HARI Malaysia yang disambut setiap 16 September bagi memperingati sejarah penubuhan Malaysia sebagai sebuah persekutuan sudah pun mencapai usia 60 tahun hari ini. Sambutannya saban tahun mempunyai signifikan serupa dengan sambutan Hari... Klik di sini untuk terus membaca

HARI Malaysia yang disambut setiap 16 September bagi memperingati sejarah penubuhan Malaysia sebagai sebuah persekutuan sudah pun mencapai usia 60 tahun hari ini.

Sambutannya saban tahun mempunyai signifikan serupa dengan sambutan Hari Kebangsaan yang terus diraikan oleh seluruh warga tanpa mengira bangsa, agama dan wilayah.

Sambutan Hari Malaysia berperanan sebagai pengingat perjalanan negara ke arah harmoni silang budaya dan memainkan peranan penting mengukuhkan perasaan keterikatan, kebanggaan serta identiti dalam kalangan warga Malaysia beraneka ragam, unik dan tersendiri.

Bagi menyelami maksud Hari Malaysia, setiap warga perlu melihat maknanya dalam sejarah. Hakikatnya, membentuk Malaysia adalah lebih sukar daripada mencapai kemerdekaan.

Cabaran insurgensi komunis, tentangan serantau dari Filipina dan Indonesia sehinggalah campur tangan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) adalah sebahagian latar belakang sejarah pembentukan tersebut.

Pembentukan Malaysia membawa bersama wilayah-wilayah yang berbeza dalam sebuah negara berpersekutuan. Dengan semangat ‘Bersekutu Bertambah Mutu’ yang kemudiannya diangkat menjadi moto persekutuan di Jata Negara, ia menyuntik hasrat semua pihak yang melihat kemajuan dan kemakmuran hanya boleh dicapai melalui persekutuan, bukan sendiri berasingan.

Namun, prasyarat mencipta kemajuan dan kemakmuran bagi Malaysia yang rencam bergantung kepada dua unsur terpenting. Pertama, mempromosikan perpaduan dan toleransi antara kaum.

Kedua, membentuk dan memperkuatkan identiti kebangsaan. Tanpa dua unsur tersebut, Malaysia mungkin tidak mampu mencapai apa dinikmatinya hari ini.

Perpaduan, toleransi kaum dan identiti kebangsaan tidak boleh dibiarkan begitu sahaja tanpa penyemarakan. Ia perlu terus dipupuk dan dihidupkan untuk membentuk perasaan sepunya dalam kalangan belia bagi memastikan perpaduan yang menjadi tunjang kekuatan negara terpelihara, di samping menyemarakkan semangat patriotik sebenar.

Aspek perlembagaan dan Rukun Negara dilihat membantu kepada pemupukan tersebut. Dua aspek itu lebih mapan bagi memastikan kerencaman dan keunikan negara sentiasa diraikan, dihormati serta dilestari. Ia juga selaras dengan sifat masyarakat Malaysia yang cair (fluid), mudah alih (mobile) dan sentiasa berubah.

Justeru, sambutan Hari Malaysia perlu digunakan bagi membangkitkan citra Malaysia. Sambutannya mesti mengutamakan naratif menyelami kewujudan Malaysia yang menekankan kelahiran warga patriotik, rasional dan bertanggungjawab menerusi nilai-nilai sivik berteraskan citra Malaysia sebenar.

Selain Hari Malaysia digunakan sebagai peluang meningkatkan kesedaran tentang kepelbagaian budaya dan etnik dalam masyarakat serta memberi peringatan bahawa perpaduan adalah asas kejayaan negara ini, ia juga harus digunakan bagi mengukuhkan pemahaman dan pandangan inklusif. Ia membolehkan semua memahami perbezaan dan kemiripan antara etnik yang berbeza.

Kepentingan bahasa Malaysia sebagai bahasa kebangsaan, penghubung antara etnik-etnik yang berlainan membolehkan komunikasi lebih baik, di samping memperkukuhkan semangat kebangsaan juga perlu ditekankan.

Aspek bahasa Malaysia sebagai bahasa kebangsaan penting ditekankan sebagai elemen menyatukan bangsa bagi mengurangkan hambatan komunikasi antara etnik berlainan dan pada masa sama memupuk perasaan kebangsaan yang kuat.

Natijahnya, bahasa kebangsaan tidak hanya dalam aspek praktikal seperti komunikasi harian tetapi juga bagi membentuk jati diri dan kesatuan negara Malaysia. Ia asas kebangsaan yang menghubungkan semua rakyat Malaysia tanpa mengira latar belakang etnik dan memainkan peranan kunci dalam pembinaan dan penyatuan negara ini.

Hanya dengan mencintai bahasanya, barulah seseorang itu akan menjiwai bangsanya. Apa pun, Hari Malaysia perlu diselami, dihayati dan dijiwai sebagai sambutan yang melambangkan perpaduan, kepelbagaian serta identiti bersama negara.

Sambutan saban tahun Hari Malaysia adalah tekad semua dalam mengukuhkan komitmen kepada negara yang beraneka dan bersatu sebagai sebuah kebanggaan perlu dikekalkan dan dipertahankan. Selamat menyambut Hari Malaysia buat semua warga Malaysia.

* Mujibu Abd Muis ialah Pensyarah Kanan Sains Politik Fakulti Sains Pentadbiran & Pengajian Polisi (FSPPP) Universiti Teknologi Mara (UiTM)

Klik di sini untuk terus membaca