NAMA negarawan, Allahyarham Tun Dr Ismail Abdul Rahman sering diambil sempena memperingati jasa beliau sebagai seorang doktor dan tokoh politik yang banyak berjasa kepada tanah air. Antaranya adalah perumahan suburban popular iaitu Taman... Klik di sini untuk terus membaca

NAMA negarawan, Allahyarham Tun Dr Ismail Abdul Rahman sering diambil sempena memperingati jasa beliau sebagai seorang doktor dan tokoh politik yang banyak berjasa kepada tanah air.

Antaranya adalah perumahan suburban popular iaitu Taman Tun Dr Ismail atau lebih dikenali sebagai TTDI dan beberapa nama institusi pendidikan di ibu negara antaranya Kolej Tun Dr Ismail, Tun Dr Ismail International School, Sekolah Kebangsaan Taman Tun Dr Ismail Jaya, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Taman Tun Dr Ismail Jaya, SMK Tun Dr Ismail serta Sekolah Agama Tun Dr Ismail.

Demi memastikan legasi Dr Ismail sebagai tunjang perpaduan negara sentiasa diingati, anak sulung kepada Timbalan Perdana Menteri kedua negara itu, Mohamed Tawfik, 72, sentiasa berkongsi tentang suka-duka perjuangan Allahyarham dalam menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara yang menjaga hubungan harmoni antara kaum.

Mohamed Tawfik
Mohamed Tawfik

Mengimbau kembali kenangan bersama ayahanda selama 21 tahun, Mohamed Tawfik berkongsi, Dr Ismail seorang yang suka menitipkan kata-kata nasihat dan semangat buatnya.

Menurutnya, menjadi anak kepada tokoh negarawan tersohor itu merupakan suatu anugerah namun ia juga salah satu tanggungjawab besar dalam menjaga nama dan reputasi Dr Ismail.

"Ketika itu, beliau banyak memberi nasihat hidup dalam pelajaran dan pengurusan diri. Salah satu pesanan ayah yang saya masih ingat sehingga kini ialah tidak berdendam atau dengki pada sesiapa sahaja dan sentiasa menjaga nama baik keluarga,” katanya kepada Sinar Premium.

Turut mengikuti jejak langkah ayah dalam politik, Mohamed Tawfik yang juga pengasas bersama kumpulan reformasi politik, Gerak Independent berkata, beliau sudah menanam minat dan diberi pendedahan tentang dunia politik sejak kecil.

Tidak kurang hebat, Mohamed Tawfik yang juga bekas Naib Ketua Bahagian UMNO Sungai Benut selama 28 tahun pernah diangkat sebagai Ahli Parlimen Sungai Benut pada tahun 1986.

Pada Pilihan Raya Umum ke-15 lalu, Mohamed Tawfik turut bertanding, namun tewas menentang Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi di Bagan Datuk.

"Ia bermula apabila ayah membawa saya dan dua orang adik ke luar negara semasa beliau dilantik sebagai Duta Malaysia ke Amerika Syarikat serta wakil kepada Persatuan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

"Ayah juga akan membawa anaknya ikut berkempen di Muar dan pengalaman itu telah memberi banyak pendedahan politik kepada saya. Biarpun penat mengikuti perjalanan ayah menaiki feri yang memakan masa berjam lamanya, ia merupakan suatu peristiwa yang sentiasa tersemat di hati saya,” ujarnya.

Sebagai seorang pemimpin yang jelas menunjukkan keunggulan seorang negarawan berdedikasi untuk perpaduan dan kemajuan Malaysia, Dr Ismail cukup dikenali sebagai seorang yang tegas baik dari segi keluarga mahupun kerja.

Mohamed Tawfik berkata, dalam ketegasan yang beliau pamerkan sebagai seorang pemimpin yang berwibawa, Dr Ismail juga terserlah dengan sifat prihatin terhadap orang di sekelilingnya.

"Beliau seorang yang bertimbang rasa dengan pekerja bawahannya. Sekiranya berlaku kecemasan atau kematian ahli keluarga, ayah sentiasa mengambil berat dan membantu mereka.

"Saya membesar dengan didikan seperti itu dan berharap dapat mengikut jejak langkah ayah. Harapan saya ialah untuk memberi didikan kepada anak-anak sama seperti yang beliau lakukan kepada saya,” luahnya.

HERI MALAYSIA

Mohamed Tawfik berkongsi, biarpun terlalu banyak jasa dan pengorbanan Dr Ismail dalam memacu pembangunan negara, antara perkara paling dibanggakan sepanjang khidmatnya ialah perpaduan antara kaum yang berjaya dicapai selepas peristiwa 13 Mei.

"Ayah sangat bangga apabila orang Melayu akhirnya dapat membuka hati dan memberi ruang kepada bangsa lain untuk hidup bersama dalam harmoni. Ini kerana cabaran terbesar beliau adalah mencari jalan bagaimana mendamaikan kaum-kaum yang ada di negara kita.

"Dr Ismail berusaha untuk menenangkan perasaan orang Melayu dan pada masa yang sama cuba untuk meyakinkan bangsa lain bahawa mereka juga mempunyai masa depan di negara ini.

"Selepas insiden 13 Mei 1969, Dr Ismail telah digelar sebagai Hero Malaysia kerana peranan beliau mengembalikan keyakinan rakyat terhadap kerajaan Malaysia selepas pelantikannya sebagai Menteri Hal Ehwal Luar Negeri dan Timbalan Pengarah Majlis Gerakan Negara (Mageran),” katanya.

Sebagai sosok penting yang menggariskan lima prinsip Rukun Negara ketika Malaysia berhadapan peristiwa hitam 13 Mei, Allahyarham bersemangat untuk menyumbangkan bakti semula tanpa menghiraukan masalah kesihatannya.

Mohamed Tawfik (memakai baju Melayu oren) bersama ahli keluarganya pada tahun 2023.

Menurut Mohamed Tawfik, Perdana Menteri Malaysia kedua, Allahyarham Tun Abdul Razak Hussein telah memujuk Dr Ismail menganggotai Mageran berikutan perisytiharan Darurat 1969 sekali gus menjadi Penolong Pengarah dalam Majlis Perundingan Negara.

"Pada waktu itu, ayah simpan rahsia bahawa Tun Abdul Razak sedang sakit teruk. Beliau pula sangat mengharapkan kesediaan Dr Ismail yang tegas, jujur dan mempunyai pandangan jauh dalam mengambil alih tugasnya mentadbir negara sebagai Perdana Menteri.

"Malangnya, Dr Ismail meninggal dahulu sebelum Tun Abdul Razak dan segala apa dirancang oleh kedua-dua pemimpin itu akhirnya tidak kesampaian. Sebagai anak, saya terkilan namun itu semua ketentuan ALLAH SWT,” katanya.

Dalam pada itu, Mohamed Tawfik berkata, biarpun selepas 60 tahun penubuhan negara, isu perkauman yang sering tercetus ketika pilihan raya tidak patut dibangkitkan oleh mana-mana pihak demi menjaga kepentingan semua kaum.

"Sekiranya Dr Ismail masih hidup, mungkin beliau akan berasa sedih setiap kali isu perkauman dan agama dibangkitkan. Ini kerana ayah sentiasa menegaskan orang ramai untuk mengawal sensitiviti masyarakat dan menjaga pertuturan semasa menjadi menteri.

"Oleh itu, janganlah kita mensia-siakan perjuangan pemimpin terdahulu yang berusaha keras membentuk Malaysia pada hari ini,” ujarnya.

BIODATA DIRI:

Nama penuh: Mohamed Tawfik Ismail

Umur: 72

Asal: Johor Baru

Pendidikan:

1. Sekolah St John’s Kuala Lumpur

2. Maktab Tentera DiRaja

3. Geelong Grammar School, Australia

4. University of New England

5. University of Oxford

Penglibatan dalam politik:

Pengasas Pertubuhan Gerak Independent (2019)

Naib Ketua Bahagian UMNO Sungai Benut, (1981-2009)

Ahli Parlimen Sungai Benut (1986-1990)

Keluarga:

Nama isteri: Rubina binti Mustafa Kemal

Nama anak-anak berserta umur:

1. Anushirwan Al-Murtaza (40)

2. Mohamed Sayf Al-Rahman (36)

3. Mohamed Seth Al-Jauhar (33)

4.Mohamed Sulayman Abd Al-Rahman (30)

5. Alia Nabila (26)

Klik di sini untuk terus membaca