SEMPENA mengingati peristiwa Penubuhan Persekutuan Malaysia pada tanggal 16 September 1963, Sinar Premium menampilkan dua penyambung legasi tokoh terulung negara iaitu cucu kepada Perdana Menteri pertama, Almarhum Tunku Abdul Rahman Putra... Klik di sini untuk terus membaca

SEMPENA mengingati peristiwa Penubuhan Persekutuan Malaysia pada tanggal 16 September 1963, Sinar Premium menampilkan dua penyambung legasi tokoh terulung negara iaitu cucu kepada Perdana Menteri pertama, Almarhum Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj serta anak sulung Timbalan Perdana Menteri kedua, Allahyarham Tun Dr Ismail Abdul Rahman.

Tunku Muinuddin Putra Ahmad Nerang yang merupakan satu-satunya cucu lelaki kepada Bapa Kemerdekaan tanah air itu berbesar hati untuk berkongsi cerita di sebalik wajah insan yang telah banyak berjasa akan negara serta pengalamannya sebagai waris kepada Tunku Abdul Rahman.

Dalam pada itu, anak sulung kepada Dr Ismail, Mohamed Tawfik turut berkongsi kisah suka-duka ayahnya dalam menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara harmoni yang berbilang kaum dan perjuangannya demi memastikan legasi ayahnya sebagai tunjang perpaduan negara sentiasa diingati.

-------

Sebut sahaja tentang kemerdekaan, tokoh atau figura pertama tersemat di hati rakyat pastinya insan yang melontarkan laungan keramat ‘Merdeka’ sebanyak tujuh kali di Stadium Merdeka pada 66 tahun lalu.

Tunku Muinuddin (berdiri, dua dari kanan) bersama keluarga pada tahun 2023.

Peristiwa bersejarah itu telah menyumbang kepada penubuhan Malaysia yang terdiri daripada negeri-negeri Semenanjung Malaysia, Sabah, Sarawak dan Singapura pada tanggal 16 September 1963 sebelum negara republik itu dipisahkan dari Malaysia pada tahun 1965.

Bak kata pepatah, ‘harimau mati meninggalkan belang, manusia mati meninggalkan nama’, jasa dan pengorbanan Perdana Menteri pertama, Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj sebagai individu penting membebaskan negara untuk mencapai kemerdekaan tidak mungkin dapat dipadamkan dari ingatan rakyat Malaysia.

Kita sebagai rakyat biasa yang sering mendengar sejarah tentang Bapa Kemerdekaan tanah air melalui buku teks sekolah sahaja sudah bangga mempunyai tokoh sehebat Tunku Abdul Rahman apatah lagi waris pemimpin terulung itu.

Sebagai cucu tunggal lelaki, Tunku Muinuddin Putra Ahmad Nerang, 60, sentiasa menjadikan datuknya yang digelar ‘Tok’ sebagai sumber inspirasi terbesar dalam hidup.

Lebih menarik, nama unik Tunku Muinuddin turut diberi oleh Tunku Abdul Rahman sendiri yang ketika itu sangat teruja akan kelahiran waris lelaki setelah sekian lama dinanti-nantikan.

"Nama saya diberi oleh Tunku sendiri sewaktu ibu disahkan hamil pada 1962. Beliau mendapat inspirasi nama tersebut ketika melawat makam Moinuddin Chishti, seorang ulama Islam di Agra, Delhi, India.

"Malam itu, beliau bermimpi mendapat seorang cucu lelaki setelah lahirnya tiga orang cucu perempuan sebelum saya. Maka, terciptalah nama ‘Muinuddin’ yang saya gunakan sehingga kini,” katanya kepada Sinar Premium.

Sebagai satu-satunya cucu lelaki, Tunku Muinuddin yang juga Naib Presiden, Parti Ikatan Bangsa Malaysia (Ikatan) rapat dengan datuk yang sering menitipkan kata-kata pemangkin buat dirinya dan keluarga.

"Pada tahun 1987 juga, Tok telah membina empat buah rumah kecil di Jalan Tunku untuk keluarga yang mana salah satu daripadanya telah dikhaskan buat saya.

"Setiap kali Tok singgah di Kuala Lumpur dari Pulau Pinang, saya tidak akan melepaskan peluang untuk meluangkan masa bersamanya menonton televisyen, makan dan bersembang,” ujarnya.

Biarpun nama Tunku Muinuddin tidak begitu gah di dunia politik, beliau masih mengikut jejak langkah datuknya walaupun berdepan dengan cabaran politik yang rumit pada zaman kini.

Tunku Muinuddin semasa Majlis Penyerahan Surat Terima Kasih daripada Allahyarham kepada pembina makam Mahsuri di Kota Mahsuri, Langkawi.

"Saya terlibat dalam politik dengan parti Ikatan sebagai Naib Presiden. Pertubuhan ini merupakan parti kecil yang masih kurang pengaruh atau mempunyai kewangan stabil untuk bertanding di pilihan raya,” katanya.

"Pada saya, sekiranya Tunku masih hidup, mungkin beliau tidak akan terlibat dengan politik semasa. Era politik kini mencabar dan berbeza dengan cara pemikiran beliau mahupun saya sendiri,” katanya.

ALMARHUM TEGAS TAPI PENYAYANG

Berkongsi tentang sifat sebenar figura yang paling berpengaruh di Malaysia, Tunku Muinuddin berkata, Almarhum seorang yang penyayang dari sisi keluarga biarpun tegas dari segi kerja.

"Ramai anak angkat telah dibesarkan seperti anak sendiri bahkan Tunku turut bawa mereka ke Jeddah semasa dilantik menjadi pengasas dan Setiausaha Agung pertama bagi Organisation of Islamic Country (OIC).

"Tunku seorang yang tegas dari segi kerja namun pandai mengambil hati kawan-kawan politiknya. Disebabkan itu, Tunku berjaya memenangi hati orang ramai dalam mendapat sokongan untuk kemerdekaan,” katanya.

Mengimbau saat laungan ‘Merdeka’ bergema di seluruh stadium, Tunku Muinuddin berkata, segala titik peluh pengorbanan datuknya mengalir selari dengan air mata kegembiraan apabila tanah air berjaya mencapai kemerdekaan.

Pasti ramai tertanya-tanya bagaimana Tunku Abdul Rahman berjaya memenangi kepercayaan sembilan Raja-Raja Melayu untuk melepaskan kuasa kepada rakyat demi menubuhkan sebuah negara baharu yang Merdeka dan berdemokrasi mengikut sistem Parlimen Britain.

Bersempena hari ulang tahun Persatuan Komanwel Diraja (RCS) yang ke 60, Bilik Tunku (Tunku's room) telah dibuka pada 13 Mac 2023 oleh Tunku Muinuddin Putra. (Kanan: Tunku Muinuddin bersama gambar Almarhum datuknya, Tunku Abdul Rahman.

Tunku Muinuddin tidak menafikan bahawa talian darah daripada kerabat diraja yang diwarisi datuknya menyebabkan beliau mudah untuk mendekati dan berkomunikasi dengan Raja-Raja Melayu pada masa itu.

"Bukan mudah untuk memenangi hati raja yang ketika itu mempunyai kuasa mutlak terhadap negara di samping menyakini pihak British untuk mencapai kemerdekaan.

"Hanya Tunku seorang yang mampu memujuk dan meyakinkan semua pihak tanpa mengucar-ngacirkan keadaan. Itulah kehebatan beliau yang mungkin tidak ada pada orang lain,” katanya.

BIODATA

Nama penuh: Tunku Muinuddin Putra

Umur: 60

Asal: Alor Setar

Pendidikan:

Pengajian Siswazah dalam Pentadbiran perniagaan daripada University of Central Lancashire, Amerika Syarikat.

Pekerjaan dan jawatan terkini:

Pengarah syarikat sebuah pengurusan hotel di Langkawi.

Penglibatan dalam politik:

Naib Presiden Parti Ikatan Bangsa Malaysia (Ikatan).

Keluarga:

Nama isteri: Nicola Tiong

Nama adik beradik:

1.Tengku Rozani, 62

2. Tengku Norin, 59

3. Tengku Soraya, 54

4. Tengku Munawirah, 51

Klik di sini untuk terus membaca