BAGI mendapat informasi terbaharu mengenai dasar akreditasi pendidikan negara, penulis bersama seorang lagi kolumnis Kopitiam Kita, Christine Cheah telah bertemu dengan Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Agensi Kelayakan Malaysia (MQA),... Klik di sini untuk terus membaca

BAGI mendapat informasi terbaharu mengenai dasar akreditasi pendidikan negara, penulis bersama seorang lagi kolumnis Kopitiam Kita, Christine Cheah telah bertemu dengan Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Agensi Kelayakan Malaysia (MQA), Profesor Ir Dr Khairul Salleh Mohamed Sahari di pejabat MQA, Cyberjaya, baru-baru ini.

Beliau mempunyai kelulusan Doktor Falsafah dalam bidang kejuruteraan dari Universiti Kanazawa, Jepun serta pernah berkhidmat sebagai pensyarah dan Pengarah Perancangan Strategik di Universiti Tenaga Nasional (Uniten). Dr Khairul Salleh telah empat tahun bertugas di MQA.

Walaupun telah menjawat jawatan sebagai pegawai eksekutif kanan, Dr Khairul Salleh ternyata masih berjiwa akademia menerusi perkongsian beliau mengenai dasar MQA dan peri pentingnya proses jaminan kualiti serta akreditasi bagi memastikan standard pendidikan dalam negara dipelihara.

Tugas seliaan dan penyelarasan akreditasi itu adalah tanggungjawab hakiki MQA – agensi tunggal kerajaan bagi melaksanakan Kerangka Kelayakan Malaysia (MQF) sebagai landasan sistem jaminan kualiti pengajian tinggi dan titik rujukan kriteria serta standard kelayakan kebangsaan.

Dalam bahasa mudah, sekiranya anda rasa waswas dengan silibus dan kualiti kursus atau program pengajian yang ditawarkan oleh mana-mana institusi pengajian tinggi (IPT), MQA adalah sumber rujukan paling autoritatif bagi memastikan kursus ditawarkan telah memenuhi segala kriteria. Jaminan standard telah ditetapkan oleh MQA.

Menurut data rasmi Kementerian Pengajian Tinggi (KPT), bilangan IPT swasta (IPTS) dalam negara adalah sebanyak 434 institusi yang menawarkan pelbagai kursus pengajian.

Jika disemak Daftar Kelayakan Malaysia (MQR) yang dikendalikan oleh MQA, hampir 10,000 kursus dan program pengajian yang ditawarkan IPTS telah mendapat perakuan akreditasi daripada MQA.

Sekiranya dihitung bersama jumlah tempat pengajian dan pelbagai kursus ditawarkan oleh IPT awam (IPTA), ternyata kombinasi IPTA dan IPTS dalam negara memberi ruang serta peluang secukupnya kepada mana-mana individu, sama ada kumpulan dewasa atau pelajar pasca Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat pengajian tinggi.

Namun, walaupun dengan lambakan IPT dan tawaran program pengajian yang banyak, ketandusan tenaga kerja pakar masih menjadi cabaran utama sektor ekonomi dalam negara, khususnya sektor yang memerlukan ramai tenaga pakar sains serta teknologi.

Negara kini giat mengatur langkah bagi merealisasikan Revolusi Industri 4.0 (IR4.0) tetapi masalah kekurangan tenaga pakar masih satu cabaran yang tidak dapat diatasi, di mana punca masalah itu sekiranya ia tidak berakar daripada kekurangan program pengajian dan latihan yang memenuhi standard serta kualiti?

Kopitiam Kita mengalihkan skop perhatian ke peringkat sekolah. Dapatan rasmi Laporan Kementerian Pendidikan pada 2020 menunjukkan hanya 47 peratus pelajar peringkat menengah memilih bidang pengajian STEM iaitu Sains, Matematik, Kejuruteraan dan Teknologi.

Daripada jumlah 47 peratus tersebut, sebanyak 26.6 peratus memilih Program Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), sementara 20.5 peratus lagi memilih aliran sains tulen. Angka tersebut ternyata masih di bawah paras matlamat 60 peratus pelajar STEM menjelang 2030.

Negara tidak akan maju ke hadapan sekiranya rakyat berpuas hati sekadar menjadi pengguna teknologi dan bergantung penuh kepada tenaga pakar asing.

Mungkin sudah tiba masa untuk kerajaan menilai semula pembelajaran STEM di sekolah dan memastikan golongan pendidik terus komited dengan tanggungjawab mendidik, bukannya mengeksploitasi murid sekolah sebagai kandungan akaun media sosial peribadi demi menagih populariti murahan.

* Lim Chee Wei ialah anak jati Kedah yang minat filem retro.

Klik di sini untuk terus membaca