SAYA dilahirkan pada tahun 1973, ketika Malaysia baru berusia 10 tahun. Walaupun perjalanan menuju kematangan sebagai sebuah negara ini penuh onak dan duri, keyakinan saya terhadap Malaysia tidak pernah luntur. Lagipun, tanggungjawab... Klik di sini untuk terus membaca

SAYA dilahirkan pada tahun 1973, ketika Malaysia baru berusia 10 tahun. Walaupun perjalanan menuju kematangan sebagai sebuah negara ini penuh onak dan duri, keyakinan saya terhadap Malaysia tidak pernah luntur. Lagipun, tanggungjawab membina negara merentas generasi dan tidak akan berakhir.

Sempena Hari Malaysia ini, saya ingin berkongsi lima buah fikiran dengan rakyat Malaysia bagi mengharungi cabaran masa hadapan. Pertama, selain daripada kedudukan strategik dan sumber asli kita, kepelbagaian kaum dan agama rakyat Malaysia juga menyumbang kepada kekuatan kita sebagai sebuah negara.

Berpuluh-puluh kumpulan etnik dan agama telah menjadikan Malaysia kampung halaman mereka sejak berabad dahulu. Kelebihan ini wajib dihargai, tetapi kita juga perlu sedar kesemuanya boleh hilang sekelip mata sekiranya cubaan mempolarisasikan rakyat yang semakin meningkat tidak ditangani segera.

Sesungguhnya, perjalanan kita masih jauh untuk menjadikan Malaysia benar-benar sebagai ibunda bagi kesemua rakyatnya. Tetapi kita perlu terima kenyataan bahawa hari ini persaingan bagi menarik bakat amat sengit di seluruh dunia.

Sumber manusia lebih berharga daripada sumber mineral, kewangan mahupun ketenteraan, kerana bakatlah yang bakal menentukan sama ada negara termasuk Malaysia akan bangkit atau jatuh.

Justeru, jika kita terus menyerah kepada momokan sesetengah pihak, atau desakan untuk memuaskan hati satu bangsa sahaja, kita pastinya terlepas peluang manfaat kolektif dari gabungan kekuatan, kebijaksanaan dan kepelbagaian kesemua rakyat kita.

Tentu sekali ini akan merugikan generasi semasa dan akan datang, tanpa mengira kaum. Sebaliknya, Malaysia mesti ditadbir bersama oleh semua rakyatnya. Setiap rakyat perlu rasakan bahawa mereka benar-benar sebahagian daripada masa depan negara kita.

BERBILANG KAUM

Kedua, ciri berbilang kaum kita mesti diraikan. Rancangan dan dasar negara kita mesti lebih inklusif. Program bantuan mesti beralih secara beransur-ansur kepada rejim berasaskan keperluan.

Semua rakyat Malaysia yang memerlukan, sama ada di Teluk Intan atau di Tenom, wajar dibantu dan semua rakyat Malaysia berhak mendapat kesamarataan peluang. Jika tidak, kita seolah-olah seperti satu pasukan bola sepak di mana empat daripada 11 pemainnya patah kaki, dan kita pasti gagal!

Ini tidak bermakna kita akan mengetepikan agenda pemerkasaan bumiputera. Tetapi sebaliknya, kita mesti sedar bahawa cabaran semasa bukan sahaja dari segi kesaksamaan antara pelbagai bangsa, tetapi juga dari sudut kesaksamaan dalam kalangan sesuatu bangsa.

Matlamat yang lebih utama adalah untuk memastikan kaum bumiputera boleh berdikari, bukannya mempertahankan tindakan afirmatif dalam apa jua keadaan sekalipun tanpa mengambil kira betapa dunia dan ekonominya telah berubah.

Kita mesti kekalkan kepelbagaian pendapat dalam bangsa kita sendiri. Selain apa yang diperuntukkan dalam Perlembagaan Persekutuan, tiada siapa yang berkuasa mutlak untuk menentukan definisi apa itu ‘Melayu’.

Bangsa Malaysia terdiri daripada pelbagai latar belakang dan pandangan. Kepelbagaian ini wujud kerana walaupun asal usul kita berbilang, masyarakat Melayu pada amnya berjiwa sederhana dan sedia menerima perbezaan.

Kesederhanaan ini merupakan teras jiwa sosiobudaya orang Melayu, dan ajaran Islam. Saya percaya sebahagian besar rakyat Malaysia berkongsi sifat kesederhanaan ini, dan ini perlu dipertahankan dari unsur politik negatif atau fanatik. Sebabnya? Yang dipertaruhkan bukanlah kerjaya ahli politik tertentu, tetapi kelangsungan rakyat kita sendiri.

Ketiga, perpaduan penting kepada ekonomi. Dalam era perpecahan dan kancah geopolitik terkini, pelabur amat-amat menghargai kestabilan. Pelaburan, baik asing mahupun domestik, hanya akan mengalir ke negara-negara yang aman dan stabil dari segi politik.

Percubaan untuk menjadikan Malaysia sebuah negara satu budaya mungkin menakutkan pelabur. Kita juga mesti sedar bahawa kepelbagaian kaum adalah satu kekuatan yang menyumbang kepada kejayaan ekonomi kita.

Keempat, kita perlu eratkan persefahaman antara Semenanjung, serta Sabah dan Sarawak. Selama 60 tahun kita bersama, tetapi masih luas jurang di antara kita, terutamanya rakyat di Semenanjung dan ‘adik-beradik’ kita di pulau Borneo.

Ironinya, kadangkala semangat kekeluargaan Malaysia kita lebih kuat apabila berada di luar negara, tetapi bila kembali ke tanah air, secara automatik kita berbalik kepada semangat perkauman atau kenegerian.

Kerajaan Perpaduan sedang berusaha untuk menangani isu ini. Contohnya, dalam Pelan Induk Perindustrian Baharu (NIMP) 2030, salah satu Pelan Tindakan di bawah Misi ke-4 (iaitu memastikan keselamatan ekonomi dan keterangkuman) adalah untuk memastikan pembangunan industri yang lebih saksama antara semua negeri, tanpa mengira fahaman politik kerajaan negeri.

Ini termasuk mengukuhkan industri hiliran dan tenaga boleh diperbaharui (RE) di Sabah, serta membantu memposisikan Sarawak sebagai peneraju ekonomi hidrogen, mahupun bekerjasama dengan Perlis untuk membangunkan pertanian (pemprosesan makanan), bioteknologi RE dan perlombongan.

Dalam kita menyedari cabaran ketidaksamaan, kita juga mesti menyedari akan ketidaksamaan ekonomi antara negeri.

PENDAPATAN MEMBINA

Akhir sekali, rakyat Malaysia mesti bersifat lebih konstruktif. Keadaan negara dalam beberapa tahun kebelakangan ini amat melemahkan semangat ramai rakyat Malaysia, disebabkan permainan politikus yang tidak membina, malah ada yang bertujuan membinasakan.

Jika kita ingin berkembang maju, rakyat Malaysia mesti membina semula semangat kebangsaan kita, dan perasaan bangga terhadap negara. Jika sebahagian besar rakyat kita memandang sinis atau takut dengan satu sama lain, tiada perancangan yang boleh berjaya.

Ada kalanya pembaharuan yang diperlukan telah disabotaj hanya kerana pihak-pihak tertentu enggan untuk berkompromi, atau tidak mahu berkorban dalam jangka pendek untuk keuntungan jangka panjang. Kita perlu beri tumpuan kepada masa depan dan kekuatan Malaysia.

Kita tidak boleh terperangkap dalam perasaan pesimis dan negatif. Kita mesti percaya bahawa kebanyakan ‘penyakit’ yang dihidapi Malaysia mampu ‘diubati’ dengan pelbagai kelebihan yang kita miliki.

Kita mampu merealisasikan matlamat sebagai sebuah negara berbilang budaya, yang benar-benar memahami jati dirinya, bangga dengan identitinya tetapi juga terbuka kepada dunia.

Kita memiliki banyak faktor-faktor untuk menjayakan Malaysia, tetapi apa yang diperlukan sekarang ialah kepercayaan kepada diri kita sendiri. Pelaburan pada Suku Pertama 2023 meningkat hampir 60 peratus tahun-ke-tahun. Jika pelabur asing dan domestik yakin dengan potensi kita, mengapa kita sendiri tidak boleh tanamkan keyakinan yang sama?

Saya percaya matlamat ekonomi Madami kita mampu dicapai. Seperti yang saya katakan, kepercayaan saya terhadap Malaysia tidak pernah terjejas dan tetap kekal. Saya optimis jika kita sanggup berganding bahu dan bekerja keras, kita boleh membentuk masa depan yang boleh menjadi kebanggaan kita semua.

Pesanan saya kepada semua rakyat Malaysia: Teruslah tanamkan kepercayaan kepada tanah air yang penuh potensi ini.

Selamat hari lahir Malaysia, semoga aman dan makmur sentiasa!

* Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz ialah Menteri Perdagangan, Pelaburan dan Industri

Klik di sini untuk terus membaca