SESUATU yang amat menakutkan apabila kecanggihan teknologi kecerdasan buatan (AI) boleh dimanipulasikan pihak tertentu untuk melakukan kegiatan jenayah penipuan dalam talian.
Perkembangan tersebut dilihat memberi cabaran besar terhadap pihak berkuasa di negara ini bagi mendepani cabaran jenayah yang semakin kompleks.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, jenayah siber pastinya akan lebih meluas apabila teknologi AI dimanipulasikan penjenayah.
"Bayangkan, penipuan bukan sahaja dibuat secara perisian teks, tetapi suara, wajah dan suasana sekeliling boleh ditiru atau dipergunakan seolah-olah ia daripada pemilik sebenar.
"Ini sangat menakutkan kerana boleh memberi kesan kepada industri perbankan yang berdepan kemungkinan tahap keselamatan terutama pengeluaran tanpa pengesahan,” katanya eksklusif kepada Sinar Harian baru-baru ini.
Ramli berkata, di peringkat global beberapa tahun sebelum ini, pihak tidak bertanggungjawab dikesan menggunakan AI bagi memanipulasi suara calon hingga menimbulkan polemik semasa kempen pilihan raya di Amerika Syarikat (AS).
Selain itu, katanya, perkara sama juga boleh berlaku dalam bidang ekonomi hingga melumpuhkan kerja-kerja kreatif.
"Baru-baru ini berlaku kes penggodaman akaun bank di luar negara dengan kecanggihan teknologi AI apabila pihak tidak bertanggungjawab ini memperoleh kata laluan yang dapat dikesan menerusi papan kekunci.
"Sebab itu, kesedaran daripada pihak kerajaan dan pihak berkuasa seperti PDRM berhubung perkara ini perlu dipertingkatkan dengan persediaan serta tindakan proaktif sewajarnya,” ujarnya.
Jelas beliau, PDRM tidak boleh ketinggalan dalam perkara yang sangat serius berkenaan.
Menurutnya, PDRM juga tidak menolak keupayaan tinggi AI dalam meniru wajah dan suara dengan baik akan disalah guna untuk membuat penipuan.
"Jika sebelum ini penipuan mungkin sedikit terhad kerana kekangan dan hanya melibatkan teks serta foto, namun penipuan oleh scammer dengan menggunakan AI ini akan kelihatan lebih meyakinkan.
"Bagaimanapun, setakat ini tiada laporan penipuan melibatkan teknologi AI di Malaysia,” katanya.
Bagaimanapun, katanya, masyarakat perlu lebih berwaspada untuk semua kemungkinan termasuk penipuan membabitkan teknologi AI.
Atas faktor itu, kata beliau, jenayah Macau Scam khususnya berkemungkinan akan menggunakan AI termasuk dari segi teknik penipuan, lenggok bahasa yang natural, profil mangsa hingga maklumat data secara tepat.
"Lebih menakutkan sekiranya pihak scammer boleh menggandakan jumlah penipuan mereka berbanding sebelum ini kerana semuanya mudah diperoleh dengan teknologi AI.
"Ini satu cabaran besar yang perlu dipandang serius oleh negara dan pihak-pihak berkuasa terlibat,” katanya.
RUGI RM101.2 JUTA
Menurut Ramli, trend jenayah phone scam pada tahun ini sangat membimbangkan apabila 1,709 kes dengan kerugian bernilai RM101.2 juta dicatatkan dalam tempoh tujuh bulan bermula Januari.
Kata beliau, nilai kerugian tahunan tertinggi yang pernah dicatatkan bagi tempoh empat tahun lalu bermula tahun 2019 ialah pada 2022 iaitu sebanyak RM196.7 juta membabitkan 3,370 kes.
"Bagi tahun 2019, 2,478 kes dicatatkan dengan kerugian RM122.7 juta, tahun 2020 (2,251 kes, RM161.6 juta) dan tahun 2021 (1,585 kes, RM84.4 juta)
"Trend yang hampir serupa juga dilihat berlaku pada tahun ini apabila jumlah kes dan nilai kerugian agak tinggi, maka langkah memberi kesedaran kepada orang ramai dipertingkatkan,” katanya.
Mengulas lanjut, Ramli berkata, meskipun modus operandi ketika ini digunakan oleh penjenayah hampir tidak berubah, namun masih ramai orang masih tertipu.
Menurutnya, meskipun pada mulanya mangsa telah mengesyaki panggilan diterima mereka adalah satu bentuk penipuan dan tidak pernah melakukan kesalahan besar, namun akhirnya mangsa tetap terperangkap dengan helah serta tipu daya licik pihak scammer.
Bagaimanapun, katanya, ia adalah hakikat yang sering berlaku apabila melibatkan penipuan dalam talian.
"Ini berlaku kerana scammer pandai bermain psikologi ke atas mangsa selain berjaya mempengaruhi minda atau menakutkan mangsa dengan kesalahan serius yang telah dilakukan serta melibatkan maruah diri.
"Sebab itu, PDRM sentiasa mengingatkan orang ramai agar tidak melayan atau menerima panggilan tidak dikenali.
"Tiada sebarang urusan kerajaan atau melibatkan pihak berkuasa diurus dan diselesaikan menerusi satu panggilan telefon sahaja, sebaliknya harus diselesaikan secara bersemuka,” katanya.
Tambahnya, scammer dibekalkan skrip direka secara teliti dan bersistem.
Ditanya sejauh mana terdapat sindiket dari luar negara yang terlibat bersekongkol dengan warga tempatan, Ramli berkata, biasanya sindiket luar mendapat bantuan daripada rakyat Malaysia.
Beliau berkata, bantuan diberikan dari segi menguruskan penyewaan premis dan pembelian hartanah melalui aktiviti penipuan.
Katanya, kadangkala warga tempatan sama ada penyewa, ejen hartanah atau peguam cara dalam sedar atau tidak telah memberi kerjasama kepada sindiket penipuan dalam talian.
Tambahnya, terdapat pekerja atau ejen warga tempatan yang bekerja di pusat-pusat panggilan phone scam kerana dibayar dengan gaji serta komisen lumayan sehingga boleh mencecah RM16,000 sebulan.