SUDAH lima kali perhimpunan terbesar motosikal jenis Yamaha RXZ diadakan di Kuala Terengganu. Ia dijalankan penuh meriah melibatkan peserta dari seluruh negara dengan pelbagai aktiviti menarik. Model RXZ merupakan sebuah motosikal kegilaan... Klik di sini untuk terus membaca

SUDAH lima kali perhimpunan terbesar motosikal jenis Yamaha RXZ diadakan di Kuala Terengganu. Ia dijalankan penuh meriah melibatkan peserta dari seluruh negara dengan pelbagai aktiviti menarik.

Model RXZ merupakan sebuah motosikal kegilaan remaja ketika ia mula dikeluarkan pada 1985. Sejak beberapa tahun ini, ia popular kembali sehingga motosikal yang dahulunya cuma berharga RM8,500 iaitu 38 tahun yang lalu ditamatkan pengeluaran pada 2011.

Dalam satu laporan akhbar pada 2021, tular di media sosial seorang pemuda mengiklankan motosikal model tersebut dalam keadaan 90 peratus New Old Stock (NOS) dengan harga mencecah RM62,000.

Berbalik kepada perhimpunan RXZ yang berlaku di Terengganu, ada kisah yang meninggalkan memori indah, namun umum mengetahui ada tidak berapa baik.

Bak kata pepatah, dalam setandan pisang yang baik, pasti ada yang buruk. Ada segelintir pihak mengatakan mereka telah dizalimi oleh pihak berkuasa dan juga kerajaan kerana tergamak mengambil tindakan undang-undang bagi menangkap serta menahan peserta perhimpunan tersebut.

Tuduhan demi tuduhan dibuat, sedangkan realiti sebenarnya pihak polis mengambil tindakan kerana ada aduan orang ramai tentang gelagat sebahagian daripada mereka.

Tidak kurang juga yang datang dengan menunggang motosikal tanpa cukai jalan dan insurans serta tidak mengikut spesifikasi yang betul, malah ada yang tak ada lesen pun.

Selepas seminggu, timbul satu lagi kisah melibatkan penunggang motosikal dan kali ini seorang penghantar makanan yang telah disita kenderaan miliknya kerana tiada cukai jalan dan insurans. Sekali lagi dunia siber bergegar semula dengan kritikan yang mengatakan pihak berkuasa bertindak zalim kerana menyekat lelaki itu untuk mencari rezeki.

Terbaharu, tindakan pihak berkuasa menyita motosikal yang diletakkan di kawasan larangan di Jalan Ampang turut mengundang kecaman netizen.

Walaupun sebenarnya tidak perlulah diperbesarkan perkara seperti itu tetapi hingar bingar di alam maya seperti memberikan satu mesej kepada kita semua bahawa undang-undang di negara ini adalah yang zalim di dunia.

Ramai lupa bahawa negara yang tidak ada undang-undang sebenarnya adalah negara yang gagal, jenayah tinggi, terlibat peperangan dan ekonominya mundur. Malaysia bukan negara yang gagal. Kita bukan sahaja hidup aman dan damai, malah ekonomi juga kembali mekar seperti dahulu.

Dengan mengatakan tindakan pihak berkuasa sebagai zalim dengan sebarang tindakan penguatkuasaan undang-undang adalah satu daripada perbuatan untuk menormalisasikan jenayah. Ia bermaksud pihak yang melanggar undang-undang tidak wajar diambil tindakan dan pihak berkuasa pula sekadar menggunakan budi bicara. Inilah pemikiran songsang dan bahaya yang ada dalam segelintir masyarakat.

Kita yakin, budi bicara pihak berkuasa sentiasa ada dan wujud tetapi pada masa sama, mereka juga perlu bertindak tegas. Wujudnya undang-undang bukan sekadar untuk menghukum tetapi ia juga bersifat menyelamatkan dan melindungi rakyat daripada mudarat lebih besar.

Menurut satu laporan akhbar pada tahun lalu, Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Bukit Aman, Datuk Mat Kasim Kari berkata, hampir 300 kemalangan motosikal berlaku setiap hari di negara ini bagi tempoh tiga tahun sejak 2019.

Bayangkan jika polis tidak bertegas dan ambil tindakan, mungkin lebih daripada angka tersebut akan berlaku pada setiap hari. Jadi, marilah kita sama-sama merasionalkan semula pemikiran kita semua supaya melihat bahawa undang-undang berkaitan kesalahan jalan raya sebagai sesuatu yang serius dan penting untuk kita semua.

Apabila memegang stereng atau hendal, beringatlah bahawa keselamatan diri sendiri dan orang lain perlu sentiasa jadi keutamaan. Kalau kita tidak patuhi peraturan jalan raya, mungkin nyawa kita boleh melayang dan orang lain terbunuh.

* Junhairi Alyasa ialah Pengarang Berita Sinar Harian

Klik di sini untuk terus membaca