SHAH ALAM - Cadangan wakil rakyat kerajaan supaya gaji minimum dinaikkan kepada RM2,000 pada 2030 bagi merealisasikan hasrat menaikkan upah bulanan median daripada RM2,600 kepada RM4,510 di negara ini dilihat agak kurang realistik kerana... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Cadangan wakil rakyat kerajaan supaya gaji minimum dinaikkan kepada RM2,000 pada 2030 bagi merealisasikan hasrat menaikkan upah bulanan median daripada RM2,600 kepada RM4,510 di negara ini dilihat agak kurang realistik kerana terlalu tinggi.

Pakar ekonomi, Dr Nungsari Ahmad Radhi berkata, kenaikan upah atau kos sepatutnya perlu berkadaran dengan pertumbuhan ekonomi.

"Kalau mahu naikkan upah bulanan median RM2,600 kepada RM4,510 dalam tempoh tujuh tahun, ini bermakna kenaikan tahunannya dalam lapan peratus.

"Bolehkah ekonomi tumbuh pada kadar itu dalam masa tujuh tahun akan datang? Ia agak tinggi atau optimistik.

"Bagi saya kalau upah bulanan median yang realistik adalah antara RM3,500 hingga RM4,000,” katanya kepada Sinar Harian pada Khamis.

Ahli Parlimen Bagan, Lim Guan Eng pada Rabu dilaporkan mengesyorkan supaya gaji minimum dinaikkan kepada RM2,000 pada 2030.

Beliau berkata, cadangan itu antara lain mampu muncul sebagai strategi keluar daripada perangkap pendapatan sederhana, mengangkat golongan B40 serta memartabatkan kumpulan M40 serta menghapuskan kemiskinan tegar.

Mengulas lanjut, Nungsari memberitahu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam kerangka Ekonomi Madani menyasarkan untuk menaikkan panggu (bahagian) upah kepada 45 peratus jumlah pendapatan dalam tempoh 10 tahun sebagai usaha menaikkan tahap upah dan pendapatan keseluruhannya.

Ujarnya, satu cara menggunakan perundangan ialah dengan menaikkan gaji minimum dan ia boleh dilaksanakan dengan berjadual tertakluk kepada pertumbuhan ekonomi sebenar supaya firma dapat menyesuaikan dengan peningkatan kos.

"Jika tidak firma akan naikkan harga kepada pengguna juga. Tetapi menaikkan upah minimum adalah terhad kesannya.

"Bagi saya langkah pertama (perlu dibuat) ialah mengenakan peraturan buruh sepenuhnya kepada pekerja asing supaya kos buruh atau upah pekerja asing dan pekerja tempatan pada tahap kemahiran yang sama, adalah sama. Cuti, faedah kesihatan dan sebagainya adalah sama,” ulasnya.

Menurut beliau, kerajaan juga boleh mengenakan levi yang berlainan bergantung kepada industri di mana bagi pihak industri yang mahu dinaikkan produktiviti dan memerlukan peningkatan pelaburan dan kos buruh wajar dikenakan levi lebih tinggi.

"Perubahan gaji ini adalah sebahagian daripada penstrukturan semula industri serta ekonomi negara dan perlu terancang. Institusi latihan dan pendidikan juga perlu tingkatkan kualiti dan keberkesanan bagi memenuhi permintaan industri,” tambahnya.

Tegasnya, apa yang penting firma atau sektor perniagaan di Malaysia termasuk perusahaan kecil dan sederhana (PKS) perlu berdaya saing di luar negara termasuklah dengan menjual produk atau perkhidmatan kepada pelanggan yang lebih tinggi pendapatan mereka.

Klik di sini untuk terus membaca