekerjaan dengan gaji lumayan. Seorang sahabat penulis tidak terkecuali. Dia menerima e-mel daripada seseorang bernama Datuk... Klik di sini untuk terus membaca

KEBELAKANGAN ini mungkin ramai menerima WhatsApp, sistem pesanan ringkas (SMS) atau e-mel yang menawarkan peluang pekerjaan dengan gaji lumayan.

Seorang sahabat penulis tidak terkecuali. Dia menerima e-mel daripada seseorang bernama Datuk Seri SM Zulkifli. Kandungan e-mel itu menyatakan SM Zulkifli ingin bertemu untuk tawaran bekerja dengan gaji sangat lumayan.

Namun, sahabat penulis perlu memberi butiran peribadi termasuk nombor pengenalan dan akaun bank.

Dengan latar belakang pernah menjadi wartawan jenayah, sahabat penulis kemudian mendapati e-mel tersebut dihantar oleh scammer terancang.

Ada juga menerima WhatsApp daripada wanita menyamar pengurus jabatan sumber manusia syarikat ternama yang menawarkan pekerjaan, juga dengan gaji lumayan.

Mangsa akan diminta hadiri temu duga dengan kos perbelanjaan ditaja tetapi perlu beri beberapa data penting termasuk nombor akaun.

Senario itu membuatkan penulis tertanya-tanya mudahnya scammer memperoleh nombor telefon bimbit seseorang.

Paling menarik minggu ini, wartawan BBC News, Emma Woollacott turut melaporkan taktik scammer yang menyasarkan penipuan terancang melibatkan pencari pekerjaan menerusi dalam talian.

Woollacott menyebut rakannya, Margo Gabriel menerima tawaran bekerja menerusi aplikasi Linkedln daripada lelaki mendakwa dirinya ejen pekerjaan sebuah syarikat berpangkalan di Britain.

Bagaimanapun, Gabriel berasakan ada unsur penipuan dalam tawaran itu kerana lelaki berkenaan sentiasa merahsiakan maklumat lengkap tentang butiran pekerjaan.

Berasakan diri bakal tertipu, Gabriel menghubungi Linkedln yang kemudian memintanya segera menghentikan komunikasi dengan lelaki tersebut.

Linkedln melaporkan ia menjadi sasaran utama scammer siber kerana lebih 100 permohonan pekerjaan didaftar setiap saat menerusi aplikasi sosial media itu.

Sebuah firma keselamatan Britain, Nordlayer mendakwa hampir 75 peratus pengguna Linkedln di negara itu jadi sasaran scammer.

Penulis mendapati iklan pekerjaan palsu berleluasa dalam aplikasi LinkedIn.

Diharap pihak berkuasa di negara ini segera mencari jalan mengekang kegiatan scammer sebelum ia menjadi barah kritikal di Malaysia.

Pusat Aduan Jenayah Internet FBI atau FBI Internet Crime Complaint Center (IC3) melaporkan 2.4 juta kecurian identiti pada 2021dengan kerugian lebih RM154 bilion.

Sebanyak 264,000 laporan melibatkan penipuan pekerjaan dengan kerugian lebih RM1.3 bilion.

Dalam tempoh dua suku pertama 2023, kes penipuan pekerjaan meningkat kepada 298,000 dengan kerugian RM6.1 bilion.

Kerugian dianggar meningkat lebih RM12 bilion sehingga akhir tahun ini.

Pada masa sama, IC3 mengaku tidak berupaya menjejaki scammer yang aktif dalam penipuan tawaran pekerjaan.

Scammer kini menggunakan pelbagai kaedah teknologi canggih untuk mengaut keuntungan.

Segera ambil tindakan proaktif jika menerima tawaran pekerjaan dengan gaji sangat lumayan.

Apatah lagi, jika ia melibatkan tawaran bekerja di luar negara dan disediakan bantuan kewangan.

Syarat untuk penerimaan bantuan kewangan, mangsa perlu memberikan nombor akaun bank.

Penulis percaya strategi penipuan pekerjaan ketika ini sangat canggih dan amat meyakinkan mangsa.

Justeru, penulis mencadangkan beberapa ‘bendera merah’ untuk menghalang penipuan.

Hubungi syarikat yang menawarkan jawatan bagi tujuan pengesahan. Jangan beri nombor akaun jika ditawarkan bantuan kewangan untuk menghadiri temu duga. Kaedah itu jarang diamalkan oleh syarikat besar.

Mangsa boleh hubungi bahagian sumber manusia syarikat yang menawarkan peluang pekerjaan itu bagi mengelak menjadi mangsa scammer.

Jika berasakan sudah menjadi mangsa, buat aduan kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) atau IC3.

Kesimpulannya, ambil sikap berwaspada dengan tawaran pekerjaan dengan gaji lumayan di luar negara. Elak jadi mangsa penipuan scammer yang sentiasa menangguk di air keruh!

* Dr Ir Muhidin Arifin ialah Ketua Pegawai Operasi Pusat Pembangunan Kemahiran Teknikal Selangor (STDC)

Klik di sini untuk terus membaca