SHAH ALAM - Kerajaan digesa mewujudkan undang-undang berkaitan kesalahan mengemukakan sijil palsu dalam apa-apa tujuan bagi melindungi reputasi dan imej individu yang memiliki sijil tulen. Profesor Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Kerajaan digesa mewujudkan undang-undang berkaitan kesalahan mengemukakan sijil palsu dalam apa-apa tujuan bagi melindungi reputasi dan imej individu yang memiliki sijil tulen.

Profesor Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media Universiti Teknologi Mara (UiTM), Profesor Datuk Dr Ismail Sualman berkata, isu mengemukakan sijil palsu bukan perkara baharu sebaliknya sering kali timbul sewaktu menjelangnya pilihan raya.

Menurutnya, individu yang melakukan kesalahan tersebut perlu berhadapan dengan hukuman setimpal seperti nama disenarai hitam daripada menyertai mana-mana organisasi.

"Disebabkan negara tidak mempunyai undang-undang khusus, ramai pihak mengambil kesempatan dengan menyenaraikan pencapaian yang tidak tulen kerana mahu membuka mata pihak tertentu.

"Tindakan mengemukakan sijil palsu itu secara tidak langsung menunjukkan bahawa mereka merupakan seorang yang tidak berintegriti dan bertanggungjawab,” katanya ketika dihubungi pemberita pada Khamis.

Sebelum ini, seorang peserta program Felo Perdana tahun ini yang ditempatkan di Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) akan ditamatkan penglibatannya dalam program itu kerana mengemukakan sijil tidak tulen.

Menurut Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dalam kenyataan, pelajar universiti awam di ibu negara itu telah menyenaraikan beberapa pencapaian semasa permohonan program berkenaan, namun semakan lanjut mendapati sijil yang dikemukakan bagi satu pencapaian yang disenaraikan adalah tidak tulen.

Mengulas lanjut, beliau berkata, adalah penting untuk kementerian terlibat melakukan penelitian terperinci setiap penyertaan bagi memastikan segala pencapaian dan sijil yang dikemukakan itu benar.

"Proses pemilihan itu perlu dibuat secara telus. Mungkin selepas peserta menghantar borang permohonan, pihak urusetia perlu meneliti terlebih dahulu maklumat yang diberikan sama ada ia benar atau sebaliknya sebelum mengesahkan penyertaan mereka.

"Bukan itu sahaja, pihak penganjur juga perlu tegas terhadap syarat penyertaan. Bagi mana-mana peserta yang mengemukakan maklumat palsu, penyertaan tersebut akan dibatalkan dan paling penting hukuman juga akan diberikan,” katanya.

Jelas Ismail, kerajaan perlu segera mewujudkan undang-undang khusus berkaitan pemalsuan sijil palsu agar individu yang terlibat berasa gerun untuk melakukan kesalahan tersebut kerana takut untuk berhadapan dengan hukuman.

Klik di sini untuk terus membaca